Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Syurga, Kenikmatan Dan Penghuninya > Bab Neraka Akan Dimasuki Oleh Orang Orang Yang Zalim Manakala Syurga Akan Dimasuki Oleh Orang Orang Yang Lemah
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Neraka berdebat dengan Syurga, Neraka berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang zalim dan takbur (sombong). Syurga pula berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang lemah dan miskin. Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada Neraka: Kamu adalah seksaan-Ku. Aku akan menyeksa siapa saja yang Aku kehendaki melaluimu. Allah berfirman: Aku gunakan kamu untuk menimpakan bencana terhadap siapa saja yang Aku kehendaki. Allah berfirman pula kepada Syurga: Kamu adalah rahmat-Ku. Aku akan berikan rahmat Ku melalui kamu kepada siapa saja yang Aku kehendaki. Kedua-dua dari kamu Aku akan isi hingga penuh.info
    Hadis Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Neraka Jahanam selalu berkata: Masih adakah lagi? Sehinggalah Allah Yang Maha Tinggi meletakkan telapak kaki-Nya, maka Neraka Jahanam berkata: Cukup! Cukup! Demi Keagungan Mu!. Masing-masing dihimpunkan menjadi satu bahagian.info
    Hadis Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan antara Syurga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadis). Kemudian diseru: Wahai penghuni Syurga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih dan menyeru: Wahai ahli Syurga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ Yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan dan mereka dalam kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan tangan.info
    Hadis Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah memasukkan ahli Syurga ke dalam Syurga dan ahli Neraka ke dalam Neraka, kemudian seorang penyeru yang berdiri di antara mereka akan berkata: Wahai ahli Syurga! Kamu tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tidak akan mati, masing-masing kekal di tempat mereka.info
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Gigi geraham atau taring orang kafir adalah seperti Bukit Uhud dan ketebalan kulitnya adalah seperti perjalanan sejauh tiga hari.info
    Hadis Abu Hurairah r.a: Jarak antara dua bahu seorang kafir di dalam Neraka adalah seperti perjalanan selama tiga hari dengan kenderaan yang laju.info
    Hadis Harithah bin Wahab r.a: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Syurga? Para sahabat menjawab: Ya! Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka semua adalah orang yang lemah dan merendah diri, seandainya mereka bersumpah kerana Allah nescaya Allah akan memperkenankannya. Kemudian baginda bersabda lagi: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Neraka? Mereka menjawab: Ya! Baginda bersabda: Mereka semua adalah orang yang selalu diagung-agungkan dan bermegah-megah serta sombong.info
    Hadis Abdullah bin Zam'ah r.a: Rasulullah s.a.w menyebut di dalam khutbah baginda tentang unta dan penyembelih unta tersebut serta membaca ayat إِذِ انْبَعَثَ أَشْقَاهَا Yang bermaksud: Ketika orang yang paling jahat di kalangan mereka menerima perintah supaya membunuh unta mukjizat. Diutuskan bersamanya seorang lelaki mulia, kuat dan gagah perkasa dalam kelompoknya seperti Abu Zam'ah. Kemudian baginda bersabda tentang wanita dan memberi nasihat mengenai mereka kemudian bersabda: Mengapa ada di kalangan kamu yang memukul isteri masing-masing.info
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku melihat Amru bin Luhaiy bin Qam'ah bin Khindif iaitu bapa Bani Kaab bergerak dengan dadanya di dalam Neraka.info
webmaster@mymasjid.net.my