Terkini  Popular    Mula Topik

Waspada Menghadapi Fitnah Bencana

Oleh Zana.
pada 2005-06-29 12:47:42

Ummu Salamah isteri nabi meriwayatkan bahawa pada suatu malam baginda Rasulullah terjaga dari tidur dengan tersentak dan ketakutan. Baginda berkata : Subhanallah , apalah khazanah (kekayaan ) yang diturunkan Allah pada malam ini. Apa pula fitnah yang diturunkannya (pada malam ini) . Siapa gerangan yang membangunkan orang yang tidur di kamar (yakni para isteri) agar mereka menunaikan solat . (Wahai) Orang yang lengkap berpakain di dunia ini mungkin akan bertelanjang bulat di akhirat kelak.

Penerangan Hadis:

Ikuti penerangan Hadith ini dalam artikel ringkas di bawah ini yang bertajuk:

BEBERAPA TIPS MENGHINDARI BENCANA

Pengajaran penting yang perlu diketengahkan kepada masyarakat hari ini ialah bahawa meskipun terdapat ramai orang baik dan soleh dalam sesebuah kampong atau negara namun jika peratus kejahatan dan orang yang jahat di kampong itu majoriti atau mengatasi peratus orang yang baik dan soleh maka mereka boleh dibinasakan oleh Allah semuanya . Ini berdasar kan hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang menegaskan makna demikian.

Zainab Binti Jahsy meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah datang dan masuk ke rumahnya dengan penuh khuatir dan rasa cemas. Beliau mengatakan:
Maksudnya - “Tiada tuhan melainkan Allah; Wahai malang sungguh orang Arab dari ancaman bahaya yang semakin hampir. Hari ini benteng buat menahan Ya'juj dan Ma'juj terbuka . (Dekatnya bencana itu)seperti ini. Kemudian beliau memamirkan ibu jari dan jari telunjuk beliau dengan rapat (yang mengisyaratkan dekatnya bencana itu) . Zainab pun bertanya : Adakah kami mungkin dibinasakan (beramai-ramai) pada hal di kalangan kami terdapat orang yang soleh?. Rasulullah menjawab: ya , kalau sudah terlalu banyak kejahatan(atau ramai manusia petualang)

Kalau makna yang ditegaskan oleh Rasulullah ini hendak diikuti maka setiap individu dan bangsa kita perlulah memastikan majority bangsa ini atau para penghuni negara ini terdiri dari kalangan orang yang baik dan soleh. Perkataan ”baik” di sini bermaksud menjadi penganut dan pengamal Islam yang sejati. Mereka perlu memastikan bahawa kebanyakan bangsa dan umat ini mestilah terdiri dari pengikut Islam sejati yang ikhlas beragama kerana Allah. Tidak memadai dengan hanya berhenti dari melakukan kerja-kerja lagha dan lahu. Tidak cukup dengan hanya berbudi mulia , akan tetapi terus berpegang dengan faham kebatilan . Tetapi sebaliknya mereka mesti mengikut ajaran Allah yang sebenar dengan menobatkan Islam sebagai syariat atau undang-undang dan negara.

Mereka mesti menamatkan perbuatan zalim yang dilakukan kepada hamba Allah; khasnya terhadap para penyokong perjuangan Islam. Mereka perlu adil dalam melaksanakan tugas politik, pengurusan dan pentadbiran. Mereka wajar mengamalkan dasar syura , muafakat dan nilai demokrasi yang telus dan benar. Mereka hendaklah berhenti menyalahgunakan kuasa dan harta awam untuk kepenting diri dan klik sendiri. Mereka mesti menamatkan korupsi, kolusi dan nepotisme. Mereka mesti menamatkan penyalahgunaan SPR, Polis dan Hakim Hakim Mahkamah untuk kepentingan diri dan mendapat keputusan yang tidak adil dan berat sebelah. Mereka mesti memberi wakil rakyat peruntukan yang telah dikanunkan tanpa mendiskriminasikan mereka kerana perbedaan parti politik.Hal mana perbuatan tersebut akhirnya memangsakan rakyat jelata.
Mereka wajar memberi ruang rakyat mendengar suara dan pendapat parti pembangkang melalui media massa perdana milik umum. Dengan demikian rakyat akan sentiasa didedahkan dengan pelbagai pandangan dan pendapat yang bernas dan bijak. Ini akan mendidik rakyat bertambah matang dalam berfikir , menilai, serta membuat keputusan yang bijak untuk masa depan mereka.

