kesesuaian memilih jodoh...

Oleh Nu'man An-Nabighoh
05-Apr-2004 19:51
Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih suami mahupun isteri adalah
merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian disini bukan dalam
bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau
kesefahaman dalam bidang agama.

Di dalam Islam seorang lelaki yang miskin atau seorang budak boleh menikah
dengan wanita yang kaya. Orang yang tua boleh menikah dengan wanita atau
lelaki yang muda. Akan tetapi orang yang fasiq dan zalim walaupun kaya,
tidak boleh menikah dengan seorang wanita yang solehah, taqwa dan baik budi
pekertinya.



Kesesuaian atau kesefahaman dalam memilih suami mahupun isteri adalah
merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian disini bukan dalam
bidang kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, akan tetapi kesamaan atau
kesefahaman dalam bidang agama.

Firman Allah SWT:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan
menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal
mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah
ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi maha Mengenal.”
(Al-Hujarat: 13)

Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh kamu, keturunan atau harta kekayaan
mu. Akan tetapi Allah melihat kepada hati. Siapa yang memiliki hati yang
soleh, Allah akan mengasihaninya. Sesungguhnya kamu anak Adam, dan orang
yang paling Allah cintai ialah yang paling besar taqwanya.”

Di dalam pidato Rasulullah SAW pada hari Tasyriq di Mina baginda bersabda:

“Wahai umatku, ketahuilah bahawa Tuhanmu hanyalah satu, dan bahawa nenek
moyang mu juga seorang. Renungkanlah, bahawa tidak ada keutamaan bagi orang
Arab atas bangsa yang lain dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit hitam
atas kulit putih atau kulit putih atas kulit hitam, kecuali dengan
taqwanya.”

Jika kesesuaian dalam bidang agama telah masing-masing dimiliki oleh suami
isteri, maka Insya Allah kesesuaian dalam bidang lain seperti harta dan
sebagainya itu akan mudah pula mengaturnya. Kerana dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah wanita itu tidak dibenarkan dikahwinkan kecuali oleh walinya,
dan walinya itu tidak dibenarkan mengahwinkan wanita itu dengan orang yang
tidak layak.”

Layak di sini menurut Imam Malik iaitu sesuai dari segi agamanya. Dalam
sejarah membuktikan bahawa Nabi Musa a.s datang kepada Nabi Syuib di Negeri
Madyan sebagai orang asing yang melarikan diri dalam keadaan yang
menyedihkan, dalam keadaan lapar dan pakaian yang buruk. Kemudian Nabi Syuib
menikahkan Musa as. dengan puterinya, setelah Nabi Syuib mengetahui tentang
agama dan akhlak Nabi Musa as.

Di dalam Islam seorang lelaki yang miskin atau seorang budak boleh menikah
dengan wanita yang kaya. Orang yang tua boleh menikah dengan wanita atau
lelaki yang muda. Akan tetapi orang yang fasiq dan zalim walaupun kaya,
tidak boleh menikah dengan seorang wanita yang solehah, taqwa dan baik budi
pekertinya.

Bangsa Arab pada zaman Jahiliah terlalu membanggakan diri mereka dengan
keturunan dan kejayaan nenek moyang mereka masa lampau. Setelah datangnya
Islam, sikap tersebut menjadi hilang kerana ajaran Islam lebih mementingkan
keimanan dan ketaqwaan daripada nasab dan keturunan.

Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, Rasu-lullah SAW bersabda:

“Hai manusia, Allah telah menyingkirkan dan kamu keburukan kaum jahiliah,
dan membangga-banggakan nenek-moyang. Manusia itu ada dua macam, seorang
baik, taqwa dan berbudi luhur dan seorang lagi jahat, celaka dan hina
dipandangan Allah. Dan manusia itu adalah anak-anak Adam, dan Adam di
ciptakan daripada tanah.”
(Riwayat Tarmizi)

Ketika Rasulullah SAW ingin meminangkan bekas budak yang bernama Zaid bin
Haritsah dengan puteri pamannya iaitu Zainab binti Jahsy, maka Zainab pun
menolak dan menyombongkan diri kerana keturunannya. Maka turunlah Malaikat
Jibril menyampaikan wahyu daripada Allah SWT, yang tidak dapat dibantah.

