Keruntuhan Akhlak Muda Mudi

Oleh dwang
04-May-2003 20:57

Muslimin sekalian,
Marilah kita melihat satu masalah besar yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini iaitu masalah keruntuhan akhlak muda mudi. Daripada gejala tersebut , dua yang paling menonjol dan paling terserlah di kampung-kampung dan di bandar-bandar ialah gejala membuka aurat di kalangan remaja terutamanya perempuan dan pergaulan bebas tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah.

Di dalam Islam, telah digariskan cara berpakaian yang di benarkan oleh agama kepada lelaki dan perempuan. Aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut, manakala aurat perempuan ialah seluruh anggotanya kecuali muka dan kedua tangan hingga pergelangan tangan.

Fiman ALlah Ta’ala yang maksudnya: Dan janganlah perempuan –perempuan itu menunjukkan perhiasan kecuali yang zahir daripadanya. Surah An-Nur:31.

Menurut pendapat para ulama’, yang zahir tersebut ialah muka dan tangan sehingga pergelangan tangan. Yang lain daripada itu wajib ditutup ketika di hadapan lelaki yang harus di kahwini. Di sana ada lagi syarat-syarat berpakaian bagi perempuan selain daripada menutup aurat, iaitu pakaian mestilah tebal sehingga tidak menampakkan warna kulit, dan janganlah terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan yang membangkitkan nafsu sesiapa yang memandang.

Muslimin sekalian !
Nampaknya pada hari ini umat Islam terutamanya terutamanya golongan pemudi dan wanita tidak mengambil berat berkenaan dengan pakaian. Mereka memakai apa sahaja pakaian walaupun tidak sepenuhnya manutup aurat asalkan sesuai dengan nafsu dan selari dengan bisikan iblis dan syaitan.

Pakaian tersebut pula berjaya menarik pandangan lelaki yang rosak akhlak dan bekelakuan liar. Ketika berpakaian, mereka tidak bertanya, adakah pakaian yang dipakai itu mangikut syari’at ALlah Ta’ala atau tidak? Tetapi yang di tanya ialah, adakah pakaian itu berjaya menarik pandangan kaum lelaki atau tidak?.

Pada masa itu mereka menjadi hamba kepada nafsu dengan menurut segala bisikan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Firman ALlah Ta’ala yang bermaksud:
Adakah engkau malihat, ada orang yang menjadi nafsunya sebagai tuhannya. Surah Al-Jasiah: 23.

Pemudi-pemudi Islam pada hari ini gemar berpakaian mengikut cara berpakaian perempuan-perempuan barat yang sesat lagi menyesatkan. Mereka gemar memakai baju berlengan pendek atau baju t-shirt dan seluar jeans syaitan yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan yang mengiurkan. Cuma bezanya dengan perempuan-perempuan barat ialah pemudi-pemudi Islam hari ini masih menutup kepala mereka dengan sehelai kain walaupun hujung rambut masih kelihatan.

Adakah hanya dengan memakai tudung kepala, membolehkan mereka memakai baju lengan pendek yang menampakkan siku, lengan dan kadang-kadang menampakkan ketiak? Adakah dengan memakai tudung kepala, membolehkan mereka memakai seluar jean syaitan yang ketat yang menzahirkan punggung dan lutut? Menutup sebahagian daripada aurat dan membuka sebahagian yang lain ertinya beramal dengan sebahagian daripada ajaran Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain.

ALlah Ta’ala telah mengancam orang-orang yang meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islamdi dalam firman-Nya yang bermaksud: Adakah kamu beriman dengan sebahagian daripada kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain? Tidak ada balasan bagi sesiapa yang melakukan demikian melainkan akan ditimpa kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari akhirat akan di kembalikan kedalam azab yang paling pedih. Surah Al-Baqarah: 85.

Muslimin sekalian,
Muda mudi Islam pada hari ini juga terlibat dengan pergaulan bebas tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah. Mereka berpasang-pasang kehulu kehilir dengan bebas, tidak ada sekatan oleh ibu bapa dan masyarakat.

Kalau sudah bertunang pula memberi alasan untuk menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing agar perkahwinan yang akan di langsungkan nanti lebih bahagia dan lebih wujud persefahaman. Yang berlaku sebaliknya, bukannya persefahaman, tetapi yang lahir ialah anak luar nikah sebelum berlangsung majlis akad nikah.

Bagi yang belum mempunyai pasangan, terutamanya golongan pemudi, mereka menjadikan hari-hari cuti sebagai masa untuk mencari pasangan. Mereka akan ke bandar-bandar, ke pusat-pusat membeli belah, dan ke pusat-pusat hiburan yang di penuhi oleh lelaki-lelaki yang juga mempunyai tujuan yang sama. Pemudi-pemudi tersebut memakai pakaian yang mendedahkan aurat atau pakaian yang menutup aurat tetapi sangat ketat dan terbuka sana dan terbuka sini.

