Terkini  Popular    Mula Topik

Salah Faham Terhadap Islam

2004-10-30 13:32:46
sekadar untuk dikongsi bersama...moga kita sama-sama mendapat manfaat bersama....insya-Allah...Strive for islam....(^-^)v


SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM

Tiada siapa pun yang boleh menyangkal, baik orang itu adalah beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam bahwa kebanyakan siri keganasan ini telah dilakukan oleh orang Islam. Namun itu bukanlah bermakna bahawa orang yang tidak beragama Islam tidak melakukan keganasan. Cuma bezanya di sini ialah dalam konteks keganasan era ini, apabila terdapatnya keganasan yang dilakukan oleh orang Islam, ia akan terus dilabelkan sebagai keganasan Islam (Muslim terrorism) dan akan terus dihubungkait dengan kepercayaan dan agama Islam sementara jika keganasan itu dilakukan oleh orang bukan Islam, keganasan mereka ini tidak pula dihubungkaitkan secara langsung dengan agama mereka dan tidak pula dilabelkan sebagai keganasan Kristian (Christian terrorism), keganasan Yahudi (Jew terrorism) dan sebagainya.

Tindakan pantas telah dilakukan oleh pihak Amerika Syarikat apabila bangunan kerajaan di Bandar Oklahoma telah dibom dan dengan sewenang-wenangnya mereka telah menuduh kejadian itu adalah angkara pengganas Islam dengan secara membuta tuli tanpa apa-apa bukti yang kukuh. Namun, apabila penyiasatan dijalankan dengan teliti, akhirnya diketahui bahawa kejadian itu adalah bukan angkara orang Islam bahkan ia adalah angkara pengganas yang beragama Kristian, kenyataan itu telah dibiarkan dan insiden itu tidak pula dilabelkan sebagai Keganasan Kristian (Christian terrorism).

Jika kita lihat, terdapatnya perbalahan berpanjangan yang berlaku di Ireland utara adalah hasil daripada perbezaan di antara dua pegangan agama Kristian. Tidak kira masa berlakunya pengeboman, pembunuhan dan telah menyebabkan kecederaan kepada ramai orang awam yang telah dilakukan sama ada oleh pihak The Irish Republican Army (IRA) dan pihak yang bersaing dengan mereka iaitu puak yang berpegangan Kristian Protestan yang mana sebenarnya kita bolehlah menyifatkan mereka sama ada sebagai pengganas Katolik (Catholic terrorist) ataupun pengganas Prostestan (Prostestant terrorist) tetapi hal ini tidak pula terjadi dan mereka tidak pula bahkan tidak pernah dilabelkan sebagai pengganas agama sedangkan itu adalah realitinya.

Keganasan yang dilakukan oleh orang Kristian di Ireland utara tidaklah sedahsyat yang dilakukan oleh puak kristian Serb di Bosnia-Herzegovina terhadap orang Islam di sana. Lebih sepuluh ribu orang Islam di Bosnia-Herzegovina telah dicabul, kelaparan, didera dan dibunuh dengan kejam oleh orang Serb. Terdapat banyak kubur-kubur besar yang menanam sejumlah besar orang Islam Bosnia yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang Serb boleh ditemui dimana-mana. Orang Serb-Bosnia dengan secara terbukanya telah mengistiharkan bahawa mereka sedang melakukan penghapusan etnik (ethnic cleansing) untuk menghalang kebangkitan orang Islam di Eropah. Namun pihak Eropah enggan pula mengakui bahawa penghapusan etnik yang dilakukan oleh orang Serb beragama Kristian ini adalah bersifat pembunuhan seluruh bangsa (genocide) padahal itulah realitinya.

Namun, pembunuhan kejam dan keganasan yang telah dilakukan oleh pihak Kristian Serb ini tidak pernah pula dilabelkan sebagai keganasan Kristian (Christian terrorism). Sebaliknya, pihak Eropah dengan relanya telah menyerahkan kawasan-kawasan perlindungan orang Islam kepada pihak Serb yang mana telah menyebabkan berlakunya pembunuhan kejam terhadap beribu-ribu pemuda Islam.

Secara andaian dan memang cuma andaian sahaja, ia hanya tidak lain, cuma orang Bosnia-Slav yang beragama Islam yang memiliki senjata pada ketika itu dan jumlah mereka juga sebenarnya adalah dalam kuantiti yang kecil yang mana gerakan ini telah ditaja oleh beberapa negara Islam dan mereka telah melakukan beberapa siri pemberontakan. Namun dunia dengan tiba-tiba secara lantangnya terus melabelkan mereka sebagai ‘Muslim Terrorist’ dan NATO (North Atlantic Treaty Organization) terus bertindak dan terus meragut kemerdekaan Bosnia-Herzegovina sedangkan ketika orang-orang Serb mengganas dan menindas orang Islam Bosnia, tiada pula dilakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya.

