Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Jual Beli > Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak
    Hadis Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada saudaranya Bani Adiy Al-Ansariy untuk memungut hasil Khaibar. Maka mereka datang dengan membawa kurma janib (kurma yang paling baik mutunya). Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah semua kurma Khaibar seperti ini? Orang itu menjawab: Tidak! Demi Allah, wahai Rasulullah! Aku membelinya satu gantang dengan dua gantang kurma campuran (sebagai bayarannya) Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah begitu, akan tetapi tukarlah dengan jumlah yang sama atau juallah yang ini (kurma yang kurang mutunya) dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualan kurma yang kurang mutunya tadi, kemudian timbangannya mestilah sama.info
    Hadis Abu Said r.a katanya: Bilal pernah menghadap baginda dengan membawa kurma Barni. Rasulullah s.a.w bertanya: Dari manakah kurma ini? Bilal menjawab: Kurma milik aku yang kurang bermutu, maka aku menjualnya dua gantang dengan satu gantang (yang bermutu) untuk juadah Nabi s.a.w. Apabila mendengarnya, Rasulullah s.a.w bersabda: Ah, itu adalah riba. Jangan buat seperti itu. Jika kamu ingin membeli kurma yang baik, juallah kurmamu dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualanmu tadi.info
    Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Diriwayatkan daripada Abu Nadhrah r.a katanya: Aku pernah bertanya Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Adakah saling menerima? Aku menjawab: Ya! Maka beliau berkata: Itu tidak mengapa. Aku memberitahu Abu Said, kataku: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Apakah terus diserah terima? Aku menjawab: Ya! Beliau berkata: Kalau begitu, tidak mengapa. Abu Said berkata: Benarkah dia berkata begitu? Aku akan menulis surat kepadanya supaya dia tidak lagi memberi fatwa begitu kepada kamu. Demi Allah beberapa orang pemuda pernah menghadap Rasulullah s.a.w dengan membawa kurma tetapi baginda tidak mengenali kurma tersebut. Baginda bersabda: Kurma ini kelihatan bukan hasil dari tanah kita. Pemuda tadi berkata: Inilah yang berlaku pada kurma kita, hasilnya tidak begitu baik atau mungkin juga pemuda tersebut berkata: Pada tahun ini tamar kita tidak begitu baik. Oleh itu saya menukarnya dengan kurma ini secara melebihkannya sedikit. Baginda bersabda: Kamu telah melebihkannya, bererti kamu telah melakukan riba. Jangan sekali-kali kamu lakukan perkara sebegini. Apabila ada sesuatu yang meragukan tentang kurmamu maka juallah kurmamu itu kemudian belilah kurma yang kamu inginkan.info
    Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Dinar ditukar dengan dinar, dirham ditukar dengan dirham secara jumlah yang sama. Sesiapa yang berlebihan, maka itu adalah riba. Dikata kepada Abu Said Al-Khudriy: Sesungguhnya Ibnu Abbas tidak berpendapat sedemikian. Katanya: lagi: Aku pernah bertemu dengan Ibnu Abbas, lalu aku berkata: Adakah apa yang kamu katakan itu, kamu mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w atau kamu temuinya di dalam kitab Allah? Dia menjawab: Aku bukan mendengarnya dari Rasulullah s.a.w atau aku temui di dalam kitab Allah, tetapi Usamah bin Zaid yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: Riba itu terdapat dalam penangguhan pembayarannya.info
    Hadis Usamah bin Zaid r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya riba itu terdapat dalam penangguhan bayarannya.info
webmaster@mymasjid.net.my