Hadis Sayidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang membuat minuman dalam kulit labu dan bekas yang dicat dengan minyak tar.
Hadis Saidatina Aisyah Ummul Mukminin r.a: Diriwayatkan daripada Al-Aswad katanya: Aku berkata kepada Saidatina Aisyah: Wahai Ummul Mukminin! Khabarkan kepadaku tentang bekas yang telah ditegah oleh Rasulullah s.a.w untuk membuat minuman (tuak). Saidatina Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w melarang kami (ahli bait) membuat minuman nabiz (tuak) dalam kulit labu dan bekas yang disapu dengan minyak tar.
Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Said bin Jubair r.a katanya: Aku bersaksi ke atas Ibnu Umar dan Ibnu Abbas bahawa kedua-duanya bersaksi: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang menggunakan kulit labu, tempayan, bekas yang disapu dengan minyak tar dan kayu yang dilubangi.
Hadis Abdullah bin Amr r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w melarang membuat minuman nabiz (tuak) dalam beberapa bekas, lalu ada orang yang mengatakan: Tidak semua orang-ramai memilikinya. Lalu Rasulullah s.a.w memberi kelonggaran kepada mereka, dengan dibolehkan menggunakan bekas yang tidak disapu dengan minyak tar.
