Suami Mithali

Oleh szn***
15-Feb-2003 11:09


---------------------------------
Senyuman adalah sedekah dan dengan senyuman ia akan
mengembirakan teman kerana senyuman itu menandakan kasih.Semua orang
selalunya ingin dikasihi.Adalah perkara yang amat memilukan dan menyedihkan
jika seseorang itu merasakan dirinya tidak dikasihi oleh seseorang.

Senyuman adalah gerak dibibir yang datangnya dari hati.Jika senyuman diberi
dengan ikhlas ia akan mendatangkan kesan yang besar.Apabila kita kembali ke
rumah menemui isteri,berilah salam dan senyuman.Anggaplah isteri sebagai
teman yang lama tak dijumpai.

Dengan memberi senyuman ia akan mengembirakan hati isteri.Isteri di rumah
sibuk menguruskan anak-anak,membasuh pinggan mangkuk dan kain baju.Temannya
hanyalah kerja yang tidak mempunyai perasaan seperti insan dan tidak dapat
menghargai letih dan penatnya.Kepenatan ini akan hilang jika bertemu kembali
dengan suaminya dan suaminya pula mengukir senyuman sebagai tanda gembiranya
terhadap isteri dan kerjanya.Walaupun kerja-kerja rumah tidak dapat
dilaksanakan dengan baik,janganlah bermasam muka.Anggaplah kerja rumah itu
kerja si suami dan isteri melakukannya hanyalah sebagai ihsannya.

Janganlah kembali ke rumah dengan bermasam mukan dan perasaan marah.Ukirlah
senyuman walaupun dibuat secara paksa.Janganlah dibawa masalah diluar
seperti masalah kerja,masalah rakan dan pejabat ke rumah.Janganlah lepaskan
kemarahan itu kepada isteri.Adalah menjadi satu kezaliman disebabkan
kemarahan kita terhadap orang lain,isteri yang lemah menjadi sasaran
kemarahan kita.

Isteri kita adalah seorang wanita.Perwatakannya adalah lembut.Nabi S.A.W
bersabda(lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu),

"Yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap
keluarganya".(Hadith riwayat Baihaqi dan Abdullah b.Mas'ud R.A).

Di antara 3 perkara Nabi s.a.w sukai ialah wanita.Maksudnya supaya wanita
disayangi,dilayan dengan lembut dan wanita yang soleh itu adalah harta dunia
yang paling baik.

Oleh kerana wanita kelakuannya lembut,hatinya tidak akan dapat dipikat
dengan kekerasan.Kelembutan wanita menyebabkan ia mudah tertawan gerak geri
dan perkataan yang lembut.Kekerasan akan membuatkan wanita menjadi lebih
keras,menimbulkan kebencian dihatinya dan dia akan melawan dengan tidak
mentaati suaminya.

Tarbiah untuk wanita terletak ditangan suami.Suamilah yang bertanggungjawab
membentuk akhlak isteri.Sekiranya isteri mendapat tarbiah yang baik dia akan
membantu suaminya jalan ke syurga.Jika wanita menjadi buruk ia akan menjadi
pembawa suaminya ke neraka.

Kasih sayang terhadap isteri bukan bermakna membiarkan isterinya melakukan
perkara yang tidak baik.Isteri perlu diberi nasihat.Apabila kita dapat
menawan hati isteri,nasihat kita akan diterimanya.Jika kita berkeras
dengannya,rasa benci akan datang dihatinya.Nasihat yang baik sekalipun tidak
akan didengarnya.

Nabi saw bersabda (lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu),

"Wanita dicipta dari tulang rusuk dan yang paling bengkok di tulang rusuk
ialah bahagian atasnya.Jika kamu cuba betulkan ia nescaya akan patah dan
jika kamu biarkan maka berterusan ia dalam keadaan bengkok". (Hadith riwayat
Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA.)

Kekerasan tidak perlu dalam tarbiah.Apa yang diperlukan adalah kasih sayang
dan menasihati dengan cara yang lemah lembut dan berulang-ulang.

Senyuman adalah amalan yang mahal.Ia adalan sedekah dan tidak memberatkan
pemberinya.Kita tidak perlu berbelanja untuk melakukannya dan kesannya amat
menggalakkan.Lemparkanlah senyuman setiap kali memandang isterimu terutama
apabila kembali ke rumah. Walaupun kamu tidak mahu tersenyum disebabkan
banyak masalah,paksalah diri untuk senyum.Berpura-pura senyum pada isteri
walaupun hati tidak mahu adalah lebih baik daripada bermasam muka dan
menunjukkan perasaan hati.

Seringkali kita melepaskan perasaan kita kepada isteri.Kita malu
melepaskannya kepada orang lain kerana kita ingin berpura-pura menjadi orang
yang baik.Sekiranya kita boleh berpura-pura dengan orang lain untuk
menunjukkan diri kita baik dan tidak mudah marah,kenapa kita tidak boleh
berpura-pura kepada isteri,teman yang sentaisa bersama kita (senang dan
susah).

Kita harus menyimpan masalah kita kepada diri sendiri(yang mengakibatkan
timbul kemarahan dalam hati) dan tidak melepaskannya kepada orang lain
apatah lagi kepada isteri kita.Banyak orang yang kelihatan begitu baik
diluar tetapi menjadi pemarah dan pengganas dirumah.Ini salah
tempatnya.Akibat keresahan hati kita,isteri menjadi mangsa.Isteri dimarahi
dan dipukul kerana tersalah sedikit,akhirnya perhubungan menjadi renggang.

Apabila hubungan menjadi renggang,anak-anak menjadi mangsa pertengkaran dan
anak tidak akan faham apa itu erti kasih sayang.Anak-anak akan membesar
dalam keadaan ibubapanya sentaisa bertengkar.

Bagaimana perasaan hati diluahkan?Menyimpan masalah dihati tanpa memberitahu
kepada sesiapa boleh menyebabkan kekusutan fikiran dan akhirnya mengubah
tingkah laku dan boleh menyebabkan penyakit.Oleh yang demikian agama Islam
mengajar kita agar menghadapi masalah kita dengan mendirikan solat dan
selepas solat kita mengadu kepada Allah swt.

Allah swt. memerintahkan kita supaya apabila tersua dengan kesusahan, agar
sabar dan sembahyang.Solat ditengah malam adalah waktu yang amat sesuai
untuk mengadu kepada Allah swt.Apabila kita berbuat demikian,keresahan akan
hilang,bantuan dan rahmat akan mulai datang.Apabila keresahan telah
hilang,kita boleh kembali mengukir senyuman disiang hari.Kepada manusia kita
senyum terutamanya kepada isteri tercinta dan malam hari kita mengadu dan
menangis kepada Allah swt.Inilah cara hidup orang yang beragama.

Senyumlah selalu dan berilah senyuman pada isterimu.


fwded email
forgiveness is a gift of high value....yet it cost nothing.. It takes only a moment to be kind, but the result can last forever...

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my