Perkahwinan: Pasangan Perlu Amalkan Toleransi

Oleh Anne_HarYani
12-Mar-2003 11:16:53
Wanita umpamanya, diibaratkan sebagai salah seorang pengurus dalam sebuah syarikat. Jika mereka jatuh sakit sehingga menjejaskan fizikal dan mental, maka perjalanan sesebuah syarikat itu akan terganggu ataupun mengalami kerugian.

Begitu juga dalam rumah tangga di mana isteri adalah seorang penolong pengurus kepada suami. Isteri atau ibu yang tidak mampu menguruskan rumahtangga hanya akan mengundang gelora dalam rumah tangga.

Rumah tangga pasti tidak lagi terurus dan jika ia isteri tidak seperti diharapkan, si suami mungkin beralih minat kepada yang lain. Untuk menghindari kejadian pahit seperti ini, wanita harus membekalkan dirinya dengan kelengkapan dan persediaan yang secukupnya sebelum menempuh gerbang perkahwinan.

``Bagi yang sudah berumahtangga dan menghadapi masalah dengan pasangannya, bertindaklah segera sebelum parah, sebelum nasi menjadi bubur,'' demikian menurut pengusaha Butik Kecantikan Aina-Ailaa, Nurulnaha Abdul Razak.

Menurutnya, kekuatan
www.myjodoh.net
ikatan suami dan isteri itu ditentukan oleh pasangan itu sendiri.

Si isteri katanya, perlu memahami serta menghayati sifat pasangan mereka serta anak-anak.

``Suami disifatkan sebagai matahari yang sentiasa panas, isteri pula seperti bulan. Mereka digambarkan cantik, lembut dan indah dipandang, manakala anak-anak pula umpama bintang, iaitu sifatnya sebagai penghibur dalam rumah tangga.

``Dalam keadaan ini, si isteri perlu bijak mengimbangi akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu dan isteri pada masa sama sebagai pekerja,'' ujarnya.

Beliau menarik perhatian, walaupun terikat dengan tugasan, masing-masing perlu meluangkan sedikit masa antara satu sama lain. Ini kerana katanya, sedikit masa yang digunakan adalah lebih bermakna dari apa yang dijangkakan.

Beliau berkata demikian pada bengkel Gaya Anggun-Nu della yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel setengah hari itu antara lain bertujuan mendidik masyarakat khususnya wanita mengenai penjagaan kesihatan dalaman.

Antara segmen-segmen menarik pada bengkel tersebut termasuk berkongsi rahsia kecantikan dengan penyanyi Hetty Sarlene, teknik solekan oleh juru solek Mohd Zambry Sulaiman serta cara pemakaian tudung.

Norulnaha dalam ceramahnya juga berkata, untuk menawan hati suami, seseorang isteri perlu bijak menguruskan rumah tangga.

Si isteri katanya, tidak sahaja perlu menitik beratkan soal menjaga makan minum, serta pakaian suami sahaja.

Sebaliknya, setiap isteri sentiasa perlu berdandan bagi menarik perhatian pasangan. Ini kerana katanya, dengan cara itu sahajalah si isteri boleh memikat suami agar tidak mudah tertarik dengan wanita di luar.

Norulnaha berkata, kebanyakan wanita terutama mereka yang berkerjaya sering kali menumpukan perhatian dalam penjagaan dan perawatan kulit muka, tetapi sering mengabaikan kecantikan yang berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan.

``Suami biasanya suka dilayani seperti raja oleh isterinya yang memiliki sifat keibuan.

``Mereka lebih cenderung kepada isteri yang kreatif terutama dalam soal memasak dan menghias rumah serta cara layanan di bilik tidur,'' ujarnya.

Beliau juga tidak menolak bahawa antara punca berlakunya suami beralih arah ialah hilangnya sikap saling mempercayai antara satu dengan lain.

Pun begitu kata Norulnaha, hanya ketakwaan yang dapat menguasai ego suami dan membantunya membentuk peribadi muslin yang baik dan menjadi suami yang ideal.

``Lelaki tidak akan mudah cair dengan ucapan cinta tetapi cukup dengan keluhuran anda dalam berkorban untuk taat dan menyayangi dirinya. Ini kerana lelaki hanya keras pemikirannya tetapi sensitif perasaannya.

Sementara itu, para peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menghadiri bengkel seumpamanya yang dianggap banyak memberi manfaat.

Ini terutamanya, kalangan remaja wanita dan mereka yang bergelar isteri.

Seorang peserta, Norashikin Kassim, 28, berkata dalam zaman yang serba mencabar seperti sekarang ini wanita yang bergelar isteri dan ibu tidak hanya tertumpu kepada menguruskan hal-hal rumahtangga sahaja.

Sebaliknya, kata ibu kepada tiga orang cahayamata ini, golongan suri rumah juga perlu mendedahkan diri dengan pelbagai pengetahuan.

``Ini terutamanya bagaimana untuk meningkatkan diri mengenai pengurusan rumah tangga termasuk cara memikat suami,'' ujarnya yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan semata-mata mahu mengikut bengkel ini.

Sementara itu, Norma Shaari, 33, pula berkata, biarpun dihimpit kesibukan dan tanggungjawab terhadap tugas harian, beliau tetap meluangkan masa menghadiri bengkel seumpamanya.

Menurutnya, kesemua itu dilakukan semata-mata didorong rasa tanggungjawab serta kesedaran meningkatkan diri sendiri.

``Jika sebelum ini saya kurang arif tentang soal penjagaan diri dan kecantikan, kini saya lebih terbuka,'' ujarnya.

Bagi Mawar Mokhtar, 25,pula melalui bengkel yang diikuti banyak perkara diketahui. Ini terutamanya, mengenai tips-tips menjaga kecantikan secara asas bagi wanita.

Menurutnya, kesibukan sebagai seorang penuntut di salah sebuah universiti tempatan sama sekali tidak menghalangnya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.

``Semua itu untuk kebaikan saya sendiri. Dengan ilmu yang diperoleh sekurang-kurangnya dapat meningkatkan diri saya sebagai seorang wanita,'' ujarnya yang baru pertama kali mengikuti bengkel seumpamanya.


*dipetik dari utusan malaysia 12/3/03
?Le amo siempre mi amor!

 

webmaster@mymasjid.net.my