Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Haid > Bab Tayamum
    Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan baginda. Apabila kami tiba di Baida' atau di Zatul Jaisy, rantai leherku terputus lalu Rasulullah s.a.w mencarinya. Orang ramai juga turut mencarinya bersama Rasulullah s.a.w sedangkan mereka tidak mempunyai air sedikit pun. Kemudian orang ramai datang menemui Sayidina Abu Bakar r.a lalu berkata: Tidakkah kamu melihat apa yang telah dilakukan oleh Aisyah? Beliau telah menyebabkan Rasulullah s.a.w dan orang ramai mencari tali lehernya sedangkan mereka tidak mempunyai air sedikit pun. Kemudian Abu Bakar mendatangiku dan ketika itu Rasulullah s.a.w sedang tidur dengan meletakkan kepala baginda di atas pahaku. Beliau berkata: Kamu telah menyekat Rasulullah s.a.w dan orang ramai sedangkan kamu dan mereka semuanya tidak mempunyai air sedikit pun. Aisyah berkata: Abu bakar mencelaku dengan kata-kata: مَا شَاءَ اللَّهُ sehinggalah dia mencelaku dengan tangannya. Aku tidak dapat bergerak kerana Rasulullah s.a.w berada di atas pahaku. Rasulullah s.a.w tidur hingga keesokan harinya tanpa ada air sedikit pun. Kemudian Allah menurunkan ayat tayamum. Lalu mereka pun bertayamum. Sehubungan dengan itu, Usaid bin Hudhair, salah seorang pemimpin berkata: Ini bukanlah keberkatan yang pertama kali bagi kamu, wahai keluarga Abu Bakar! Lalu Aisyah pun berkata: Kemudian kami mencari unta yang aku naiki maka kami menemui kalung itu di bawahnya.info
    Hadis Ammar r.a: Diriwayatkan daripada Syaqik r.a katanya: Aku duduk bersama Abdullah dan Abu Musa Al-Asy'ariy. Kemudian Abu Musa berkata kepada Abdullah: Wahai ayah Abdul Rahman, sekiranya seorang lelaki yang berjunub dan dia tidak menemui air selama sebulan, bagaimanakah hendak dilakukan dengan sembahyangnya? Maka Abdullah berkata: Dia tidak bolah bertayamum, sekalipun dia tidak mendapati air selama sebulan. Abu Musa berkata: Bagaimana dengan ayat di dalam surah Al-Maidah: فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا Yang bermaksud: Lalu kamu tidak mendapat air untuk berwuduk dan mandi maka hendaklah kamu bertayamum dengan debu tanah yang bersih. Abdullah berkata: Seandainya mereka diberi keringanan dengan ayat tersebut, nescaya apabila mereka merasakan air itu dingin mereka akan bertayamum dengan tanah. Maka Abu Musa berkata kepada Abdullah: Tidakkah kamu telah mendengar kata-kata Ammar: Rasulullah s.a.w telah mengutuskan aku untuk suatu keperluan kemudian aku berjunub dan aku tidak menemui air, maka aku mengulingkan badan ke tanah sebagaimana binatang yang mengulingkan badannya. Kemudian aku menemui Nabi s.a.w lalu menceritakan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w Baginda bersabda: Sesungguhnya sudah memadai bagi kamu dengan kamu menepukkan tangan kamu begini, kemudian baginda menepukkan tangan baginda ke tanah dengan satu tepukan, kemudian baginda menyapu tangan kiri baginda pada tangan kanan dan belakang kedua tapak tangan dan juga wajah baginda.info
    Hadis Abu Al-Juhaim bin Al-Harith bin As-Simmah Al-Ansariy r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w yang datang dari arah telaga Jamal, baginda lalu berselisih dengan seorang lelaki dan lelaki tersebut mengucapkan salam kepada baginda tetapi Rasulullah s.a.w tidak menjawabnya sehinggalah baginda sampai di dinding, lalu baginda mengusap wajahnya dan kedua tangan baginda, barulah baginda menjawab salam tersebut.info
webmaster@mymasjid.net.my