Terkini  Popular    Mula Topik

Hadis Terakhir Rasulullah

2005-07-01 03:12:32
Oleh
Musab
Dari Abi Najh Al Irbad bin Sariah r.a katanya: Telah menasihati kami oleh Rasulullah akan satu nasihat yang menggeletarkan hati daripadanya dan menitis air mata. Lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olahnya inilah nasihat yang terakhir, maka berilah kepada kami satu pesan.

Rasulullah bersabda: “AKU BERWASIAT (BERPESAN) KEPADA KAMU DENGAN BERTAQWA KEPADA ALLAH DAN MENDENGARKAN SERTA TA’AT, SEKALIPUN KEPADA SEORANG HAMBA YANG MEMERINTAH KAMU. KERANA SESUNGGUHNYA BARANG SIAPA YANG HIDUP DARIPADA KAMU, MAKA IA AKAN MELIHAT PERSELISIHAN YANG BANYAK. SEBAB ITU, MAKA HENDAKLAH KAMU BERPEGANG DENGAN SUNNAHKU DAN SUNNAH PARA KHALIFAH AL-RASYIDIN AL-MAHDIYYIN (YANG MENGETAHUI KEBENARAN SERTA MENGIKUTINYA, YANG MENDAPAT PIMPINAN KE JALAN YANG BETUL) DAN GIGITLAH KAMU DENGAN GERAHAM GIGI KAMU.

DAN JAUHI OLEH KAMU AKAN PERKARA YANG BAHARU DIADA-ADAKAN. KERANA SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP BID’AH (PERKARA YANG BARU DIADA-ADAKAN) ITU ADALAH SESAT.”
Diriwayat oleh Abu Daud dan Tarmizi dari Abi Najh Al-Irbad bin Sariah. Hadis ini sahih dan hasan(hadis baik).

Keterangan.
1. TAQWA DAN KEWAJIBAN MENDENGAR DAN TAAT.
Taqwa kepada Allah bererti: memelihara diri dari segala perbuatan yang menyebabkan terkena bencana di dunia dan azab di akhirat. Orang yang beriman diwajibkan taqwa itu demi keselamatan hidupnya. Taqwanya adalah dengan perbuatan yang diperintah oleh agama, sekalipun perbuatannya kecil asal saja untuk menolong memeliharanya dari kesengsaraannya, sebagaimana sabda Rasulullah iaitu:
“Takutilah neraka walaupun walaupun dengan sebelah buah tamat, kalau tidak dapati maka dengan sepatah kata yang baik”

Ini menunjukkan betapa pentingnya pemeliharaan peribadi dari azab dengan cara bertaqwa kepada Allah, sekalipun dengan perbuatan yang sekecil-kecilnya dan semudah-mudahnya, seperti mana yang dikatakan Rasulullah. Sebab kalau dihitung erti perbuatan tersebut? Tetapi itulah contoh yang seterang-terangnya dan itulah pula nilai kebaikan yang feadahnya dan kesannya adalah besar untuk dirinya.

Setelah itu Rasulullah menerangkan kewajiban mendengar dan taat kepada orang yang menyelenggarakan urusan kaum muslimin, atau orang yang memegang tampuk pemerintahan mereka. Kewajiban ini diperlukan sekalipun orang yang didengar dan ditaati perintahnya adalah seorang hamba atau seorang yang dipandang rendah oleh manusia. Dengan demikian terlaksanalah segala urusan agama, terjaminlah segala keperluan kehidupan dan terjaminlah segala keperluan kehidupan dan terjaminlah kebahagian dunia.

Dari hadis yang lain pula, Rasulullah menerangkan berkenaan kewajiban tersebut:
“Hai sekelian manusia! Takutlah kamu kepada Allah, dan jika diperintahkan kamu oleh seorang hamba bangsa Habsyi yang rompongnya hidungnya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepadanya, selama ia menegakkan kitab Allah (Al Quran ) bagi kamu”

Hadis ini antara lain menunjukkan bahawa umat islam disuruh oleh Rasulullah supaya mendengarkan dan mentaati sekalipun orang yang memerintah mereka itu di[pandang hina dan buruk rupanya, asalkan ia mengutamakan Al Quran dan menggunakan alasannya. Hal ini bererti bahawa yang didengarkan dan yang ditaati itu bukanlah pada hakikatnya kepada orang yang memerintah, tetapi adalah perintahnya yang sebenarnya diperintahkan oleh Al Quran itu sendiri.

