Indeks Kitab
    Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan daripada Masruq r.a katanya: Ketika kami duduk di sisi Abdullah yang berbaring di antara kami. Tiba-tiba datang seorang lelaki menemui beliau lalu berkata: Wahai Abu Abdul Rahman! Ada seorang pembawa cerita bohong di hadapan pintu Kindah (pintu Kufah) menceritakan dan mendakwa bahawa tanda kepulan asap yang akan datang dan melemaskan orang-orang kafir. Manakala orang-orang mukmin seperti terkena selsema. Abdullah bangkit dan duduk dengan marah lalu berkata: Wahai kaum manusia, bertakwalah kepada Allah! Sesiapa di kalangan kamu yang mengetahui sesuatu, hendaklah dia bercakap mengikut apa yang dia ketahui dan sesiapa yang tidak mengetahui, hendaklah dia berkata: Allah yang lebih mengetahui. Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman kepada Nabi--Nya s.a.w: قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ Yang bermaksud: (Katakanlah wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini dan aku bukanlah daripada orang-orang yang mengadakan. Ketika Rasulullah s.a.w melihat orang ramai membelot, baginda berdoa: Wahai Allah! Timpakanlah kesulitan sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Nabi Yusuf a.s. Masruq berkata: Tidak berapa lama berlakulah musim kemarau menyebabkan semua makanan habis, sehinggakan mereka terpaksa memakan kulit-kulit kayu dan bangkai kerana kelaparan. Lalu salah seorang daripada mereka mendongak ke langit lantas terlihat kepulan asap. Kemudian Abu Sufian pergi berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau dibangkitkan untuk memerintah manusia supaya taat kepada Allah dan menghubungkan tali Silaturahim. Sekarang kaummu telah ditimpa malapetaka. Oleh itu berdoalah kepada Allah. Allah s.w.t berfirman فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ sehingga ayat إِنَّكُمْ عَائِدُونَ Yang bermaksud: Oleh itu tunggulah wahai Muhammad masa langit membawa asap kemarau yang jelas lagi nyata menyebabkan kebuluran yang dahsyat, menimpa seluruh keadaan manusia yang kafir itu sehingga mereka berkata: Ini adalah satu azab yang sungguh menyakitkan sehinggalah firman-Nya yang bermaksud: Sudah tentu kamu akan kembali ingkar. Abdullah berkata: Adakah akan diperlihatkan azab Hari Akhirat? Firman Allah s.w.t يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى إِنَّا مُنْتَقِمُونَ Yang bermaksud: Ingatlah! Sekiranya kamu mengulangi keingkaran kamu, kamu akan binasa semasa kami timpakan kamu dengan paluan yang kuat dari pihak lawan kamu sesungguhnya kami tetap akan menyeksa dengan azab yang sebenarnya. Paluan yang kuat itu berlaku ketika peperangan Badar. Ayat-ayat Dukhan (kepulan asap), Batsyah (pukulan), lizam (kepastian seksa orang-orang kafir) dan ayat-ayat Rom semuanya telah berlalu.info
webmaster@mymasjid.net.my