Terkini  Popular    Mula Topik

Senyum Manis, Berbudi Bahasa Termasuk Amalan Sedekah

2006-03-31 16:32:05
Oleh
Zana.
ISLAM agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw menganjurkan nilai murni dan luhur. Ia digambarkan melalui keperibadian Rasulullah yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri yang dimiliki Rasulullah itu menyumbang kepada keamanan dan memberi rahmat kepada alam sejagat seperti yang digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbia’, ayat 107) Sebenarnya, Islam serta agama lain mahukan pengikutnya mengamalkan budaya dan nilai murni dalam kehidupan mereka. Namun, akhlak dan keperibadian Rasulullah adalah contoh terbaik bagi umat sejagat dalam melaksanakan nilai murni dan luhur dalam kehidupan ini.Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya mengamalkan nilai murni dan luhur dalam setiap kegiatan dalam hidup ini.Contohnya, Rasulullah sentiasa menggalakkan umatnya untuk melakukan kebajikan kepada orang lain, terutama bersedekah.Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud: "Yang paling disukai Allah adalah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. “ Tingkah laku yang paling disukai adalah yang menggembirakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya daripada kelaparan."Sabda Baginda lagi: "Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang sahabat bertanya: `Jika dia tiada apa yang hendak diberi?' Jawab Baginda: `Hendaklah dia bekerja dan apabila dapat duit, sedekahkan sebahagiannya.'Sahabat itu bertanya lagi: `Jika dia tidak boleh bekerja?' Jawab Baginda: `Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.' `Kalau ini juga tidak dapat ia lakukan?' tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab: `Beri nasihat untuk berbuat baik.' Sahabat itu bertanya: `Jika itupun tidak dapat dilakukan?'Jawab Baginda:, `Janganlah dia melukakan hati orang lain - itulah sedekahnya."Daripada Jabir bin Abdullah, katanya, Rasulullah bersabda: "Setiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu adalah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya."Jelasnya, makruf adalah segala perkara yang diketahui umum kebaikannya sama ada dari segi syarak atau adat (yang tidak bercanggah dengan syarak).Sementara perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya.Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi ketika berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.Islam itu agama yang mudah, lagi memudahkan umatnya. Hal itu disebabkan, Allah memberi peluang kepada umatnya untuk mendapat pahala dengan apa cara sekali pun.Contohnya, jika tidak berkemampuan untuk bersedekah dengan harta benda dan wang ringgit, cukup dengan senyum.Perkara ini dijelaskan daripada Abu Dzar, bahawa Rasulullah bersabda: "Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah." (Hadis riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)Jelaslah, daripada keperibadian di atas, umat manusia boleh melakukan nilai murni tanpa menggunakan harta benda atau wang ringgit. Rasulullah menunjukkan contoh mudah, bagaimana kita boleh melakukan kebaikan terhadap sesama umat walaupun sekadar dengan senyuman.Malangnya, hari ini ada umat manusia yang sukar untuk memberikan senyuman atau bertegur sapa kerana berpendapat dirinya lebih ‘tinggi’ daripada orang lain.Begitu juga, ketika berurusan di pejabat kerajaan atau swasta, ada kakitangan yang lokek senyuman ketika melaksanakan sesuatu urusan. Apalah salahnya kita memberi senyuman atau bermanis muka ketika menjalankan sesuatu urusan walaupun dalam apa saja keadaan.Orang ramai yang membuat urusan juga perlu bermanis muka dan tidak mencuka apabila urusan mereka lambat diselesaikan.Sebenarnya, Islam melalui akhlak Rasulullah memberikan banyak contoh yang boleh diikuti oleh umat manusia dalam menyemai nilai murni."Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my