Beriman Kepada Allah Swt

01-Aug-2003 17:11
Beriman Kepada ALLAH TA`ALA

Mastika Hadith - Jilid 1

Bab 1 : Beriman Kepada ALLAH TA`ALA.

Hadith 1:

Dari Abu Ma`bad, dari Ibn Abbas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Muaz Bin Jabal ketika baginda s.a.w. mengutusnya ke negeri Yaman: "Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum (ahli kitab), kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah mereka supaya mereka meyakini: Bahwa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan bahwa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh ALLAH...". Menurut satu riwayat yang lain, (baginda s.a.w. bersabda): "...Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah dakwah supaya mereka mengakui keEsaan ALLAH TA`ALA...".

Dan pada satu riwayat yang lain pula, (baginda s.a.w. bersabda): "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadaNya ialah (tunjang atau asas) ibadah kepada ALLAH..." (HR Bukhari dan Muslim) Muslimin dan muslimat rahimakumullah. Hadith yang kita baca pada kali ini, diambil secara lafaz yang sahih daripada Ibn Abbas r.a.. (sepupu Nabi s.a.w.). Menurut jumhur ulama`, Ibn Abbas r.a. adalah sahabat yang paling hebat dikalangan para sahabah r.a. dari segi ilmu penafsiran al-Quran, sebab dia dididik oleh Rasulullah s.a.w. sejak dia masih kecil lagi. Dalam hadith di atas, Ibn Abbas r.a. menceritakan kepada kita bahwa Nabi s.a.w. telah meninggalkan pesan kepada seorang sahabatnya yang bernama Muaz bin Jabal r.a., ketika baginda nak mengutuskannya pergi ke negara Yaman untuk berdakwah. ( Muaz bin Jabal r.a. pula adalah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. dari kalangan Ansar. Beliau adalah diantara 72 orang yang terlibat secara langsung di dalam Perjanjian `Aqobah yang ke2. Perjanjian itu dinamakan sedemikian kerana ia berlaku di kawasan Jamratul `Aqobah. Yang mana sekarang telah didirikan sebuah masjid di situ dan dinamakannya "Masjid Mubayyi`ah". Kecil saja masjidnya tapi sudah cukup sebagai tanda di bukit `Aqobah itulah Nabi s.a.w. menjelaskan Islam kepada jamaah-jamaah haji dari kalangan Ansar. Walaupun ketika itu Mekah telah menutup rapat ruang untuk Nabi s.a.w. bergerak, tapi dengan suntikan semangat baru yang dikecapinya daripada Peristiwa Isra` Mikraj; maka inilah hasilnya. Iaitu Perjanjian `Aqobah ke2 termenterai. )

Muaz bin Jabal r.a. juga adalah sahabat Nabi s.a.w. dari kalangan bangsa Yaman. Nampak tak tuan-tuan, macamana bijaknya Rasulullah s.a.w. mencatur rancangan. Dia bukan macam melayu mudah lupa. Dia fatonah. Baginda s.a.w. tahu bahwa orang yang layak untuk pergi berdakwah ke Yaman, tak lain tak bukan, mestilah orang berketurunan Yaman sendiri. Sebab itulah, Muaz bin Jabal dipilihnya dalam misi ini. Dan Muaz bin Jabal r.a. inilah juga yang pernah disebut dalam suatu hadith baginda s.a.w. yang masyhur. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya, "Sesungguhnya dikalangan umatku, yang paling reti membezakan halal dan haram ialah Muaz bin Jabal radiallahuanhu."...Inilah penghormatan yang diberi oleh ALLAH dan rasul kepada Muaz bin Jabal. Dialah yang paling expert dalam hal mensegregatekan benda halal dan benda haram.

Begitulah juga dalam suatu hadith sahih yang lain, sekali lagi nama Muaz bin Jabal r.a. disebut. Pernah Nabi s.a.w. bersabda, "Muaz bin Jabal itu akan menjadi pemimpin bagi golongan ulama` di Padang Mahsyar kelak."...Inilah dia berita yang menghiburkan kita, muslimin muslimat sekelian. Golongan yang cinta dan sayangkan ulama`, janganlah berasa bimbang, kerana Nabi s.a.w. telah memberi suatu jaminan bahwa mereka yang cinta dan kasih pada ulama`, hatta golongan ulama` itu sendiri akan dipayungi di Padang Mahsyar oleh Muaz bin Jabal r.a.. Tidakkah pernah tuan-tuan mendengar firman ALLAH dalam Suratul Isra`15:71, yang bermaksud, "Bahwa pada hari qiamat, ALLAH akan membangkitkan manusia bersama pemimpin-pemimpin mereka..."...Maknanya, siapa yang mereka ikut di du! nia dahulu, maka orang itulah yang akan bangun memimpin mereka di Padang Mahsyar. Bila berlaku sedemikian, itulah yang Nabi s.a.w. beri jaminan bahwa golongan ulama` dan golongan yang mencintai ulama`, akan berada di bawah pimpinan Muaz bin Jabal r.a.. Dan Muaz bin Jabal akan membawa kita mengadap ALLAH SWT. Tak lega ka tuan-tuan bila dengar berita macam ni?...Sudah tentulah lega tuan-tuan, sebab Muaz adalah sahabah r.a.. Bila sebut sahabah radiallahuanhu, mereka ini adalah golongan yang ALLAH sudah redha kepada mereka. Yang tak leganya nanti ialah Firaun.

Dialah yang akan pimpin golongan yang seangkatan dengan dia. Nak lega macamana tuan-tuan kalau pimpinan Firaun ini dilaknat ALLAH SWT. Muaz bin Jabal r.a. hidup sehingga zaman pemerintah Khalifah Umar al-Khatab r.a.. Dan akhirnya Muaz bin Jabal meninggal dunia ketika usianya hanya 33 tahun. Terlalu muda, tuan-tuan. Samalah keadaannya seperti sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Saad bin Muaz r.a.. Beliau adalah pemimpin kaum Ansar. Saad bin Muaz ini masuk Islam ketika usianya 30 tahun, dan meninggal dunia pada usia 36 tahun. Maknanya 6 tahun saja Saad masuk Islam. Tapi apabila Nabi s.a.w. melihat jenazah Saad bin Muaz yang syahid dalam Peperangan Ahzab yang hanya Islam 6 tahun sahaja dan yang hanya sembahyang 6 tahun sahaja, maka Nabi s.a.w. terus bersabda, "Demi ALLAH, sesungguhnya arasy ALLAH telah bergegar di atas kematian Saad bin Muaz."

(Walaupun Perang Ahzab itu tidak bertempur seperti Perang Badar dan Uhud, tetapi panah memanah dari jarak jauh berlaku juga. Salah satu anak panah sesat yang kena pada Saad inilah yang menyebabkan Saad cedera dan akhirnya meninggal dunia. )

wallahuallam


~Sesungguhnya Hidupku, Matiku, Amalanku, Ibadahku adalah semata-mata kerana Allah SWT~

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my