Manusia Boleh Memilih Takdir

Oleh Lantai kayu
15-Sep-2004 10:06
QADAR takdir Allah yang berhubung dengan manusia terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:-
Pertama, qadar takdir Tuhan yang tidak dapat ditolak kerana manusia tidak diberi kuasa dan daya upaya untuk menahannya daripada berlaku.

Misalnya, qadar takdir bentuk tubuh badan seseorang dan warna kulitnya, menjadi lelaki atau perempuan serta tempat lahir dan mati seseorang.

Demikian juga qadar takdir ditimpa kemalangan secara mengejut, karam di laut dan sebagainya.

Demikian juga qadar takdir seperti tidak berhasil apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh seseorang dengan sehabis-habis daya upayanya. Atau sebaliknya qadar takdir seseorang mendapat kekayaan atau pangkat yang tidak difikirkan mendapatnya.

Qadar takdir bahagian ini ialah satu daripada ujian Tuhan untuk menguji seseorang - setakat manakah sabarnya dan sebanyak manakah syukurnya apabila menerima ujian atau menerima nikmat Tuhan.


Kedua, qadar takdir Tuhan yang kita kena menerima wujudnya pada diri kita iaitu qadar takdir adanya perasaan semula jadi. Iaitu segala perasaan yang diberi Tuhan pada diri kita sejak lahir ke dunia. Perkara ini seperti perasaan hendak makan minum, memelihara diri, berhubungan jenis dan bercampur gaul.

Perasaan semula jadi inilah yang menggerakkan seseorang berfikir dengan cara tertentu. Begitu juga bercakap dengan gaya dan bertingkah laku dengan ragam tertentu.

Qadar takdir ini sungguhpun kita kena menerima adanya pada diri kita, kita perlulah menjaga dan membetulkan perjalanannya dengan undang-undang dan peraturan yang telah Tuhan takdirkan untuk berbuat demikian.

Misalnya, perasaan hendak bercampur gaul. Perasaan ini kenalah kita betulkan perjalanannya memakai undang-undang yang disebut pada ayat 140, surah an-Nisaa’ dan ayat 70, surah al-An’am, yang maksudnya:

“Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah tidak diakui benarnya oleh mana-mana puak, dan mereka mempersendakannya, maka hendaklah kamu menarik diri daripada kumpulan puak itu, jangan kamu duduk bersama-sama mereka hingga mereka memperkatakan perkara yang lain; kalau tidak, kamu sama berdosa seperti mereka. Demikian juga jangan kamu bercampur gaul lagi dengan orang yang menjadikan perkara agama mereka permainan dan hiburan; juga orang yang terpedaya, dan leka dengan keadaan hidup di dunia hingga mereka lupakan cara hendak hidup di akhirat kelak.”

Contoh lain, perasaan hendak makan dan minum. Perasaan ini kenalah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang-undang yang diterangkan pada ayat 168, surah al-Baqarah dan ayat 31, surah al-A`raf, yang maksudnya:

“Wahai manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi - benda-benda yang halal lagi baik, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan orang yang bersifat syaitan; syaitan suka menghalalkan apa yang Tuhan haramkan. Syaitan pula menjadi musuh yang nyata bagi kamu sejak bapa kamu - Adam - berada dalam syurga dulu. Makan dan minumlah apa yang kamu suka dengan syarat janganlah kamu melampaui, iaitu janganlah kamu melampaui undang-undang kesihatan jasmani dan rohani, undang-undang perbelanjaan dan undang-undang masyarakat yang sihat.”

Dalam perasaan hendak berhubungan jenis, hendaklah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang-undang yang terkandung pada ayat 32 Surah al-Isra', yang maksudnya:

“Janganlah kamu menghampiri zina - apa lagi melakukannya - kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang sangat keji dan menjadi sejahat-jahat jalan yang membawa kepada kerosakan rumah tangga dan masyarakat, dan membawa kepada kesusahan serta azab di dunia dan akhirat.”

Qadar takdir yang termasuk dalam bahagian kedua ini ialah qadar takdir mengenai perbuatan berdosa atau mengenai sesuatu penyakit yang menimpa. Maka, kenalah seseorang itu berusaha membersihkan dirinya daripada dosa atau penyakitnya dengan mana-mana satu qadar takdir yang Tuhan telah tentukan untuk berbuat demikian.

Mengenai perbuatan berdosa, maka kenalah orang itu memakai cara qadar takdir yang diterangkan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud:

“Iringilah kejahatan yang telah dilakukan itu dengan kebaikan yang berupa taubat atau lainnya, supaya kebaikan itu menghapuskan kejahatan itu.”

Mengenai penyakit pula, maka kenalah orang itu memakai qadar takdir yang diajarkan oleh Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud:

“Berubatlah wahai hamba Allah kerana Allah tidak takdirkan sesuatu penyakit melainkan ia takdirkan ubatnya bersama, tinggal lagi ada orang yang mengetahui ubat itu dan ada pula yang tidak mengetahuinya.”

Ignorance is not a solution but rather a poison.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my