kisah menarik

Oleh Nu'man An-Nabighoh
01-Aug-2003 09:46
PADA suatu hari Nabi Sulaiman a.s. yang memiliki enam puluh orang
isteri berkata kepada dirinya, ``Aku akan meniduri isteri-isteriku yang
seramai 60 orang ini secara bergilir-gilir dalam satu malam.
``Sudah tentu, kesemua isteri-isteriku ini akan mengandung dan
melahirkan anak-anak lelaki dalam masa yang sama.
``Dengan demikian dapatlah aku membentuk sebuah pasukan berkuda yang
terdiri daripada anak-anak lelakiku ini untuk berjuang dan berperang di
jalan Allah.''
Pada malam yang ditentukan itu, Nabi Sulaiman pun meniduri
isteri-isterinya tersebut secara bergilir dalam satu malam sahaja.
Namun, malangnya daripada seramai 60 orang isterinya itu, hanya seorang
yang mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.
Kisah Nabi Sulaiman di atas diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Rasulullah s.a.w. selanjutnya bersabda, ``Kalaulah Nabi Sulaiman a.s.
menyertai azam atau hasratnya itu dengan kata-kata `insya-Allah' (jika
Allah menghendaki), sudah tentu kesemua 60 orang isterinya itu akan
mengandung dan melahirkan anak lelaki, yang boleh dijadikan pasukan berkuda
untuk berjuang di jalan Allah sebagaimana yang diharapkannya.''
Iktibar yang dapat diambil daripada peristiwa di atas, jelas
menunjukkan bahawa kita sebagai hamba Allah atau makhluk-Nya tidak mempunyai
sedikit pun kekuasaan untuk menentukan atau memastikan berhasilnya sesuatu
rancangan yang telah kita atur, walau serapi manapun kita usahakan.
Manusia hanya merancang dan merencanakan sesuatu yang diharapkan. Ini
kerana sememangnya kita sebagai hamba disuruh merancang dan seterusnya
berusaha melaksanakannya sambil berharap dan berdoa kepada Allah, bukan
sekadar menyerahkan segalanya kepada Tuhan dan bertawakal tanpa
berusaha sedikit pun.
Namun, yang perlu diingat ialah keputusan terakhir terlaksananya segala
yang dirancang hanyalah ada pada Allah s.w.t.
Oleh kerana itu sebagai pengakuan terhadap kekuasaan-Nya dan
ketidakmampuan kita sebagai makhluk, kita disuruh mengucapkan `insya-Allah'-jika
Allah menghendaki atau sekiranya Allah menghendaki, dengan keyakinan
bahawa segala yang dirancang dan dikerjakan hanya akan berhasil dengan
kehendak Allah s.w.t.
Firman-Nya dalam surah al-Kahfi ayat 23-24, ``Dan jangan sekali-kali
kamu mengatakan tentang sesuatu: ``Sesungguhnya aku akan mengerjakannya
esok'', kecuali dengan menyebut : `insya-Allah'.''
Ayat ini mengingatkan kita semua tentang kekuasaan mutlak yang ada
hanya pada Allah, supaya sebagai makhluk yang lemah, setiap kali kita
melafazkan janji atau bersumpah akan melakukan sesuatu perkara, hendaklah
kita ingat bahawa ia hanya akan terlaksana dengan kehendak Allah, iaitu
dengan mengucapkan `insya-allah'.
Menurut riwayat Ibnu Jarir, ayat 23-24 surah al-Kahfi tersebut
diturunkan oleh Allah s.w.t. ekoran berlakunya suatu peristiwa antara Nabi
Muhammad s.a.w. dengan kaum Quraisy.
Pada suatu hari kaum Quraisy mengutus dua orang utusannya, an-Nadr bin
al-Hars dan Uqbah bin Abi Muith menemui pendeta-pendeta Yahudi di
Madinah.
Tujuan mereka untuk mempastikan kenabian Muhammad s.a.w. sebagai
seorang rasul dengan cara menceritakan sifat-sifatnya dan segala yang telah
dikatakannya.
Kaum Quraisy beranggapan bahawa para pendeta tersebut mempunyai
kepakaran dalam memahami kitab-kitab lama yang telah diturunkan dulu, serta
memiliki pengetahuan yang mendalam tentang tanda-tanda kenabian.
Kedua-dua utusan tadi mengemukakan masalah-masalah yang sedang dihadapi
oleh kaumnya kepada para pendeta yang ditemui.
Para pendeta itu pun menyarankan:
``Untuk mempastikan benar tidaknya kenabian Muhammad, tanyakanlah
kepada Muhammad tiga persoalan ini. Sekiranya dia dapat menjawabnya,
bermakna dia sememangnya seorang nabi yang telah diutus oleh Tuhannya.
``Tetapi seandainya Muhammad tidak dapat menjawabnya, maka jelaslah dia
hanya mengaku sebagai nabi.
Tiga persoalan itu ialah:
1. Tanyakanlah kepadanya mengenai pemuda-pemuda zaman dahulu yang pergi
mengembara. Apakah yang telah terjadi kepada mereka? Ini kerana cerita
mengenai pemuda-pemuda tersebut sangat menarik.
2. Tanyakanlah kepadanya mengenai seorang pengembara yang telah sampai
ke Masyriq dan Maghrib. Apakah pula yang terjadi kepadanya?
3. Tanyakanlah kepadanya tentang roh. Apakah roh itu?''
Sebaik pulang kepada kaumnya, kedua-dua utusan tersebut menceritakan
segala pesanan yang diberikan oleh para pendeta Yahudi itu.
``Kami datang membawa sesuatu yang dapat menentukan sikap di antara
tuan-tuan semua dengan Muhammad,''jelas kedua-duanya.
Kemudian mereka pun berangkat menemui Nabi Muhammad s.a.w. dan
mengemukakan tiga persoalan tadi.
Selepas itu mereka pulang setelah Rasulullah s.a.w. berjanji dengan
pasti bahawa baginda akan menjawab ketiga-tiga persoalan yang dikemukakan.
Dari sehari ke sehari baginda menanti turunnya wahyu yang akan
menerangkan ketiga-tiga persoalan tersebut, tetapi Malaikat Jibril tidak juga
kunjung datang, sehingga orang-orang Mekah mulai merasa goyah terhadap
baginda.
Sementara baginda sendiri merasa sedih dan bingung, apakah yang harus
dikatakannya kepada kaum Quraisy yang sedang menunggu jawapan
daripadanya?
Akhirnya setelah lima belas malam berlalu, turunlah Malaikat Jibril
membawa beberapa ayat daripada surah al-Kahfi dan al-Isra, yang menjawab
ketiga-tiga persoalan tadi, sambil menegur sikap baginda yang berjanji
tanpa mengucapkan `insya-Allah'.
Manusia merancang, Tuhan menentukan. Dengan Rahmat dan kasih
Sayang-Nya, insya-Allah segalanya akan berjalan lancar

Ya Allah,seandainya dirinya tercipta untukku,utk agamaku,baik utk duniaku dan akhiratku,maka satukanlah kami di dunia&akhirat buat selamanya

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my