Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Sembahyang Orang Musafir Dan Mengqasarnya > Bab Sembahyang Malam Dan Orang Yang Tertidur Atau Sakit
    Hadis Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Zurarah r.a katanya: Saad bin Hisyam bin Amir ingin berperang di jalan Allah. Ketika datang ke Madinah beliau menemui beberapa orang dari penduduk Madinah, lalu mereka menahan niat tersebut dan memberitahunya bahawa enam orang yang lengkap dengan peralatan perang seperti pedang dan kuda juga mempunyai niat yang sama pada zaman Nabi s.a.w, tetapi Rasulullah s.a.w telah menahan mereka dengan pertanyaan: Bukankah aku ini merupakan contoh teladan bagi kamu? Apabila Nabi berkata demikian lalu beliau merujuk isterinya yang telah diceraikan sebelum ini. Aku bersaksi bahawa aku telah merujuk isteriku. Kemudian aku menemui Ibnu Abbas lalu aku bertanya kepadanya mengenai sembahyang witir Rasulullah s.a.w. Ibnu Abbas menjawab: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu orang di atas muka bumi ini yang paling tahu berkenaan dengan witir Rasulullah s.a.w. Saad bertanya: Siapa? Beliau menjawab: Aisyah pergilah kamu menemuinya dan tanyalah kepadanya kemudian kamu datang kepadaku dan beritahulah apakah jawapannya nanti. Lalu aku bercadang untuk menemui Aisyah, dalam pada itu aku pergi menemui Hakim bin Aflah, lalu aku meminta supaya beliau bertanya Aisyah mengenai perkara tersebut. Beliau berkata: Aku bukanlah orang yang rapat dengannya kerana aku melarangnya dari memperkatakan tentang kedua-dua pihak tersebut (iaitu semasa pertelingkahan antara Aisyah dengan Ali) dan aku enggan menyokong mana-mana pihak kecuali setelah beberapa lama. Beliau berkata: Setelah aku meyakinkannya, beliau bersetuju untuk pergi bersamaku. Lalu kami berdua pergi mendapatkan Aisyah dan kami meminta izin untuk menemuinya, kemudian beliau mengizinkan kami menemuinya, lalu kami masuk menemuinya seraya Aisyah bertanya: Adakah kamu ini seorang hakim? Hakim memperkenalkan dirinya seraya menjawab: Benar! Aisyah bertanya lagi: Siapakah yang bersama kamu? Hakim menjawab: Saad bin Hisyam! Aisyah bertanya lagi: Siapa Hisyam? Hakim menjawab: Ibnu Amir! Lalu Aisyah mendoakan agar aku dirahmati Allah dengan kata-kata: Kebaikan (iaitu kebaikan untukku). Qatadah berkata: Sesungguhnya aku cedera semasa peperangan Uhud, lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Ceritakanlah kepadaku mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Bukankah kamu membaca Al-Quran? Aku menjawab: Benar! Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya akhlak Rasulullah s.a.w ialah Al-Quran. Qatadah berkata: Fahamlah aku apakah yang perlu aku lakukan dan aku tidak akan bertanya sesiapa pun mengenai sesuatu sehingga aku mati. Kemudian aku ingin tahu mengenai sesuatu, lalu aku bertanya: Ceritakanlah kepada aku mengenai sembahyang malam Rasulullah s.a.w. Aisyah berkata: Bukankah kamu pernah membaca ayat Al-Quran: يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ Yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Aku berkata: Benar! Aku pernah membacanya. Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya Allah s.w.t (Yang Maha Mulia lagi Maha Agung) telah mewajibkan sembahyang malam pada awal surah tersebut. Maka Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya telah mendirikannya selama setahun. Allah tidak menurunkan penutup bagi ayat tersebut dan menahannya selama dua belas bulan di langit sehinggalah diturunkan beberapa ayat pada penghujung surah tersebut sebagai satu keringanan, maka jadilah sembahyang malam itu sebagai satu perkara yang sunat selepas ianya diwajibkan. Aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Terangkan kepadaku mengenai sembahyang witir Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab: Kami menyediakan kayu sugi dan air untuk wuduk baginda. Allah akan membangkitkan baginda pada bila-bila masa yang baginda kehendaki, apabila baginda bangun, baginda bersugi dan mengambil wuduk dan baginda sembahyang sembilan rakaat tanpa duduk melainkan pada rakaat yang kelapan, baginda berzikir, bertahmid (memuji) dan berdoa kepada Allah, kemudian baginda bangkit tanpa memberi salam. Seterusnya baginda berdiri, lalu meneruskan rakaat yang kesembilan, kemudian baginda duduk lagi seraya berzikir, bertahmid, berdoa kepada Allah, lalu memberi salam, salam yang dapat didengari oleh kami semua. Selepas itu baginda sembahyang dua rakaat selepas memberi salam dalam keadaan duduk. Semua rakaat sembahyang Rasulullah s.a.w berjumlah sebelas rakaat. Wahai anakku! Ketika umur Rasulullah s.a.w meningkat tua dan semakin berisi, baginda hanya melakukan sunat witir sebanyak tujuh rakaat sahaja, di samping baginda melakukan dua rakaat sebagaimana dua rakaat yang baginda lakukan dahulu, jadi semuanya berjumlah sembilan rakaat. Wahai anakku! Sesungguhnya Nabi s.a.w apabila sembahyang baginda suka sembahyang berterusan. Apabila baginda tertidur atau tidak sedar pada waktu malam baginda akan melakukannya pada waktu siang sebanyak dua belas rakaat. Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w membaca Al-Quran seluruhnya dalam satu malam dan aku juga tidak pernah melihat Nabi s.a.w mendirikan sembahyang hingga ke waktu Subuh atau berpuasa selama sebulan berturut-turut selain dari bulan Ramadan. Saad berkata: Setelah aku mendengar jawapan dari Aisyah tersebut, aku lantas menemui Ibnu Abbas dan menceritakan kembali kepadanya. Ibnu Abbas berkata: Benarlah Aisyah. Seandainya aku berada berhampiran dengannya atau boleh menemuinya, nescaya aku sendiri akan menemuinya sehingga aku dapat bercakap secara langsung dengannya. Saad berkata: Aku menyebut: Sekiranya aku tahu bahawa kamu tidak dapat menemuinya nescaya aku tidak akan menceritakan Hadis tersebut.info
webmaster@mymasjid.net.my