Sahih Muslim > Kitab Jihad Dan Strateginya > Bab Doa Nabi S.a.w Dan Kesabaran Baginda Menghadapi Penghinaan Dari Orang Orang Munafik
    Hadis Usamah bin Zaid r.a: Sesungguhnya pada suatu hari Nabi s.a.w menaiki seekor keldai yang berpelana dan di bawahnya ada kain selimut yang agak lusuh buatan Fadakiah. Sementara itu Usamah mengikuti dari belakang baginda untuk menjenguk Saad bin Ubadah di kalangan Bani Al-Harith bin Al-Khazraj. Peristiwa itu terjadi sebelum peperangan Badar. Semasa dalam perjalanan tersebut baginda telah pergi ke suatu majlis yang bercampur di antara kaum Muslimin dengan orang-orang Musyrikin yang menyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di dalam majlis tersebut terdapat orang yang bernama Abdullah bin Ubai dan Abdullah bin Rawahah. Ketika majlis tersebut ditutupi oleh debu-debu yang berterbangan dari tapak kaki binatang, Abdullah bin Ubai menutup hidungnya dengan kain serban agar tidak dimasuki oleh debu-debu tersebut. Oleh kerana tidak tertahan dengan debu itu, Abdullah bin Ubai berkata: Jangan taburkan debu padaku. (Setelah beliau terlebih dahulu berada di samping mereka), Nabi s.a.w kemudiannya berhenti dan turun dari keldainya, kemudian baginda menyeru mereka kepada Allah dengan membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Setelah mendengarnya, Abdullah bin Ubai berkata: Wahai seseorang! Aku kira lebih baik kamu duduk di rumah saja sekiranya apa yang kamu katakan itu benar, maka janganlah kamu menyakiti kami di majlis kami sendiri. Pulanglah kamu ke rumahmu. Sesiapa di antara kami yang datang kepadamu, maka ceritakanlah kepadanya. Seterusnya Abdullah bin Rawahah berkata: Sertailah majlis kami, sesungguhnya kami lebih menyukainya. Oleh itu orang-orang Islam sendiri, orang-orang musyrik dan juga orang-orang Yahudi yang hadir di dalam majlis tersebut semuanya mencaci maki Nabi s.a.w seolah-olah mereka mahu menerkam baginda. Namun begitu Nabi s.a.w tetap tenang dengan sikap dan karenah mereka. Sementara itu baginda tanpa banyak bicara terus menaiki keldainya ke tempat Saad bin Ubadah, lalu Nabi s.a.w bersabda: Wahai Saad! Apakah kamu tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Abu Hubad beliau menyuruh Abdullah bin Ubai berkata begini dan begini? Saad bin Ubadah cuba menghiburkan baginda dengan berkata: Maafkanlah beliau wahai Rasulullah! Maafkanlah beliau. Demi Allah, tuhan engkau (baginda) telah memberikan apa yang memang hendak Dia berikan kepada engkau (baginda). Sesungguhnya penduduk Madinah ini sudah ramai yang bergabung dan menaikkan engkau (baginda). Kalau sekiranya Allah menarik semula perkara itu dengan kebenaran yang telah Dia berikan kepada engkau, itu bererti ada yang masih belum sempurna. Nabi s.a.w dapat memahami ucapan Saad tersebut dan akhirnya baginda memaafkan perbuatan Abdullah bin Ubai.info
    Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Seorang sahabat berkata kepada Nabi s.a.w: Bagaimana kalau anda menemui terus Abdullah bin Ubai? Tanpa memberi sebarang jawapan, baginda terus berangkat menemui Abdullah bin Ubai dengan menaiki seekor keldai dan diikuti oleh kaum Muslimin. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang, Rasulullah s.a.w terus menemui Abdullah, lalu Abdullah berkata kepada baginda: Jauhkan dirimu dariku, demi Allah sesungguhnya bau busuk keldaimu menyakiti aku. Setelah mendengar kata-kata Abdullah tersebut seorang sahabat dari kaum Ansar berkata: Demi Allah, sesungguhnya keldai Rasulullah s.a.w lebih harum baunya jika dibandingkan dengan dirimu. Lalu seorang lagi dari kalangan sahabat turut memarahi Abdullah, setelah itu seorang sahabat Abdullah tidak berdiam diri, dia turut memarahi baginda. Sehingga terjadilah suatu pergaduhan (perang mulut) di antara kedua belah pihak. Bahkan masing-masing dari kedua belah pihak saling memukul antara satu sama lain, ada yang menggunakan pelepah tamar, menggunakan tangan dan ada juga yang menggunakan selipar. Kemudian turunlah firman Allah yang membicarakan tentang mereka وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا Yang bermaksud: Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya.info
webmaster@mymasjid.net.my