Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Pakaian Dan Perhiasan > Bab Pengharaman Menggunakan Bekas Air Dari Emas Dan Perak, Kepada Lelaki Dan Wanita Serta Diharamkan Cincin Emas Dan Sutera Untuk Lelaki, Tetapi Dibolehkan Kepada Wanita. Dibolehkan Juga Lelaki Memakai A'lam Iaitu Sutera Yang Dilekatkan Di Baju Selagi Tidak Melebihi Ukurannya Iaitu Empat Jari
    Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menunaikan sumpah dengan benar, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam. Baginda melarang kami memakai cincin atau bercincin emas, minum dengan bekas minuman dari perak, hamparan sutera, pakaian buatan Qasiyyi iaitu pakaian berjalur yang diperbuat dari sutera, serta mengenakan pakaian sutera, sutera tebal dan sutera halus.info
    Hadis Huzaifah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka iaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak.info
    Hadis Ibnu Umar r.a: Umar bin Al-Khattab melihat pakaian bersulam dari sutera di pintu masjid, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana kiranya engkau membeli benda ini, kemudian memakainya di hadapan orang ramai pada hari Jumaat dan ketika ada tetamu atau perutusan datang kepadamu. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang memakai ini hanyalah orang yang tidak mempunyai keuntungan memakainya di akhirat. Beberapa waktu kemudian, Rasulullah s.a.w mendapatkan beberapa kain sutera dan baginda memberikan sebahagian darinya kepada Umar. Umar bertanya: Wahai Rasulullah! Engkau memberikan aku pakaian ini, padahal engkau telah menyatakan mengenai sutera Utarid. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memberikan ini kepadamu bukan untuk dipakai. Lalu Umar memberikannya kepada saudaranya yang masih belum memeluk Islam di Mekah.info
    Hadis Sayidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan pakaian bersulam lalu baginda mengirimkannya kepadaku. Akupun memakainya tetapi aku melihat kemurkaan di wajah baginda. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengirimkan pakaian itu kepadamu bukan untuk dipakai tetapi aku mengirimkannya supaya engkau jadikannya sebagai kain tudung wanita.info
    Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengirimkan sepasang jubah sutera tipis kepada Umar, lalu Umar berkata: Engkau mengirimkan pakaian ini kepadaku, padahal engkau telah memperkatakan mengenainya kelmarin. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku mengirimkannya kepadamu bukannya untuk dipakai tetapi untuk engkau memanfaatkan hasil jualannya.info
    Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian sutera di dunia, maka dia tidak akan memakainya di akhirat kelak.info
    Hadis Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan sejenis pakaian luar yang dibuat dari sutera. Baginda memakainya untuk mendirikan sembahyang. Apabila selesai sembahyang, baginda segera menanggalkannya dengan cepat seperti tidak menyukainya. Kemudian baginda bersabda: Pakaian ini bukan untuk orang-orang yang bertakwa.info
webmaster@mymasjid.net.my