Sudah menjadi kebiasaan kita melihat seorang anak gadis menunggu kawan lelakinya di tepi jalan dengan membimbit topi keledar untuk ke bandar bersiar-siar. Gejala seperti ini merebak kekampung-kampung hingga kepedalaman. Ibu bapa pula tidak pernah bertanya anak gadisnya, kemana mahu pergi, dan mahu pergi bersama siapa? Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang itu berada di atas agama kawannya. Maka hendaklah seseorang itu malihat dengan siapa dia berkawan.

Ibu bapa tidak menghiraukan dengan siapa anak mereka berkawan, kawan yang baik atau jahat, samaada kawan lelaki atau kawan perempuan.

Kita menyeru kepada pemuda dan pemudi agar meninggalkan tabiat yang sangat buruk ini. Rasulullah s.a.w mengncam pemuda-pemudi yang berpakaian sedemikian untuk menggoda lelaki sehingga terjerumus kedalam maksiat dengan sabdanya yang bermaksud:
Dua golongan yang belum aku melihatnya di dalam hidupku. Satu kaum (yang zalim) yang mempunyai cemeti-cemeti seperti ekor lembu. Mereka menggunakannya untuk memukul- melakukan kezaliman terhadap manusia. (golongan kedua) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang (kerana nipis dan ketat) yang berjalan melenggang-lengguk,- untuk menggoda-. Rambut mereka disanggul seperti gah-gah unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. Sesungguhnya bau syurga dapat dicium daripada jarak perjalanan yang jauh.

Muslimin sekalian,
Pemuda dan pemudi di nasihatkan meninggalkan kerja yang tidak berguna seperti ini. Janganlah kita membazir usaha hidup kita dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah kepada diri sendiri dan masyarakat. Sedangkan setiap orang daripada kita akan di soal oleh ALlah Ta’ala berkenaan masa muda masing-masing. Sepatutnya masa mudalah masa untuk melakukan segala bentuk kebaikan, samaada untuk diri sendiri atau untuk ibu bapa dan masyarakat.

Ibu bapa pula hendaklah menasihatkan anak-anak muda mereka samaada lelaki ataupun perempuan supaya menghindarkan diri daripada gejala yang merosakkan ini, bermula daripada kecil lagi dengan memberikan mereka pendidikan agama yang secukupnya. Pendidikan agama yang cukup akan menjadi benteng yang paling kuat untuk menangkis segala bentuk kerosakan akhlak di dalam masyarakat.

Kepada anak-anak perempuan, mestilah di beri perhatian secara lebih lagi. Ibu bapa wajib memastikan mereka menutup aurat dengan sempurna apabila keluar daripada rumah, dan jangan membiarkan mereka mempermudahkan kewajiban tersebut. Yang paling di bimbangkan apabila mereka terjebak dengan pergaulan bebas sehingga terjebak ke dalam jenayah penzinaan.

Firman ALlah Ta’ala yang bermaksud: Penzina perempuan dan penzina lelaki, hendaklah kamu sebat mereka dengan seratu kali sebatan. Surah An-Nur: 2.

ALlah Ta’ala mendahulukan sebutan penzina perempuan di dalam ayat di atas untuk menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada zina berpunca daripada perempuan, kerana percakapan mereka yang di merdukan sehingga menggugurkan hati kaum lelaki, pakian mereka yang mendedahkan aurat dan perjalanan mereka yang melenggang lengguk. Apabila perempuan sudah tidak lagi suci, maka jadilah seperti bunga yang sudah layu, tidak mahu di dekati kumbang lagi.

Pada masa itu, apabila sudah lanjut umur, jangan menyalahkan orang lain, salahkan diri sendiri. Ibu bapa pula jangan menyalahkan orang lain. Salahkan diri sendiri kerana gagal mendidik anak-anak dan tidak bersifat tegas terhadap mereka apabila mula berjinak dengan gejala sosial.

Marilah kita kembali kepada Islam kerana Islam sahajalah jalan penyelesaian. Marilah kita berakhlak dengan akhlak Islam, marilah kita membentuk keluarga mengikut acuan Islam, marilah kita mendidik anak-anak kita dengan didikan Islam, marilah kita berjuang kearah pembentukan masyarakat dan negara Islam yang mendaulatkan syriat Islam. Dengan Islam sahajalah kita akan selamat di dunia mahupun di akhirat.

Firman ALlah yang bermaksud:
Dan sesiapa yang mencari agama (cara hidup) selain daripada Islam, maka tidak akan di terima (oleh ALlah). Dan pada hari akhirat jadilah ia di kalangan orang yang rugi.







 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my