Perintah Al Quran pada keseluruhannya tidaklah keluar dari perertian taat kepada Allah dalam segala bidang dan segala hukum tidaklah dibenarkan terlepas dari perertian itu. Yang demikian tidaklah erti taat kepada sebarang peraturan atau hukum yang bertentangan atau yang tidak setuju oleh Al Quran itu, kerana Rasulullah telah bersabda “Hanya taat itu pada yang baik”Jadi, taat atau patuh adalah kepada Allah (Al Quran) dan kepada rasul (As Sunnah) dan kepada orang yang mengurus hal ehwal umat islam, yang melaksanakan suatu hukum sesuai dengan maksud tersebut. Menurut riwayat, bahawa Mu’adh bin Jabal pernah bertanya kepada rasulullah dengan sabda:
“Ya Rasulullah! Apakah pendapat engkau, jika ada raja yang memerintah kami tiada peduli dengan perintah engkau. Maka, apakah perintah engkau terhadap perkara mereka? Jawab Rasulullah: Tiada taat kepada mereka yang tidak taat kepada Allah”
2. AKAN TIMBUL PERSELISIHAN YANG BANYAK.
Kemudian pada hadis ini Rasulullah memberitahu pula, “Barangsiapa yang hidup daripada kamu sesudah wafatnya,maka ia akan dapat melihat perselisihan yang banyak”
Perselisihan yang banyak dalam kalangan umatnya sendiri dan telah berlaku dengan banyaknya diantara mereka dalam beberapa jurusan ilmu dan cabang-cabangnya, termasuk perkara I’tiqad dan amalan. Akibatnya terjadilah pula pertentangan dan pertikaian.

Dalam hadis yang lain menurut riwayat Al Tirmizi dan lainnya ada diterangkan “Bahawa Bani Isreal telah pecah sebanyak 72 aliran (Fahaman Agama) dan akan berpecah umatku sebanyak 73. Semuanya mereka itu di dalam neraka, kecuali satu aliran (Fahaman Agama). Para sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu, ya Rasulullah?. Jawabnya; Iaitu apa-apa yang aku diatasnya dan sekalian sahabat-Ku ,apa-apa yang aku (Rasulullah)lakukan dan apa-apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabatku”
Jadi umat islam mengalami demikian banyaknya perpecahan umat Yahudi. Sekalian mereka yang berpecahbelah itu adalah didalam neraka, kecuali satu sahaja golongan yang mengikuti akan pimpinan nabi dan para sahabatnya, dengan meninggalkan segala aliran faham dan pendapat yang lain yang menyalahi atau yang bertentangan dengan sesuai dengan apa pernah dikatakan oleh Imam Syafie, iaitu “Tidak ada sebarang perkataan lagi bagi seorang berserta Sunnah Rasulullah “Maksudnya, Tidak boleh diterima perkataan seorang, jika ternyata perkataan itu berlawanan dengan Sunnah Rasulullah (Perkataan dan perbuatan Rasulullah samada dari Hadis dan Sirah Rasul). Dan katanya (Dari Imam Syafie) lagi “Telah sepakat manusia, bahawa barangsiapa yang ternyata baginya satu sunnah dari Rasulullah tidaklah seharusnya ia meninggalkan kerana perkataan seorang dari manusia”
Maksudnya: Telah sepakat segenap umat Islam, bahawa barangsiapa yang mengetahui satu sunnah dari Rasulullah maka tidaklah boleh lagi ia meninggalkan sunnah itu, kerana mengikut pendapat orang lain.

Apa yang telah dikatakan oleh imam yang mulia itu jelas menunjukkan betapa tinggi nilai sunnah (Hadis dan Sirah) yang tidak dapat dibandingkan dengan perkataan atau pendapat yang lain, kerana kedudukannya amatlah penting sebagai sumber kedua dari pengambilan hukum islam. Kerana ini maka sudah menjadi kewajiban dikala timbul perselisihan supaya kembali kepada sunnah itu sebagaimana ia diperintahkan oleh Rasulullah sendiri dalam hadis dan sirahnya.
3. BERPEGANG TEGUH DENGAN SUNNAH RASULULLAH DAN SUNNAH KHALIFAHNYA.
Sebagaimana telah diterangkan bahawa apa yang dikatakan Rasulullah semasa hayatnya mengenai akan timbulnya perselisihan, sekarang telahpun terbukti. Malah telah lama terjadinya perselisihan itu dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, Rasulullah ditegaskan perintahnya iaitu: “Maka hendaklah kamu berpegang sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapati kebenaran dan petunjuk dan peganglah dengan geraham-geraham gigi”

