Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Salam > Bab Kelebihan Orang Yang Memberi Minum Dan Makan Kepada Ternakan Yang Dimuliakan
    Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah s.a.w menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya.info
    Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.info
webmaster@mymasjid.net.my