Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Iman > Bab Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah S.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga
    Hadis Ubadah bin As-Somit r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh daripada-Nya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti begitu juga balasan Neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya.info
    Hadis Muaz bin Jabal r.a katanya: Pernah aku mengekori Nabi s.a.w dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil: Wahai Muaz bin Jabal! Aku terus menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan. Kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut lagi: Telah ke terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah? Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya. Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas? Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui. Akhirnya baginda bersabda: Allah tidak akan menyeksa mereka.info
    Hadis Anas bin Malik r.a: Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.info
    Hadis Itban bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.info
webmaster@mymasjid.net.my