Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Haji > Bab Keterangan Tentang Jumlah Ibadat Umrah Dan Waktunya Yang Telah Dilakukan Oleh Nabi S.a.w
    Hadis Anas r.a: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan ibadat Umrah sebanyak empat kali. Semuanya dikerjakan pada bulan Zulkaedah kecuali ibadat Umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji. Ibadat Umrah tersebut ialah ibadat Umrah secara berihram dari Hudaibiah atau ibadat Umrah yang dikerjakan pada zaman peristiwa Hudaibiah pada bulan Zulkaedah, ibadat Umrah tahun berikutnya yang dikerjakan pada bulan Zulkaedah, ibadat Umrah secara berihram di daerah Ja'ranah sewaktu baginda membahagi harta rampasan perang di Hunain juga pada bulan Zulkaedah dan ibadat Umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji.info
    Hadis Zaid bin Arqam r.a: Diriwayatkan daripada Abu Ishak katanya: Aku pernah bertanya Zaid bin Arqam: Berapa kalikah kamu pernah ikut berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w? Zaid menjawab: Tujuh belas kali. Zaid bin Arqam menceritakan kepadaku: Rasulullah s.a.w pernah berperang sebanyak sembilan belas kali dan baginda mengerjakan ibadat Haji hanya sekali selepas berhijrah iaitu Haji Wida'.info
    Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Urwah bin Az-Zubair katanya: Aku dan Ibnu Umar pernah bersandar di bilik Saidatina Aisyah r.a. Kami mendengar dia sedang bersugi. Lalu aku bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman! Pernahkah Rasulullah s.a.w mengerjakan Umrah pada bulan Rejab? Dia menjawab: Ya! Pernah. Kemudian aku bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu Abdul Rahman? Dia berkata: Apakah yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w pernah mengerjakan Umrah pada bulan Rejab. Tambah beliau lagi: Semoga Allah mengampuni Abu Abdul Rahman. Demi usiaku, baginda tidak pernah mengerjakan Umrah pada bulan Rejab kerana setiap kali Rasulullah s.a.w mengerjakan Umrah, aku selalu mengikuti baginda. Urwah bin Az-Zubair berkata: Ketika itu Ibnu Umar hanya mendengar. Tidak berkata: Ya ataupun tidak. Beliau hanya diam.info
webmaster@mymasjid.net.my