Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Sembahyang Orang Musafir Dan Mengqasarnya > Bab Berdoa Ketika Sembahyang Malam
    Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Suatu malam aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah. Pada malam tersebut Nabi s.a.w bangun lalu menunaikan hajatnya (hadas). Kemudian baginda membasuh muka dan kedua tangannya lalu baginda tidur, kemudian baginda bangkit lagi. Setelah itu baginda menuju ke Kirbah (iaitu bekas yang digunakan untuk menyimpan air diperbuat dari kulit) lalu membuka penutupnya. Kemudian baginda mengambil wuduk, wuduk di antara dua wuduk (wuduk pertama dengan wuduk kedua). Kemudian baginda berdiri lalu sembahyang, aku pun bangkit perlahan-lahan supaya baginda tidak melihatku, lantas aku mengambil wuduk lalu aku sembahyang di sebelah kiri baginda, baginda menarik tanganku supaya aku berpindah ke sebelah kanannya. Rasulullah s.a.w menyempurnakan sembahyang malam sebanyak tiga belas rakaat. Kemudian baginda berbaring, lalu tidur sehingga berdengkur. Kemudian datanglah Bilal lalu melaungkan azan. Lalu baginda bangkit dan terus mendirikan sembahyang tanpa berwuduk terlebih dahulu. Baginda membaca di dalam doanya: اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورً Yang bermaksud: Tuhanku! Jadikanlah dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.info
    Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku bersama Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan sehinggalah kami berhenti di suatu jalan yang menghubungkan dengan suatu tempat yang ada air. Rasulullah s.a.w bertanya: Tidakkah kamu ingin mendapatkan air, wahai Jabir? Aku menjawab: Sudah tentu! Beliau berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w turun dan aku mengambil air. Jabir berkata: Rasulullah pergi menunaikan hajatnya dan aku menyediakan air untuk baginda berwuduk. Setelah selesai menunaikan hajat baginda kembali kepadaku lalu berwuduk dan bangkit seterusnya sembahyang dengan menggunakan sehelai pakaian yang diikat antara dua punca kain tersebut. Aku berdiri di belakang baginda, lalu baginda memegang telingaku dan menarikku ke arah kanan baginda.info
    Hadis Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيَّامُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَأَخَّرْتُ وَأَسْرَرْتُ وَأَعْلَنْتُ أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.info
webmaster@mymasjid.net.my