Kisah aneh Juha Al-Kufi

Oleh jaz
19-Jul-2003 23:23
ABU Bakar Al-Kalbi menceritakan pengalamannya untuk bertemu Juha Al-Kufi Al-Fazzari yang juga dikenali sebagai Abul Ghusn iaitu seorang pelupa
dan lurus walaupun cerdik, sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh, di Kufah.

Ketika itu, dia sengaja datang ke Kufah untuk pergi ke rumah hakim. Sebaik sampai di sana, dia berjumpa seorang syeikh sedang duduk berjemur
di panas matahari.

"Wahai Syeikh! Di mana rumah tuan hakim?" Tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepada syeikh itu.. "Wara'aka (di belakangmu)," jawab syeikh itu.

Abu Bakar pun berpatah balik ke belakang untuk mencari rumah yang dimaksudkan. "Subhanallah, mengapa engkau berbalik ke belakang?" tegur
Syeikh itu tiba-tiba. "Tuan kata di belakangmu, jadi saya balik ke belakanglah," jawab Abu Bakar dengan jujur.

"Dengarlah saudara. Ikramah meriwayatkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah s.w.t. iaitu surah Al-Kahfi, ayat 79 yang bererti:
"Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa.

"Ikramah berkata, di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka," kata syeikh itu. Barulah Abu Bakar Al-Kalbi faham rumah tuan hakim yang
dicari ada didepannya.

"Subhanallah......", kata Abu Bakar kagum. Kemudian dia bertanya: "Syeikh ini Abu siapa......?" "Abul Ghusn," jawabnya. "Nama yang sebenar?" tanya Abu Bakar lagi. "Juha," jawabnya.

Abu Hasan menceritakan pula seorang lelaki mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.

"Aku dengar suara pekikan di rumah tuan, apa gerangan yang berlaku?" tanya lelaki itu kepada Juha. "Jubahku jatuh dari atas rumah," jawab
Juha. "Err...hanya jubah jatuh pun sampai terpekik-pekik?"

"Engkau ini bodoh. Jika kau sedang memakai jubah dan jubah yang dipakaimu jatuh, bukankah engkau ikut jatuh bersama?" kata Juha.

Suatu hari seorang jiran Juha meninggal dunia, dia bertanggung jawab ke atas pengkebumiannya. Dia pergi kepada tukang gali kubur untuk memesan
sebuah kuburan.

Tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan tukang gali kubur itu berkaitan upah menggalinya. Tukang gali itu meminta upah sekurang-kurangnya
lima dirham dan jika tidak, dia tidak mahu.

Juha tidak setuju bayaran sebanyak itu. Tiba-tiba dia pergi ke pasar membeli beberapa biji kayu papan dengan harga dua dirham dan dibawanya ke
perkuburan.

"Buat apa kayu itu?" tanya orang ramai.

"Tukang gali kubur tidak mahu menggali kuburan kalau tidak dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku beli papan ini dengan harga dua dirham saja. Aku akan tutup saja mayat jiranku itu dengan papan ini dan akan diletakkan di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham. Di
samping itu, si mayat tidak terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur."

Apalah gunanya jikalau wajah yg tampan dan tubuh yang kuat tetapi sukar untuk mengerjakan suruhan ALLAH TAALA.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my