Tetapi bagi sesetengah persepsi dunia barat tentang orang Islam, mereka lebih mementingkan apa yang dilakukan terhadap mangsa keganasan puak Islam yang fanatik dan di atas nama fundamental adalah lebih penting jika dibandingkan dengan jumlah orang Islam dan bukan Islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas beragama Kristian. Salah faham terhadap Islam dan orang Islam oleh dunia barat yang mengandaikan keganasan adalah merupakan suatu pegangan semulajadi orang Islam. Percubaan orang Islam untuk membuktikan bahawa orang Islam itu juga sebenarnya mementingkan keamanan sepertimana orang yang bukan beragama Islam juga telah disalahertikan dan ditolak ke tepi mentah-mentah.
Apa yang telah dilakukan oleh Al-Qaeda dan pengganas-pengganas atas nama Islam telah menyebabkan pihak Barat yakin bahawa umat Islam mahu memusnahkan mereka. Dalam menghadapi keadaan ini, sudah tentu mereka perlu bertindak keras dan yang menerima balasannya, adalah umat Islam. Itulah yang kini ditanggung oleh rakyat Afghanistan, Iraq dan juga Indonesia, yang turut menerima padah akibat ketidakstabilan ekoran pengeboman-pengeboman yang hanya mendatangkan penderitaan.

Keganasan sebenarnya merupakan masalah global dan bukan masalah AS semata-mata. AS menjadi sasaran serangan pengganas kerana negara itu merupakan pencetus kepada banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk dunia ketika ini khususnya umat Islam. Tetapi cara dan pendekatan yang dilakukan oleh AS untuk memeranginya adalah silap kerana Washington tidak pernah mengambil kira pandangan pihak-pihak lain terutamanya negara-negara Islam. Impaknya, negara itu telah menjadi sasaran kebencian umat Islam yang tidak puas hati dan apabila hal itu terjadi mereka dengan sewenangnya mengatakan Islam itu adalah agama keganasan sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

Kumpulan pengganas tidak semestinya diperangi kembali tetapi AS perlu mencari punca mengapa keganasan wujud. Hanya dengan mengetahui puncanya, baru masalah ini dapat diselesaikan. Tetapi apa yang dilakukan oleh AS iaitu memburu tanpa mempedulikan atau menerima pandangan pihak lain menjadi sebab mengapa keganasan dijadikan pilihan sesetengah pihak untuk memperjuangkan matlamat mereka. Ia juga faktor mengapa AS dan kepentingan bisnesnya seperti rangkaian hotel JW Marriot dijadikan sasaran kebencian.

Jika dilihat daripada salah faham demi salah faham terhadap agama Islam, sebenarnya orang Islam mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membendung perkara ini dengan mengambil langkah-langkah yang efektif untuk membuktikan Islam itu bukanlah agama keganasan. Orang Islam seharusnya membuktikan kemampuan orang Islam dengan mempertingkatkan dan memperkuasai ilmu pengetahuan dan bukanlah dengan cara melakukan keganasan-keganasan. Ini adalah kerana jika kita mahu disegani dan dihormati, kita haruslah menguasai ilmu pengetahuan dan hal ini sebenarnya amat ditekankan di dalam ajaran Islam.
Tetapi apa yang terjadi sekarang ini adalah orang Islam sesama sendiri terus berantakan dan melakukan siri-siri keganasan. Keganasan yang dilakukan oleh mereka yang fanatik ini tidak lebih daripada memburukkan lagi situasi dan nama baik agama Islam di mata dunia. Untuk menjadi yang disegani, negara-negara Islam haruslah kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah untuk memandu arah tujuan mereka agar dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.
Hakikat sebenarnya, agama Islam akan terus diancam dan terus dihina adalah suatu perkara yang nyata dan kini situasi ini kelihatan semakin nyata. Perkara ini adalah sepertimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran) seandainya mereka sanggup”

(Surah Al-Baqarah: ayat 217)

bersambung.....

p/s:dipetik daripada assigment TITAS saya bertajuk "ISLAM DAN ISU KEGANASAN ANTARABANGSA" notin else materz..ahakz!!

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my