Mereka juga harus menamatkan pertuduhan palsu bahawa pembangkang adalah militant , pengganas dan terrorist. Masyarakat perlu diasoh dengan pemikiran yang objektif matang dan demokratik. Menghurmati perbedaan pendapat dan memberi ruang kepada pandangan yang terbaik untuk diterimapakai oleh kerajaan rakyat. Peralihan kekuasaan atau pemerintahan dalam negara demokrasi tidak wajar digeruni bagaikan dunia mahu kiamat. Peralihan dan pertukaran kuasa adalah suatu yang wajar dalam masyakat yang demokratik. Manakala kerajaan yang statik dan berterusan bercokol dengan apa sahaja cara baik dan buruk untuk terus kekal memerintah walaupun sudah tidak releven lagi adalah tanda kemacetan, kemunduran sesuatu negara bangsa.

Sebaliknya kalau rumah perwakilan , dewan undangan dan negara dipenuhi oleh manusia yang bejat dan menentang ajaran Allah , menolak Islam sebagai dasar hidup bermasyarakat dan bernegara maka itulah alamat negara bangsa berkenaan bakal ditimpa azab oleh Allah. Azab Allah itu jika ia datang ia datang dalam berbagai bentuk.; mungkin tsunami, mungkin gempa bumi, mungkin pula ribut taufan yang menerbangkan manusia dan binatang ternak . Ketika itu pokok bakau yang ditanam sepanjang pantai atau malah tembok konkrit yang dibina kukuh pun tidak dapat menahan malapetaka berkenaan.

Ibnu Omar meriwayatkan sebuah hadith seperti yang dipaparkan di bawah ini:
Maksudnya:
Bahawa nabi Bersabda : Apabila kebejatan dipamirkan di kalangan sesuatu kaum maka akan berkembang dan meratalah di kalangan mereka penyakit Taun dan berbagai penyakit lain yang tidak pernah dialami oleh datuk ninik mereka. Apabila mereka suka mengurangi (menipu) sukatan dan timbangan maka mereka akan dilanda kemarau, kesukaran hidup dan kezaliman pemerintah. Apabila mereka enggan mengeluarkan zakat maka hujan dihalang turun dari langit dan kalaulah tidak kerana binatang-binatang mereka tentu tidak merasainya samasekali. Apabila mereka mencarik-robek janji setia mereka dengan Allah dan janji mereka dengan Rasulullah maka mereka dikuasai oleh kalangan musuh mereka dan musuh mengambil (merampas ) sebahagian harta milik mereka. Selagi para pemimpin mereka enggan memerintah berdasarkan kitab (undang undang ) Allah maka nescaya Allah takdirkan mereka saling mengganasi (menganiaya) satu sama lain.
Hadith ditakhrijkan oleh Ibnu Majah dan diangap Sahih oleh al Albani
Saranan saranan di atas tidak menafikan tentang perlunya umat bersedia menghadapi ancaman banjir, gempa, kebakaran besar, peperangan zaman modern dan lain-lain dengan membeli peralatan canggih, melatih kumpulan-kumpulan pencegah kebakaran, mendirikan pusat kajian gempa dan sebagainya. Memang kita telah disuruh oleh datuk ninik kita agar menyediakan payung sebelum hujan. Mereka yang tidak mahu mendengar kata orang bijak pandai mematuhi firman Allah yang maha bistari pastilah akan sengsara di dunia dan sengsara juga di akhirat.

Mari kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, mari kita hindari bala bencana dengan mematuhi ajaran syariat dan menamatkan kejahatan serta kezaliman dan tipudaya yang kita amalkan selama ini. Insyaallah tuhan jauhkan kita dari malapetaka takdirnya.

Bukankah Allah maha gagah maha perkasa!
Riwayat: Bukhari
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my