Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Jihad Dan Strateginya > Bab Peperangan Khaibar
    Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar sekumpulan demi sekumpulan pada waktu malam, kemudian salah seorang dari kalangan pejuang bertanya kepada Amir bin Al-Akwa' yang terkenal sebagai seorang penyair: Bolehkah kamu memperdengarkan kepada kami alunan syairmu? Lalu Amir memenuhi permintaan itu dengan mengalunkan beberapa rangkap syairnya: اللَّهُمَّ لَوْلَا أَنْتَ مَا اهْتَدَيْنَا وَلَا تَصَدَّقْنَا وَلَا صَلَّيْنَا فَاغْفِرْ فِدَاءً لَكَ مَا اقْتَفَيْنَا وَثَبِّتِ الْأَقْدَامَ إِنْ لَاقَيْنَا وَأَلْقِيَنْ سَكِينَةً عَلَيْنَا إِنَّا إِذَا صِيحَ بِنَا أَتَيْنَا وَبِالصِّيَاحِ عَوَّلُوا عَلَيْنَا Yang bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Sebagai balasan untuk Engkau, maafkanlah apa yang telah kami usahakan. Mantapkanlah langkah kami ketika bertemu musuh. Dan kurniakanlah kepada kami suatu ketenangan. Bila semboyan berkumandang kami segera maju. Oleh itu bantulah kami dalam peperangan. Setelah mendengar alunan syair tersebut, Rasulullah s.a.w terus bertanya: Siapakah orang yang mengalunkan syair tadi? Lalu para sahabat sama-sama menjawab: Amir! Baginda pun menjawab: Mudah-mudahan Allah merahmatinya. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia akan mati syahid bila engkau memberi kesempatan kepadanya. Lalu kami semua menyerbu Khaibar dan mengepung penduduknya sehingga kami benar-benar kehausan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah akan menundukkan Khaibar di tangan kamu semua. Pada waktu petangnya ketika Khaibar telah berjaya ditakluki, mereka telah menyalakan api yang besar, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah tujuan mereka menyalakan api ini? Para sahabat menjawab: Untuk membakar daging. Baginda bertanya lagi: Daging apa? Lalu para sahabat menjawab: Daging keldai-keldai peliharaan. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Buang dan pecahkannya (tempat atau bekas yang digunakan). Kemudian seorang sahabat bertanya: Bagaimana kalau bekas tersebut dibersihkan? Maka baginda pun menjawab: Atau begitu pun boleh juga. Ketika tentera Muslimin telah berbaris dan bersedia untuk bertempur, Amir menghunus pedangnya tetapi tidak menepati sasaran, lalu dipegangnya betis seorang Yahudi untuk dibunuh, tetapi hujung pedangnya terbalik dan mencederakan lututnya (Amir) sendiri dan beliau telah gugur syahid. Mengikut riwayat, semasa perjalanan pulang Salamah berkata: Dia (saudara Amir bin Al-Akwa') memegang tanganku erat-erat, dia amat sedih dengan kehilangan saudaranya. Semasa Rasulullah s.a.w melihatku, baginda hanya terdiam sahaja, kemudian baginda bertanya: Apa hal? Aku menjawab: Ambillah ayah dan ibuku sebagai balasan sekiranya kata-kataku ini salah, orang ramai menganggap Amir telah melakukan perbuatan yang sia-sia. Lalu baginda bertanya: Siapa yang berkata begitu? Akupun menjawab: Polan, Polan dan Usaid bin Hudair Al-Ansariy. Lalu baginda menjawab: Kata-kata orang tersebut adalah tidak benar, sesungguhnya dia mendapat dua ganjaran (sambil mengisyaratkannya dengan dua jari) iaitu sebagai seorang yang mentaati Allah dan juga sebagai seorang pejuang. Jarang sekali orang Arab yang bertempur mendapat ganjaran sepertinya.info
webmaster@mymasjid.net.my