Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Zakat > Bab Memberikan Kepada Orang Yang Ingin Dijinakkan Hatinya Kepada Islam Dan Menyabarkan Orang Yang Teguh Imannya
    Hadis Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya orang ramai dari golongan Ansar telah bercakap-cakap mengenai Peperangan Hunain sewaktu Allah menganugerahkan harta-harta dari kabilah Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy. Melihatkan keadaan itu, mereka pun berkata: Semoga Allah mengampuni Rasulullah. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami iaitu tidak memberi apa-apa kepada kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Anas bin Malik berkata: Kata-kata tersebut disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan agar memanggil golongan Ansar. Baginda menempatkan mereka dalam sebuah khemah dari kulit. Setelah mereka semua berkumpul, Rasulullah s.a.w datang kemudian bertanya: Adakah percakapan yang sampai kepadaku datang dari kamu sekalian? Orang yang bijak di kalangan golongan Ansar menjawab: Orang-orang tua di antara kami tidak mengatakan apa-apa wahai Rasulullah. Pemuda-pemuda dari kalangan kami yang mengatakan: Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada orang Quraisy dan meninggalkan kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberikan kepada orang-orang yang baru saja meninggalkan kekufuran untuk memujuk hati mereka agar tetap dengan Islam. Tidakkah kamu sekalian redha jika mereka beredar dengan membawa harta, sedangkan kamu kembali ke tempat kamu bersama Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang iaitu Rasulullah pasti lebih baik timbangannya dari apa yang mereka bawa iaitu harta. Orang-orang Ansar itu berkata: Tentu sekali kami reda wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian akan menempuhi keadaan yang kamu semua tidak menyukainya. Oleh itu bersabarlah sehingga kamu bertemu Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku akan berada di sebuah telaga menunggu kamu sekalian pada Hari Kiamat. Mereka berkata: Kami akan bersabar.info
    Hadis Abdullah bin Zaid r.a: Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang setelah memenangi Peperangan Hunain kepada orang-orang yang ingin dijinakkan hatinya iaitu baru saja memeluk Islam agar tetap dengan keislamannya. Kemudian baginda mendengar khabar golongan Ansar juga ingin mendapatkan apa yang diperolehi oleh orang-orang lain. Maka Rasulullah s.a.w berdiri dan menyampaikan khutbah kepada mereka. Setelah memuji-muji Allah, baginda bersabda: Wahai golongan Ansar! Tidakkah aku bertemu kamu sekalian dalam keadaan sesat, lalu Allah memandu kamu dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu sekalian dalam keadaan miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu sekalian dalam keadaan berpecah-belah, lalu Allah menyatukan kamu dengan perantaraan aku? Mereka berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih berhak mengungkit-ungkit. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa kamu tidak menjawab pertanyaanku. Mereka berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih berhak mengungkit-ungkit pemberian. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh berkata begitu dan begini sedangkan perkara sebenarnya adalah begini dan begini. Seterusnya baginda menyebut beberapa perkara. Amru iaitu perawi Hadis menganggap perkara-perkara tersebut tidak perlu di hafaz. Selanjutnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu sekalian reda jika orang lain beredar dengan membawa kambing-kambing dan unta, sedangkan kamu beredar dengan membawa Rasulullah ke tempat kamu? Golongan Ansar itu seperti pakaian dalam manakala orang lain seperti pakaian luar (Ertinya orang Ansarlah yang paling dekat di hati Nabi s.a.w). Kalau tidak kerana Hijrah, tentu aku adalah salah seorang di antara golongan Ansar. Seandainya orang ramai melalui lembah dan celah-celah, tentu aku akan melalui lembah dan celah-celah golongan Ansar. Kamu pasti akan didatangi satu keadaan yang tidak disukai selepas aku wafat. Oleh itu bersabarlah hingga kamu bertemu denganku di sebuah telaga pada hari Kiamat.info
    Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Pada hari berlakunya peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w telah mengutamakan beberapa orang sahabat semasa pembahagian. Baginda memberikan seratus ekor unta kepada Al-Aqra' bin Haabis. Begitu juga kepada Uyainah dan beberapa orang bangsawan Arab. Rasulullah s.a.w mengutamakan mereka dalam pembahagian. Lalu seorang lelaki berkata: Demi Allah! Sesungguhnya ini adalah pembahagian yang sama sekali tidak adil dan tidak dimaksudkan untuk mencari keredaan Allah. Aku berkata: Demi Allah! Aku akan menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w. Aku pun datang memberitahu Rasulullah s.a.w mengenai kata-kata lelaki tersebut. Setelah mendengarnya wajah baginda berubah dan kemudiannya baginda bersabda: Siapa lagi yang mampu berbuat adil, jika Allah dan Rasul-Nya tidak berlaku adil? Kemudian baginda bersabda lagi: Semoga Allah memberikan rahmat kepada Nabi Musa. Dia telah disakiti oleh kaumnya lebih banyak dari ini tetapi dia tetap bersabar. Aku berkata: Aku tidak akan menyampaikan apa-apa pun percakapan kepada baginda lagi selepas peristiwa tersebut.info
webmaster@mymasjid.net.my