Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Zakat > Bab Tentang Orang Yang Melonggokkan Harta Dan Ancaman Keras Terhadapnya
    Hadis Abu Zar r.a: Diriwayatkan daripada Al-Ahnaf bin Qais r.a katanya: Pada suatu ketika, aku pergi ke Madinah. Ketika tiba di satu halaqah iaitu lingkungan yang terdapat beberapa orang Quraisy, tiba-tiba datang seorang lelaki yang pakaian kasar, berbadan kasar dan berwajah buruk lalu berhenti berhampiran mereka. Dia berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang melonggokkan harta kerana tidak mahu membelanjakannya di jalan Allah bahawa batu berbara yang dipanaskan di dalam Neraka Jahanam akan diletakkan pada dada mereka hingga terkeluar tulang dada dari hujung kedua bahunya kemudian diletak pula pada hujung kedua bahunya hingga terkeluar tulang bahu dari dadanya. Batu berbara itu tidak pernah berhenti bergerak. Al-Ahnaf berkata: Orang ramai menundukkan kepala masing-masing. Aku tidak dapati seorang pun di antara mereka yang menyahutinya lalu orang itu berlalu. Aku mengekorinya sehinggalah dia berhenti di tempat satu rombongan. Lalu aku berkata kepadanya: Aku tidak melihat pada mereka kecuali rasa tidak suka terhadap apa yang engkau katakan kepada mereka. Orang itu berkata: Mereka tidak mengetahui atau memikirkan apa pun. Dulu orang yang kucintai, Abu Al-Qasim iaitu Rasulullah s.a.w memanggilku lalu aku pun menyahut panggilan baginda. Baginda s.a.w bertanya kepadaku: Adakah engkau melihat bukit Uhud? Aku melihat ke arah matahari dan aku menyangka baginda akan mengutusku untuk suatu keperluan. Aku pun menjawab: Aku melihatnya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak akan merasa tenang sekalipun aku mempunyai emas sebesarnya yang dapat aku belanjakan kesemuanya kecuali tinggal tiga dinar. Kemudian orang-orang itu mengumpulkan harta dunia dan mereka itu tidak mengetahui atau memikirkan apa pun. Al-Ahnaf bertanya: Kenapa dengan engkau dan saudara-saudaramu dari Quraisy? Kenapa engkau tidak berjumpa mereka dan memintanya dari mereka? Orang itu berkata: Tidak, demi Tuhanmu! Aku tidak akan meminta keperluan dunia daripada mereka dan juga meminta keputusan daripada mereka mengenai urusan agama sehinggalah aku menemui Allah dan RasulNya.info
webmaster@mymasjid.net.my