Patut Ke Tak Patut?

01-Aug-2003 17:11
Oleh
ira
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu isu ayam diselamkan ke dalam takungan air yang ada arus elektrik sebelum disembelih. Alasan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Brig. Jen. Abdul Hamid Zainal Abidin, kerana ayam yang hendak disembelih bukan seekor dua, tetapi beribu ekor untuk disembelih dalam satu-satu masa. Apabila dikarankan dahulu sebelum disembelih, ayam-ayam itu didapati kurang aktif dan menjimatkan masa serta menguntungkan dari aspek pengeluaran komersial. Dimaklumkan juga bahawa JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) hanya membenarkan arus elektrik atau karan yang digunakan itu hanya antara 2.5 hingga 5.0 voltan sahaja.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dari segi hukum Islam dalam isu ini. Pertama, adakah kerana aspek keuntungan dan komersial, JAKIM sebagai satu badan yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat Islam begitu mudah membenarkan sesuatu amalan yang berisoko kepada umat Islam di dunia dan akhirat? Apakah Islam membenarkan amalan sedemikian rupa atau adakah wujud dalil-dalil yang mengharuskan perbuatan itu?

Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewajibkan supaya berbuat ihsan dalam semua perkara. Oleh itu jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan ihsan dan jika kamu ingin menyembelih, sembelihlah dengan ihsan." (Riwayat Muslim, al-Tirmidzi, Abu Dawud dan al-Nasai)

Adakah dengan menyelamkan kepala ayam ke dalam air yang dikarankan itu menepati makna ihsan, bertertib dan lemah-lembut dalam penyembelihan? Bahkan itu adalah perbuatan zalim yang diharamkan oleh Islam. Jadi bagaimana JAKIM sebagai satu badan untuk memastikan kemajuan Islam boleh mengeluarkan fatwa atau membenarkan perbuatan zalim ke atas binatang sembelihan?

Kedua, ada kemungkinan yang besar bahawa sebahagian daripada ayam-ayam itu telah mati terlebih dahulu sebelum disembelih. Tidak mungkin pengusaha ayam bersih itu (yang bukan Islam) akan membuang sahaja ayam yang telah mati selepas dikaran, demi memastikan keuntungan perniagaannya. Adakah pegawai JAKIM akan bertanggungjawab jika ada umat Islam yang memakan ayam yang telah menjadi bangkai sebelum disembelih? Ini adalah perkara serius yang melibatkan soal darah daging. Sukar untuk diterima jika dikatakan JAKIM tidak perasan kewujudan hadis sahih yang bermaksud "Setiap daging dan darah yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah lebih baik baginya." (Riwayat al-Tabrani). Kalau begitu, apakah faktor yang menyebabkan JAKIM terlalu mudah memberi lesen penggunaan karan itu? Adakah ini dikatakan "kemajuan Islam"?

Jelaslah dalam masalah ini JAKIM telah tersilap memberi fatwa atau kebenaran untuk mengamalkan satu perkara yang diharamkan oleh Islam, atas alasan duniawi dan keuntungan semata-mata tanpa merujuk terlebih dahulu kepada nas-nas dalam bab sembelihan menurut cara Islam. Amatlah dikesalkan sekali kerana JAKIM sebagai satu badan untuk kemajuan Islam telah tersilap 'memajukan' Islam secara duniawi dengan membelakangkan syariat. Sepatutnya ini tidak berlaku kepada badan yang dipimpin oleh para ulama yang diketua oleh ulama besar. Sepatutnya JAKIM memohon maaaf daripada umat Islam atas kesilapan ini dan berjanji akan lebih berhati-hati sebelum memberi kebenaran atau lesen kepada mana-mana pihak yang berpelanggankan umat Islam.

p/s: ni yg musykil nak makan ayam ni......


sabar menempuh jalan ,tetapkan Iman di hati...

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my