Firman Allah SWT ertinya:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak pula bagi perempuan
yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan,
akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang
siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya lah dia telah sesat
yang nyata.”
(Al-Ahzab: 36)

Perkahwinan mereka tersebut terjadi kerana keputusan daripada perintah Allah
SWT, tanpa menghiraukan perbezaan keturunan dan sebagainya.

Bilal bin Rabah asalnya seorang hamba dan Bani Jamuh, kemudian di beli dan
dimerdekakan oleh Abu Bakar as Siddiq. Dia termasuk salah seorang daripada
tujuh orang yang pertama menyatakan Islam secara terang-terangan. Dia ikut
dalam perang Badar dan semua peperangan Rasulullab SAW kemudian tinggal di
Negeri Syam, dalam pemerintahan Umar bin Khattab.

Kemudian Bilal pergi bersama Abu Ruwaihah ke Kabilah Khaulan dan berkata:
“Kami datang kepada kamu untuk meminang. Dulu kami orang kafir, lalu Allah
memberikan hidayah kepada kami. Dahulu kami adalah hamba, lalu Allah
merdekakan kami. Dulu kami orang miskin, lalu Allah memberikan kekayaan
kepada kami.

Kami ucapkan “Al Hamdulillah” seandainya kamu sudi me-nerima pinangan kami.
Dan kalau kamu menolak, maka kami akan mengucapkan “La haula Walaa Quwwata
Illaa Billah.” Kemudian mereka menerima pinangan Bilal dan Abu Ruwaihah,
kerana melihat ketinggian agamanya, akhlaknya dan jasa-jasanya dalam agama
Islam.

Begitu juga dengan Abu Huzifah bin Atbah Al-Quraisy, seorang yang ikut
perang Badar bersama Rasululah SAW. Beliau dengan senang hati mengahwinkan
puteri saudaranya Hindun binti Walid bin Utbah dengan Salim bin Ma’qal
Al-Farisi, yang semulanya seorang hamba milik isterinya.

Khalifah Umar bin Khatab telah memilihkan calon isteri untuk anaknya Ashim
dengan seorang gadis penjual susu. Beliau tidak melihat dari segi keturunan,
pangkat atau kekayaannya, tetapi ia melihat agama serta akhlak yang luhur
wanita tersebut.

Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap
rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu
mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan
mereka. Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya:

“Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya
menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu?
Ibu itu bertanya lagi:

“Apakah larangan Amirul Mukminin itu?” Puterinya menjelaskan: “Wahai ibu,
sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang
dicampurkan dengan air”

Ibu itu berkata lagi: “Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak
usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya”
Puterinya menjawab: “Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi
Tuhan yang disem-bah Umar melihat kita. Maafkan saya wahai ibuku, kerana
tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang
munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya
apabila di belakang mereka.”

Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra.
merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah
pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis
tersebut.

“Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada
gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah
akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh.”

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan
wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama
Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan
mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang
kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Kisah-kisah di atas memberikan bimbingan kepada orang tua mahupun para
wanita supaya arif atau bijaksana dalam memilih calon suami. Begitu juga
kepada lelaki yang ingin memilih calon isteri, hendaklah memperhatikan
keutamaan agama dan akhlaknya daripada yang lain-lain. Dengan cara
demikianlah keluarga bahagia yang diredhai Allah dapat dibina.
apa gunanya wajah yg tampan atau cantik rupawan dan tubuh badan yang kuat seandainya solat lima waktu tidak dapat dijaga.fikir-fikirkanlah.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my