Terkini  Popular    Mula Topik

Wanita Mudah Terdedah Anemia

2005-08-08 09:08:29
Oleh
Hamzah
Oleh Hafizah Iszahanid (Berita Harian)


WALAUPUN tidak didefinisikan sebagai penyakit, masalah kurang darah atau anemia adalah satu keadaan serius yang menjadikan kita berasa letih dan lemah. Kadang kala mudah hilang tumpuan dan keliru.

Masalah kurang darah sebenarnya menyerang semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau sosiobudaya. Di Amerika misalnya menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika ia dianggarkan 3.4 juta warganya berhadapan dengan anemia.

Darah secara lebih khusus merangkumi sel darah (merah dan putih) dan platelet. Sel darah merah mengandungi hemoglobin (hb) yang membawa oksigen dari paru-paru ke otot dan organ tubuh. Kerana itu, anemia jika tidak dirawat, ia mungkin akan membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Apabila jumlah sel darah merah menurun, jantung bekerja lebih keras mengepam lebih banyak darah untuk memastikan jumlah oksigen yang cukup dihantar ke seluruh tubuh.

Jika jantung bekerja terlalu kuat, ia mungkin akan berhadapan dengan tachycardia, degupan jantung pantas, dan/atau keadaan lain yang dikenali sebagai ventricular hypertrophy (LVH) merujuk pada pembesaran otot jantung yang mungkin membawa kepada kegagalan fungsi jantung.

Begitupun, Pakar Perunding, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Loo Kok Lim berkata, anemia sebenarnya mudah dirawat.

“Anemia dikaitkan dengan kekurangan zat besi, vitamin B12 atau asid folik yang berfungsi mensentisiskan darah merah. Apabila satu daripada tiga unsur ini berkurangan, masalah kurang darah biasa dihadapi. Jadi, rawatan mudah memenuhi kekurangan itu,” katanya.

Begitu, masalah kurang darah tidak hanya tertumpu kepada kekurangan tiga unsur berkenaan sebaliknya, ia juga mungkin disebabkan oleh penyakit kronik, seperti peptic ulcer disease atau barah dalam perut, buasir, pengeluaran darah haid yang terlalu banyak, parasit (bagi kanak-kanak) iaitu cacing yang tinggal di dalam usus, hamil atau kerap hamil, bayi yang tidak menyusu secukupnya, kehilangan darah atau kesan pengambilan ubat tertentu juga penyerapan zat yang kurang (malabsorption) .

Secara umum kata Dr Loo, anemia lebih banyak berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Begitupun bacaan kurang 13.5 g/dl (gram per desiliter darah) bagi lelaki dianggap sebagai anemia manakala kurang dari 12.0 g/dl pula bagi wanita.

Tanda awal anemia

Penat yang ekstrem

Keletihan

Nafas pendek

Keliru atau hilang tumpuan

Pening atau pengsan

Kulit pucat termasuk bibir, tapak tangan dan gusi

Berasa sejuk

Kesedihan atau kemurungan

Dr Loo berkata, jika anda menghadapi tanda-tanda di atas, anda mungkin berhadapan dengan anemia. Mengdiagnosis anemia biasanya bermula dengan berpandukan rekod perubatan atau rawatan fizikal dan ujian darah termasuk ukuran level darah dan sel darah merah juga hemoglobin.

“Jika anda fikir semua tanda-tanda itu ada pada anda, berjumpalah dengan doktor untuk pengesahan dan rawatan. Selain itu, anda boleh memilih hidangan makanan yang lebih banyak mengandungi folik, zat besi dan vitamin B12,” katanya.

Dr Loo berkata, semua bahan itu boleh ditemui dalam sayur-sayuran hijau, daging merah, organ dalaman seperti hati tetapi pengambilan organ dalaman dan daging merah jangan terlalu banyak kerana ia mengandungi kadar kolestrol yang tinggi dan boleh menyebabkan sakit jantung.

Adakah anda juga berhadapan dengan anemia? Jawab secara jujur. Jika semuanya ya, bagus untuk mendapat pengesahan doktor.


Adakah anda kerap letih dan penat?

Adakah anda kerap berasa lemah dan tidak bermaya?

Pernahkah berhadapan dengan masalah nafas pendek

Pernah rasa keliru dan hilang tumpuan?

Pernah terasa pening atau pengsan

Adakah kulit termasuk bibir, gusi atau kuku pucat?

Denyutan jantung pantas?

Kerap terasa sejuk

Pernah terasa sedih atau tertekan?Keredhaan Allah sebahagiannya terletak pada izin dan restu ibubapa.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my