BERGURAU MEMBUAHKAN KEMESRAAN

Oleh Azrul ISkandar
29-May-2004 21:44
Sudah menjadi sunatullah, semua orang suka bergurau
senda dan bergelak ketawa. Umpamanya pemimpin bergurau
senda dengan pengikutnya, guru bergurau senda dengan
muridnya, ibubapa bergurau senda dengan anak-anaknya,
suami bergurau dengan isterinya dan sebagainya. malah
Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda juga biasa
bergurau, ketawa, bermain-main dan berkata yang
ganjil.

Nabi Muhammad saw pernah berkata bahawa ada tiga jenis
permainan yang boleh menjadi ibadah. Pertama ialah
bermain dengan kanak-kanak dengan tujuan untuk
mendatangkan kegembiraan dihatinya. Ini akan
mendatangkan pahala dari Allah swt. Kedua ialah
bergurau-gurau dan bergelak ketawa dengan isteri, juga
merupakan satu ibadah dan boleh mendatangkan pahala.

Fitrah semula jadi seseorang yang telah mengahwini
seorang perempuan, sudah tentu dia suka hendak
bergurau senda dengan isterinya. Dalam pada itu, Allah
beri pula pahala kerananya. Bukankah buat satu perkara
dapat dua pahala. Ini menunjukkan betapa Allah sangat
meredhakan para suami bergurau senda dengan
isteri-isterinya dan Allah tidak suka melihat suami
yang tidak pandai bergurau-gurau dengan isterinya.

Dalam bersenda dan bergelak ketawa dengan isteri,
suami hendaklah seimbangkan di antara berlemah lembut
dengan bertegas-tegas. Ertinya, di samping suami
merendahkan taraf sebagai seorang lelaki dengan
isteri, janganlah sampai kehebatan seorang suami
hilang sama sekali. Maknanya dalam bergurau itu,
kehormatan seorang suami tetap ada.

Sebagai suami, hendaklah sentiasa mengawal syariat
ketika bergurau. Jangan biarkan si isteri mengikut
hawa nafsunya hingga rosak akhlak dan jangan beri
peluang kemungkaran berlaku. Sesiapa yang bergurau
dengan isterinya berlawanan dengan kehendak syariat,
lelaki itu dayus. Syurga tidak menerima lelaki dayus.

Rasulullah saw juga selalu bergurau dan bergelak
ketawa dengan isterinya hinggakan beliau menurunkan
taraf kerasulannya ketika bergurau senda itu kepada
taraf kewanitaan. Ertinya, Rasulullah turut bergurau
macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir
menyindir, cubit mencubit dan sebagainya.

Banyak sekali riwayat-riwayat yang menggambarkan
bagaimana Rasulullah melayan isteri-isterinya dengan
bergurau senda dengan mereka dan menurunkan taraf
kehebatan Rasulnya.

Misalnya, suatu hari ada beberapa orang Habsyah sedang
bermain-main pedang dan memukul-mukul gendang. Hari
itu ialah hari Asyura. Siti Asiyah dapat mendengarnya
dari rumah. Lantaran Rasulullah pun bertanya kepada
Siti Aisyah, “Kamu sukakan hendak melihat orang itu
bermain?” Jawab Asiyah, “ya,” Rasulullah pun pergi ke
muka pintu rumahnya dan berdiri di tengah-tengah pintu
itu sambil kedua-dua tangannya memegang pintu itu.
Beliau pun memanggil orang-orang Habsyah itu supaya
bermain di halaman rumahnya.

Siti Aisyah pun berdiri di belakang Rasulullah sambil
meletakkan dagunya di atas tangan Rasulullah. Setelah
beberapa lama, Rasulullah pun berkata, “sudah?” Siti
Aisyah tidak menjawab. Akhirnya setelah beberapa lama,
Rasulullah pun berkata semula: “Sudahkah wahai
Aisyah?” Barulah Siti Aisyah menjawab,” Ya
Rasulullah,” Maka Rasulullah pun menyuruh orang-orang
itu pergi.

Pernah satu ketika Siti Aisyah mengajak Rasulullah saw
berlari-lari. Berlumba larilah Rasulullah sedangkan
ketika itu Siti Aisyah muda belia berumur 16 tahun.

Dalam hal ini Saidina Umar juga pernah berkata,
“Memang sepatutnya seorang laki-laki itu ketika
bergaul dengan sesama lelaki, dia menunjukkan
kelakiannya, tetapi apabila dia bergaul dengan
isterinya, dia adalah seperti kanak-kanak.”

