Terkini  Popular    Mula Topik

1,000 Aduan Sehari

2005-03-30 13:24:09
Oleh
Nurulaini
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kes dikendali Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berjaya diselesaikan dan berakhir dengan pengusaha pelbagai produk terutama makanan yang menyalahguna logo halal, diheret ke mahkamah.

Ini sekali gus memantapkan kredibiliti persatuan itu dan mendorongnya terus memperjuangkan hak pengguna, terutama umat Islam, walaupun ada pihak tertentu mempertikaikan tindakan PPIM.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman, berkata pihaknya menerima kira-kira 800 hingga 1,000 aduan setiap hari berkaitan penggunaan logo halal meragukan pada bungkusan atau kandungan bahan makanan di pasaran.

Katanya, perkembangan itu membuktikan pengguna, khususnya umat Islam terus menaruh harapan tinggi terhadap PPIM, biarpun sesetengah mereka mempertikaikan kredibiliti persatuan itu berikutan isu usus babi digunakan sebagai sarung sosej dan penyalahgunaan logo halal, baru-baru ini.

Beliau berkata, PPIM mempunyai prosedur tertentu dalam menangani sesuatu kes yang dilaporkan pengguna dan bukannya bertindak terburu-buru atau sesuka hati tanpa menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu.

“PPIM tidak menyerbu sesuatu premis sesuka hati tetapi dilakukan berdasarkan siasatan terperinci, termasuk membuat intipan selama beberapa minggu.

“Oleh itu, kesilapan serbuan tidak pernah wujud kerana yakin pihak terbabit melakukan kesalahan sama ada menggunakan produk tidak halal atau penyalahgunaan logo halal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan PPIM menyerbu beberapa premis pengeluar sosej sebelum ini adalah silap dan dipertikaikan.

Kelmarin, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal mengumumkan analisis Jabatan Kimia terhadap contoh sosej yang dirampas di dua kilang di Selayang, didapati tidak mengandungi bahan berasaskan babi.

Bagaimanapun, pengusaha kedua-dua kilang terbabit tetap dikenakan tindakan undang-undang kerana didapati menggunakan sijil halal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang sudah tamat tempoh.

Kedua-dua kilang itu akan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 15, Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo yang tidak dibenarkan agensi yang mengeluarkan sijil.

Pada 14 Mac lalu, PPIM mendedahkan kegiatan kedua-dua kilang terbabit yang disyaki menggunakan bahan makanan tidak halal apabila menjadikan usus haiwan sebagai sarung sosej serta mempamerkan logo halal yang tamat tempoh sah.

Dr Ma’amor berkata, pihaknya mengakui wujud pertikaian itu melalui e-mel, panggilan telefon dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Isu dipertikaikan ini menjadi lebih besar apabila Jabatan Kimia mengesahkan tiada sebarang unsur babi ditemui dalam sampel sosej yang dirampas daripada dua kilang pengeluarannya di Selayang, baru-baru ini.

“PPIM tidak mengatakan sarung sosej itu diperbuat daripada usus babi tetapi hanya mengakui ianya dibuat daripada sumber semula jadi iaitu protein haiwan,” katanya.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my