Tafsir Al Quran : 'saksi Mesti Adil'

Oleh Pelajar Seumur Hidup
04-May-2003 21:35
Tafsir Al-Quran
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tafsir Surah An-Nisa' ayat 58
Saksi mesti adil


Ketika Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya bilakah berlakunya qiamat. Rasulullah s.a.w. tidak mengindahkan soalannya lalu meneruskan ucapan sehingga sahabat-sahabat yang hadir terfikir mungkin Rasulullah s.a.w. murka kerana lelaki berkenaan bertanya dengan cara yang tidak beradab yakni ketika baginda sedang berkhutbah.

Sebaliknya ada yang berfikir kemungkinan Rasulullah s.a.w. tidak mendengar soalan itu lalu baginda tidak dapat menjawab pertanyaan lelaki berkenaan. Dan ada pula yang terfikir mungkin Rasulullah s.a.w. akan menangguhkan jawapannya selepas selesai apa yang ingin diberitahu dalam khutbahnya itu.

Selepas itu barulah Rasullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Mana dia orang yang bertanya tentang qiamat tadi?" Lalu lelaki berkenaan berkata: "Saya di sini, wahai Rasulullah." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan berlaku qiamat apabila disia-siakan amanah."

Lelaki berkenaan bertanya lagi: "Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila diserahkan urusan orang Islam kepada orang yang bukan ahlinya (termasuk ahli maksiat, orang jahil yang tidak mengerti agama) maka tunggulah qiamat."

Ini menandakan kemusnahan akan berlaku kepada umat manusia ketika itu.

Orang yang menunaikan amanah diberi pahala yang besar. Allah menegaskan lagi berkait dengan amanah memerintah negara sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil." (Surah an-Nisa': 58)

Yakni berhukum dengan hukum Allah. Ad-Dohhaq berkata dalam masalah perundangan, saksi diminta dari orang yang mendakwa (menuduh) dan sumpah dari orang yang ingkar (yang didakwa)."

Hakim yang membicarakan kes di mahkamah, dia hendaklah meminta saksi dari siapa yang mendakwa seseorang. Saksi mengikut hukum Islam ialah saksi yang adil dan sumpah dipertanggungjawabkan ke atas orang yang ingkar.

Ayat ini lebih utama ditujukan kepada pemimpin-pemimpin negara, sekiranya mereka menunaikan kewajipan dengan betul, mereka mendapat kelebihan dan pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang adil pada hari qiamat akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya di sebelah kanan Tuhan Yang Rahman dan kedua-dua Tangan-Nya adalah kanan (tangan yang layak dengan Allah, tidak sama dengan makhluk).

Semuanya berada di kanan, tiada yang kiri di sisi Allah SWT. Kita tidak boleh fikir bagaimanakah keadaan-Nya. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Orang-orang yang adil ketika menjatuhkan hukuman dan orang-orang yang ahli diserahkan segala urusan keahliannya, apabila menunaikan amanah mendapat kelebihan dan ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Setiap manusia menjadi pemimpin mengikut kadar masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinan kamu (rakyat kamu), orang lelaki memimpin keluarga, anak isterinya dan akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Perempuan (isteri) memimpin rumahtanga suaminya dan akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya. Hamba yang menjaga harta tuannya akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Dan setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya."

:sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan ALLAH, maka mereka itulah orang-orang yang zalim‼:

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my