Inilah wasiat rasulullah yang merupakan satu perintah yang tegas kepada Umat islam untuk berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah dan sunnah para khalifahnya (Sahabatnya iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) dalam urusan I’tiqad dan amal. Mengenai sunnah Rasulullah Bersabda:”Barangsiapa mengambil (Berpegang) akan sunnahku, maka ia daripadaku (Daripada umatku). Dan barangsiapa yang tidak suka daripada sunnahku maka ia bukan daripadaku (Bukan dari perjalanan umatku)”
Dan sabdanya lagi “Aku dibangkitkan dengan (membawa) agama yang lurus lagi mudah (ringan) dan barangsiapa menyalahi akan sunnahku maka bukanlah ia daripadaku”

Dan lagi sabdanya: ”Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana tiada akan mampu untuk mendapatkan penghidupan dalam kalangan mereka melainkan dengan maksiat (durhaka) sehingga seorang lelaki berdusta dan bersumpah. Apabila telah sampai masa yang demikian itu, maka hendaklah kamu lari (menjauhkan diri). Ditanya: Ya Rasulullah! Dan ke manakah tempat lari? Jawabnya: Kepada Allah dan kepada KitabNya dan kepada Sunnah Nabinya”

Sunnah Rasulullah ialah jalan Rasulullah, jalan yang diikuti oleh para sahabatnya dan oleh umat islam yang mencintai syariatnya. Dan jalan inilah pula yang wajib diikuti oleh setiap orang yang beriman kepada Allah, jalan yang diterangkan dalam kitabNya (Al Quran) sepertimana yang ditegaskan oleh imam Syafie iaitu “Segala apa yang telah dihukumkan oleh Rasulullah, maka hukum itu adalah difahamkan dari Al Quran”.
Demikianlah betapa pentingnya sunnah itu bagi umat islam, sunnah yang sudah lama dibentangkan lengkap dengan segala kesempurnakannya dalam perkara agama sehingga tiada perlu lagi sunnah yang baru atau jalan atau cara yang diada-adakan atau direkakan menurut fikiran yang dinamakan Bid’ah.
4. JAUHILAH PERKARA-PERKARA YANG BARU DIADAKAN.
Akhirnya pada hadis ini, Rasulullah menerangkan perkara-perkara yang bid’ah yang diperintahkan secara tegas supaya dijauhi daripadanya, iaitu “jauhilah kamu akan perkara-perkara yang baru diada-adakan” kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.

Pada hadis yang lain menurut riwayat Muslim dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah bersabdanya:” Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah (Al Quran) dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu ialah petunjuk Muhammad, dan sejahat-jahat perkara itu ialah bid’ah diada-adakan dan tiap-tiap yang diada-adakan itu di dalam neraka”

Hadis ini disamping menerangkan kedudukan Al Quran dan As Sunnah dijelaskan pula perkara bid’ah yang sesat yang membawa masuk neraka. Inilah sebabnya Rasulullah meminta dengan cara yang sungguh-sungguh supaya dijauhi perkara bid’ah itu menurut ertikata yang sebenarnya.

Adapun bid’ah yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah bid’ah agama dalam urusan I’tiqad, amal, perkataan yang zahirnya dan yang batinnya. Dan erti tiap-tiap bid’ah itu sesat ialah dalam urusan tersebut, bukannya tiap bid’ah yang diada-adakan dalam perkara dunia yang berhubung dengan urusan hidup keduniaan selama tidak mendatangkan atau membawa kepada kejahatan atau mudharat atau mengerjakan perkara yang terlarang, kerana ini, orang islam boleh mengadakan barang atau sesuatu yang tidak pernah ada di zaman nabi. Mereka boleh menciptakan apa saja jenis kenderaan dan tempat kediaman atau perusahaan menurut peredaran zaman dan keadaan, yang tidak pernah dilakukan di zaman sahabat nabi. Islam tidak melarang bid’ah dalam urusan keduniaan, malah digiatkan dan diberi penunjuk dan arahan yang sebaik-baiknya kepada umat islam. Dan kepada mereka diserahkan sepenuhnya urusan menyenggarakan persoalan hidup sendiri sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis sahih “Apabila suatu itu perkara dunia kamu, maka kamu sekelian lebih mengetahui dengan dia. Dan apabila ada dari urusan agama kamu maka kepadaku (Menurut Al Quran dan As Sunnah)”Segala isi kandung diatas ditaip semula dari sebuah kitab:
Nama rujukan : HADIS 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
Susunan : Imam Muhyidin Abu Zakaria dan Yahya bin Sharif Al Nawawi
Terjemahan oleh : Al Ustad Mustafa Abdul Rahman.
No Hadis : 28
Muka Surat : 312 -321
Keluaran : Dewan Pustaka Fajar.

Untuk Kesahihannya, bagi pencinta kebenaran dan mencari kebenarannya. Silalah rujuk kitab ini dipustakaan atau beli terus dari kedai buku. Semoga kita sama-sama bersatu dalam satu fikiran. Iaitu Pemikiran Islam.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my