Ertinya sesama lelaki suami bolehlah menunjukkan sikap
serius tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya
janganlah terlalu serius. Contohnya cakap dengan
bahasa yang keras, suara tinggi, lidah sentiasa tajam
serta bersikap kasar. Ini menyebabkan isteri merasa
jemu.

Justeru itu para suami hendaklah memperbanyakkan gurau
senda dengan isteri untuk membuahkan kemesraan dan
menambat ikatan kasih sayang.

Sekali sekala eloklah ditunaikan keinginan isteri jika
mereka hendak melihat permainan yang tidak
bertentangan dengan syariat. Sebagaimana Rasulullah
berbuat terhadap isterinya kerana Rasulullah itu
adalah sebagai ikutan kita. Rasulullah saw bersabda
yang maksudnya:

“Orang mukmin yang sempurna imannya ialah orang yang
paling baik akhlaknya dan yang paling lemah lembut
dengan isterinya.”

Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda kepada
sahabatnya:

“Kahwinlah kamu dengan anak dara, kamu boleh bergurau
senda dengannya dan dia juga boleh bergurau-gurau
dengan kamu.”

Suatu hari, ada seorang sahabat berkahwin dengan
seorang janda, lalu Rasulullah bertanya kepadanya
kenapa dia berkahwin dengan seorang janda sedangkan
kalau dia berkahwin dengan anak dara, dia boleh
bermanja-manja dengannya dan isterinya juga boleh
bermanja-manja.

Jawab sahabat itu, dia berkahwin dengan janda kerana
dia ada banyak adik-adik kecil yang tidak ada siapa
boleh menjaganya. Seorang janda ada pengalaman untuk
menjaga anak-anak kecil dan oleh itu dia menjaga
adik-adiknya kerana ibunya sudah meninggal. Rasulullah
pun diam.

Di dalam mengusahakan sebuah rumahtangga, kehebatan
seorang suami terletak pada sejauh mana dia dapat
mempertahankan syariat semasa dia bergurau senda
dengan isterinya. kalau suami terlalu taat kepada
isterinya dan mengikut sahaja apa kata-kata isterinya
walaupun yang berlawanan dengan syariat, dia akan
Allah benamkan ke dalam neraka.

Oleh yang demikian, suami hendaklah mengawasi supaya
jangan sampai isterinya menguasai dia. Jangan jadi apa
yang dikatakan orang, “Queen Control”. Itu pun dalam
hal-hal yang mengenai syariat sahaja. Rasulullah
mengingatkan yang bermaksud:

“Tidak beroleh kemenangan dan kejayaan, laki-laki yang
diperintah oleh kaum wanita.”

Dalam hal ini Saidina Umar ada berkata, “Hendaklah
kamu, jangan mengikut kata-kata isteri.” Di sini
tidaklah bermakna suami tidak boleh langsung mengikut
kata-kata isteri. Kata-kata isteri yang tidak
menyalahi syariat, boleh diikut. Cuma, kata-kata yang
menyalahi syariat inilah yang dilarang oleh Allah,
suami-suami mengikutnya. Umpamanya isteri ajak pergi
tengok wayang atau melarang suami pergi mengaji fardhu
ain, si suami ikut sahaja kata-kata isteri. Ini adalah
dilarang. Tetapi, kalau isteri menyuruh suami
sembahyang, menyuruh mengaji fardhu Ain dan
seumpamanya, kata-kata begini boleh diikut. Firman
Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:

“Kamu boleh bermesyuarat dengan isteri kamu tetapi
kata-kata yang menyalahi syariat, hendaklah kamu
salahi (jangan ikut).”

Suami-suami tidak boleh mengikut kata-kata isteri
kerana kata Allah di dalam Al Quran, maksudnya:

“Laki-laki adalah pemimpin bagi kaum perempuan.”

Kebiasaannya sebagai pemimpin, tidak akan tunduk
telunjuk ataupun kata-kata pengikutnya. Yang dipimpin
kenalah mengikut kata-kata yang memimpin. Suami-suami
boleh meminta pendapat pada isteri. Mana-mana yang
sesuai dengan syariat bolehlah ikut dan mana-mana yang
tidak sesuai, janganlah ikut. Rasulullah saw pun
pernah mengikut kata-kata isterinya yang sesuai dengan
syariat.
"sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah SWT."

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my