Hamba Menjadi Tuan Terbinanya Bangunan Mencakar Langit

Oleh Anak Melaka
12-Nov-2002 18:50
Hadith ke 20 – “Hamba Menjadi Tuan dan Terbinanya Banyak Bangunan Yang Mencakar Langit”

Daripada Umat bin Al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadith yang panjang)….kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah saw : “Maka khabarkan kepada ku tentang qiamat?” Lalu nabi saw menjawab, “Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya”. Maka Jibrail lalu berkata, “Kalau begitu cuba khabarkan kepada ku tanda-tandanya”, maka Nabi saw menjawab, “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan.” (Hadith riwayat Muslim)

Keterangan :

Di antara tanda qiamat ialah bila hamba melahirkan tuannya. Maksudnya akan banyak bilangan hamba yang kemudiannya akan digauli oleh tuannya dan melahirkan anak. Maka anak ini adalah berpangkat ayahnya, iaitu sebagai tuan kepada ibunya sendiri. Ada juga sebahagian yang memberikan pandangan, bahawa contoh ini adalah merupakan simbolik kepada suasana yang sudah terbalik, di mana hamba menguasai tuan, bukan sebaliknya. Jadi pemikiran manusia sudah terbalik di mana yang baik dikatakan jahat dan yang sebenarnya jahat dikatakan baik.

Tanda kedua pula bilamana orang yang tidak berkasut, orang yang miskin yang semestinya ia mendahulukan membeli kasut dari yang lain, tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang daripada orang lain. Ada pula yang mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang miskin pada akhir zaman akan menjadi kaya dengan mengejut sehingga yang pada waktu kelmarin masih sahaja tidak berkasut, tiba-tiba pada hari ini ia sudah dapat membuat bangunan yang indah-indah dan sangat mewah.

Kitab rujukan : 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi) terbitan Khazanah Banjariah

"MEMBANGUN BERSAMA ISLAM"





~Sesungguhnya Hidupku, Matiku, Amalanku, Ibadahku adalah semata-mata kerana Allah SWT~

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my