Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Masjid Dan Tempat Tempat Sembahyang > Bab Terlupa Dalam Sembahyang Dan Sujud Sahwi
    Hadis Abdullah bin Buhainah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah sembahyang dua rakaat bersama kami. Kemudian baginda berdiri dan tidak duduk Tahiyyat. Sahabat-sahabat juga ikut berdiri bersama baginda. Setelah sembahyang hampir selesai, kami menunggu salam baginda namun baginda bertakbir lagi lalu sujud sebanyak dua kali. Baginda duduk seketika sebelum memberi salam. Setelah itu barulah baginda memberi salam.info
    Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang sembahyang dan menurut kata Ibrahim: Baginda menambah atau mengurang rakaat sembahyangnya, maka setelah selesai memberi salam, baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah ada sesuatu yang telah terjadi pada sembahyang tadi? Rasulullah s.a.w bertanya kembali: Perkara apakah itu? Lalu dijawab: Sesungguhnya kamu telah mendirikan sembahyang begini dan begini. Beliau berkata: Seketika itu juga Rasulullah s.a.w melipatkan kedua kakinya dan menghadap kiblat, lalu baginda sujud sebanyak dua kali, lantas baginda memberi salam. Kemudian beliau berpaling ke arah kami seraya bersabda: Seandainya terjadi sesuatu semasa dalam sembahyang, maka aku ingin menerangkannya kepada kamu. Tetapi aku juga manusia biasa yang boleh jadi terlupa sama seperti kamu. Apabila aku terlupa, peringatkanlah kepadaku. Apabila kamu merasa ragu-ragu ketika sembahyang, hendaklah kamu berusaha mencari yang sepatutnya dan menyempurnakannya jika kurang, selepas itu hendaklah kamu melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali.info
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah sembahyang bersama kami di suatu petang, samada sembahyang Asar atau sembahyang Zuhur. Pada rakaat yang kedua baginda memberi salam. Kemudian baginda bersandar dibatang tamar yang berada pada arah Kiblat. Di antara sahabat yang menjadi makmum termasuklah Abu Bakar dan Umar, namun keduanya tidak berani berkata-kata. Sementara sahabat-sahabat lain terpegun kerana sembahyang dilakukan terlalu singkat. Lalu seorang sahabat bernama Zul Yadain berdiri seraya berkata: Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang disingkatkan iaitu diqasar atau anda terlupa? Rasulullah s.a.w memandang ke kanan dan kiri lalu baginda bertanya: Adakah benar apa yang diucapkan oleh Zul Yadain tadi? Sahabat-sahabat menjawab: Benar! Anda hanya sembahyang dua rakaat sahaja. Seketika itu juga Rasulullah s.a.w menyambung sembahyang dua rakaat lagi dan baginda memberi salam. Setelah itu baginda bertakbir kemudian sujud, kemudian bertakbir lalu bangkit dari sujud, kemudian baginda bertakbir lagi lalu sujud buat kali kedua, kemudian bertakbir dan bangkit dari sujud.info
webmaster@mymasjid.net.my