Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Kelebihan Para Sahabat R.a > Bab Kelebihan Aisyah R.a
    Hadis Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi melihat kamu sebanyak tiga malam. Malaikat datang kepadaku membawamu di dalam sehelai kain sutera serta berkata: Inilah isterimu. Lalu aku membuka tutupan dari wajahmu, ternyata itu adalah kamu. Maka aku berkata: Sekiranya perkara itu datangnya dari Allah, pasti ia terlaksana.info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Sesungguhnya aku mengetahui ketika kamu suka dan marah padaku. Maka aku bertanya: Bagaimana kamu mengetahuinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Sekiranya kamu suka padaku, kamu berkata tidak, demi Tuhan Muhammad, tetapi sekiranya kamu marah, maka kamu akan berkata, tidak demi Tuhan Ibrahim. Aku berkata: Benar, Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku tidak akan melupai namamu.info
    Hadis Aisyah r.a: Ketika aku bermain dengan anak patung di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba kawan-kawanku datang kepadaku, tetapi mereka merasa malu kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh mereka menemuiku.info
    Hadis Aisyah r.a: Sesungguhnya orang ramai berusaha untuk memberi hadiah kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda s.a.w berada di rumah Aisyah. Mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredaan Rasulullah s.a.w.info
    Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Beberapa orang isteri Nabi s.a.w meminta Fatimah anak Rasulullah s.a.w supaya menemui baginda s.a.w. Ketika Fatimah meminta izin untuk masuk, Rasulullah s.a.w sedang tidur bersamaku di dalam sehelai kain. Setelah diizinkan masuk Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku datang menemui kamu supaya bertanya tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Quhafah. Ketika itu aku tidak berkata apa-apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Wahai anakku, tidakkah kamu suka apa yang aku suka? Fatimah menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w bersabda: Maka sayangilah isteriku ini. Setelah Fatimah mendengar sabda Rasulullah s.a.w, maka beliau pun pulang dan menemui isteri-isteri Nabi s.a.w. Fatimah menceritakan kepada mereka apa yang telah beliau perkatakan dan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepadanya. Maka isteri-isteri Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu tidak pernah memenuhi keinginan kami, pergilah lagi menemui Rasulullah s.a.w dan katakan kepadanya sesungguhnya isteri-isteri kamu bertanyakan tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Quhafah. Fatimah menjawab demi Allah, aku tidak akan bercakap mengenainya lagi. Aisyah berkata: Maka isteri-isteri Nabi s.a.w menghantar Zainab binti Jahsyin isteri Rasulullah s.a.w. Beliau juga sepertiku, mendapat tempat di hati Rasulullah s.a.w. Aku tidak pernah menemui perempuan selain dari Zainab yang amat mengetahui tantang agama, yang amat takut kepada Allah, yang bercakap benar, suka menghubungkan Silaturahim, suka bersedekah, tekun melakukan kerja yang di yakini betul serta mendapat keredaan dari Allah. Cuma beliau cepat marah tetapi beliau cepat mengawal diri. Beliau meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w dan ketika itu Rasulullah s.a.w berada bersama Aisyah di dalam satu kain, iaitu sama seperti ketika Fatimah menemui baginda. Rasulullah s.a.w mengizinkannya, lalu Zainab berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku menemui kamu. Mereka bertanya tentang keadilan yang kamu berikan kepada anak Abu Quhafah, kemudian beliau mula berkata tentang diriku secara panjang lebar. Aku menunggu di sisi Rasulullah s.a.w, adakah baginda merestui untuk aku berkata-kata, aku melihat Zainab terus berkata-kata sehinggalah aku mengetahui Rasulullah s.a.w membenarkan untuk aku membela diri. Aku menghadapi Zainab dengan cara yang sama dan tidak memberi kesempatan padanya, sehinggalah aku menguasainya. Rasulullah s.a.w tersenyum dan berkata: Ya, memang benar anak Abu Bakar.info
    Hadis Aisyah r.a: Apabila Rasulullah s.a.w merasa kehilanganku, baginda s.a.w berkata: Di manakah aku sekarang? Di manakah aku esok? Baginda s.a.w merasa lama menunggu giliran bersama Aisyah. Beliau r.a berkata: Ketika Allah mengambil nyawa baginda, baginda berada di dalam pangkuanku.info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w hendak musafir, baginda s.a.w akan membuat undian di antara isteri-isteri baginda. Suatu hari, undi terjatuh kepada Aisyah dan Hafsah, lalu kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. Di waktu malam Rasulullah s.a.w berjalan serta bercerita dengan Aisyah. Satu ketika Hafsah berkata kepada Aisyah: Malam nanti, bolehkah aku menaiki unta kamu dan kamu menaiki untaku? Aku pun setuju, maka Aisyah menunggang unta Hafsah dan Hafsah menunggang unta Aisyah. Ketika Rasulullah s.a.w menuju ke arah unta Aisyah yang ditunggang oleh Hafsah. Rasulullah s.a.w mengucapkan salam dan berjalan bersamanya sehinggalah mereka berhenti dan Aisyah yang kehilangan baginda merasa cemburu. Ketika itulah beliau menjatuhkan kakinya di atas rumput tebal sambil berkata: Ya Tuhanku, datanglah padaku kala atau ular, sesungguhnya RasulMu telah menyakitiku dan aku tidak berkuasa untuk berkata sesuatu kepadanya.info
    Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kelebihan Aisyah dari wanita-wanita lain, seperti kelebihan Tarid iaitu sejenis makanan Arab dari makanan-makanan lain.info
    Hadis Aisyah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Sesungguhnya Jibril mengucap salam kepada kamu. Aku pun berkata: Selamat ke atasnya dan semoga dia mendapat rahmat dari Allah.info
webmaster@mymasjid.net.my