Terkini  Popular    Mula Topik

Amalkan Budaya Saling Menasihati

2005-02-03 09:16:18
Oleh
Xmeng
MANUSIA dijadikan oleh Allah dalam keadaan serba kekurangan. Atas kekurangan inilah, maka manusia sering melakukan kesilapan. Tiada seorang manusia pun yang tidak pernah melakukan kesilapan. Ini kerana manusia tidak mempunyai sifat maksum seperti rasul. Oleh itu, kesilapan di kalangan manusia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sama ada atas sebab kecuaian, terlupa atau sebagainya.
Oleh hal yang demikian, Islam iaitu agama yang bersesuaian dengan fitrah manusia, menetapkan betapa perlunya wujud amalan saling nasihat menasihati sesama manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ashr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran".

Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita betapa perlunya budaya nasihat menasihati di kalangan manusia. Sikap sedemikian akan dapat mengelakkan manusia daripada tergolong dalam golongan manusia yang rugi.

Islam menyarankan kepada umatnya supaya melakukan amalan saling nasihat menasihati bukanlah dengan tujuan mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Ini kerana ia adalah untuk memastikan manusia itu, khasnya umat Islam berada di landasan kebenaran dan kesabaran. Ini akan menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup manusia sejagat khususnya dan kepada sekalian alam amnya.

Firman Allah itu tadi juga mengandungi perkataan 'saling nasihat-menasihati' dan ini memberi maksud perbuatan menasihati perlu dilakukan secara berterusan. Ini kerana manusia yang sudah semula jadi dijadikan serba kekurangan dan kelemahan, akan pasti mengulangi kesilapan yang serupa sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Maka dengan itu, nasihat dan peringatan yang berterusan amat diperlukan sehinggalah ia menjadi sebati dengan diri mereka.

Sesuatu yang amat menyedihkan ialah ada sebilangan manusia yang tidak boleh ditegur atau menerima nasihat. Bagi mereka, segala apa yang dilakukan adalah betul belaka manakala orang lain pula adalah di pihak yang salah. Sikap sedemikian pada hakikatnya hanya merugikan diri sendiri. Ini kerana mereka yang tidak mengamalkan sikap saling menasihati ini adalah dikira sebagai manusia yang rugi baik di dunia mahupun di akhirat sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat itu tadi. Oleh yang demikian, kita selaku umat Islam seharusnya menggalakkan budaya nasihat menasihati ini berjalan dengan baik dalam masyarakat.

Budaya nasihat menasihati sebagaimana yang disarankan dalam ayat itu tadi bukan saja dapat memperbetulkan diri kita daripada terjerumus ke dalam kerosakan dan kebinasaan, bahkan dapat menguatkan dan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam. Ini kerana sikap itu menjadi simbol atau bukti betapa kasihnya saudara seagama kepada diri kita. Mereka tidak rela dan reda untuk membiarkan kita berterusan berada dalam keadaan kerosakan dan kemusnahan.

Oleh itu, tidak ada sebab mengapa manusia tidak suka menerima nasihat. Nasihat adalah sesuatu yang baik. Sifat saling membantu seperti inilah yang meletakkan manusia di kedudukannya yang lebih tinggi dan mulia berbanding haiwan yang hanya tahu mementingkan diri sendiri saja.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Agama itu adalah nasihat." Hadis ini menjelaskan kepada kita agama Islam itu sendiri adalah agama nasihat iaitu nasihat adalah salah satu cara ia disebarkan dan diterangkan. Rasulullah sendiri ketika menyampaikan ajaran Islam selalu menasihati manusia supaya menyembah Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Ini juga memberi maksud, lahir dan berkembangnya agama Islam itu sendiri adalah atas dasar nasihat.

Bagi menjamin diri kita tidak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi, maka tidak dapat tidak kita perlu memulakan dari sekarang memberi nasihat kepada saudara seagama kita ke arah kebenaran dan kesabaran. Pada masa yang sama, kita perlu bersedia menerima nasihat dan segera berusaha memperbaiki diri.

Sikap seperti inilah yang perlu kita amalkan sebagai umat Islam kerana nasihat menasihati adalah ciri-ciri masyarakat Islam yang diredhai Allah.

Copy & pasteManusia yang tidak ada masalah dalam hidupnya bukanlah dinamakan manusia, tetapi 'robot bernyawa' yang telah diprogramkan.





Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my