Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Masjid Dan Tempat Tempat Sembahyang > Bab Waktu Sembahyang Isyak Dan Melewatkannya
    Hadis Aisyah isteri Rasulullah s.a.w katanya: Pada suatu malam, pernah Rasulullah s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak sehingga keadaan benar-benar sudah gelap. Namun Rasulullah s.a.w masih belum keluar, sehingga Umar bin Al-Khattab berkata: Orang-orang perempuan dan kanak-kanak sudah tertidur. Sebentar kemudian Rasulullah s.a.w keluar lalu bersabda kepada para sahabat yang berada di masjid: Tidak ada seorang pun di antara penghuni bumi ini yang menunggunya selain daripada kamu. Perkara ini terjadi sebelum Islam tersebar dikalangan manusia.info
    Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu malam kami menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak pada akhir malam. Baginda keluar kepada kami ketika satu pertiga malam atau lebih. Kami tidak tahu apakah perkara yang menyibukkan baginda, samada urusan dengan keluarga atau dengan urusan lain. Semasa keluar baginda bersabda: Sesungguhnya kamu sedang menunggu satu sembahyang yang tidak pernah ditunggu oleh orang-orang yang tidak seagama denganmu. Sekiranya perkara ini tidak membebankan umatku nescaya aku akan mengajak mereka bersembahyang pada saat-saat seperti ini. Kemudian baginda menyuruh tukang azan supaya iqamat, lalu diiqamatkan dan baginda pun mendirikan sembahyang.info
    Hadis Anas r.a: Diriwayatkan daripada Thabit katanya: Sesungguhnya para sahabat bertanya Anas tentang cincin yang dipakai oleh Rasulullah s.a.w. Anas menjawab: Pada suatu malam Rasulullah s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak hingga sampai ke separuh malam atau hampir berakhir separuh malam. Kemudian baginda datang dan bersabda: Sesungguhnya semua orang sudah sembahyang dan mereka pun tidur, sedangkan kamu masih bersembahyang, apakah yang membuatkan kamu masih bersembahyang. Anas berkata: Aku seolah-olah melihat cincin baginda yang diperbuat dari perak itu putih berkilau ketika baginda mengangkat jari kelingking kirinya.info
    Hadis Abu Musa r.a katanya: Aku dan beberapa orang sahabatku yang datang serombongan denganku turun di perlembahan Buthan, manakala Rasulullah s.a.w berada di Madinah. Beberapa orang sahabat menggantikan tempat Rasulullah s.a.w ketika sembahyang Isyak pada setiap malam. Abu Musa berkata: Kebetulan aku dan beberapa orang sahabatku mendapati Rasulullah s.a.w disibukkan oleh urusannya. Jadi baginda terpaksa menangguhkan sembahyang sehingga ke separuh malam. Kemudian Rasulullah s.a.w keluar dan baginda sembahyang bersama mereka. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda kepada orang-orang yang hadir di hadapan baginda: Bertenanglah kamu, Aku akan memberitahu kamu suatu berita gembira iaitu di antara nikmat Allah yang diberikan kepada kamu. Sesungguhnya tiada seorang manusia pun yang mendirikan sembahyang pada waktu sebegini selain daripada kamu semua. Mungkun juga baginda bersabda: Tiada seorang pun yang bersembahyang pada waktu begini selain dari kamu. Kami tidak pasti yang mana satu dari dua ayat tersebut yang telah disabdakan oleh Rasulullah. Abu Musa berkata: Kami semua pulang dengan perasaan gembira selepas mendengar apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.info
    Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Pada suatu malam, Nabi s.a.w menangguhkan sembahyang Isyak, katanya lagi: Sehinggakan orang ramai tertidur, kemudian bangkit, kemudian tertidur dan bangkit kembali. Seterusnya Umar bin Al-Khattab datang sambil berkata: Sembahyang, lalu Ata' berkata: Ibnu Abbas bercerita lagi: Lalu Nabi s.a.w keluar, pada waktu itu aku seolah-olah melihat Nabi s.a.w seperti membasahkan kepalanya dengan meletakkan tangannya pada bahagian kepalanya, lalu baginda bersabda: Sekiranya hal ini tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya mendirikan sembahyang Isyak pada waktu sekarang ini. Beliau berkata lagi: Ata' menerangkan tentang cara Rasulullah meletakkan tangannya di kepala sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Abbas kepadanya. Maka Ata' meletakkan sesuatu di antara celah-celah jarinya, kemudian meletakkan telapak tangannya di atas ubun-ubun kepala, beliau membasahkan kepalanya dan menyapu tangannya di atas kepala sehinggakan ibu jari tangan beliau menyentuh hujung telinga dan bahagian tepi muka seterusnya menyapu pelipis iaitu dibahagian antara mata dan telinga serta menyapu bahagian janggut, tidak lebih dan tidak kurang sedikit pun melainkan beginilah caranya.info
webmaster@mymasjid.net.my