Terkini  Popular    Mula Topik

Keindahan Hidup Yang Seimbang

Oleh Xmeng
pada 2005-06-06 11:12:22
oleh
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif
Universiti Tun Abdul Razak
(UNITAR)

“Saya agak sibuk minggu ini, kalau hendak berjumpa dengan saya tolong buat temu janji untuk minggu hadapan. Yang lebih baik lagi, bulan hadapan”. Kata-kata seperti ini sememang sering kita dengar, khususnya di kalangan pegawai-pegawai tinggi dalam sektor awam dan swasta. Kesibukan ini sering berlaku di pejabat kerana pegawai tinggi sememang mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat dan banyak. Bagi merekayang selalu berdampingan dengan orang sibuk seperti ini sememang amat faham dengan keadaan mereka.

Kesibukan seperti ini bukanlah menjadi suatu gejala negatif yang harus dielakkan sama sekali. Bahkan agak sudah menjadi lumrah di kalangan pegawai tinggi sekarang ini biasanya terlibat dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pejabat mereka tetapi berkaitan dengan keahlian atau kepakaran mereka dan kadang-kadang dengan minat mereka. Mereka ini bukannya penyibuk, tetapi sebenarnya amat diperlukan oleh masyarakat kerana keahlian, kepakaran, pengalaman dan pengaruh mereka.

Dalam kesibukan mereka ini, mereka masih mampu melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang ayah, suami, ketua keluarga, anggota masyarakat dan sebagainya. Hidup mereka agak tenang kerana mereka dapat mengimbangkan antara tuntutan fizikal dengan kerohanian, antara tuntutan pejabat dengan perkara-perkara di luar pejabat, antara tuntutan keluarga dengan tuntutan masyarakat, dan sebagainya. Dia mampu memperuntukkan masa yang secukupnya untuk pejabat, badan-badan lain di luar pejabat, untuk keluarga, masyarakat sekeliling, masyarakat am dan sebagainya.

Selain dari kemampuan memperuntukkan masa kepada setiap kegiatan yang ia terlibat, ia menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan prioriti bagi setiap aktiviti tadi. Tidak ada maknanya jika ia menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah, sedangkan masa untuk keluarga terlalu terhad, misalnya. Walau pun demikian, ada kalanya ia terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah, tetapi ia harus menggantikan kekurangan ini pada masa lain, misalnya. Begitulah juga dengan pembahagian masa antara kegiatan yang berbentuk fizikal dengan yang berbentuk kerohanian. Sudah tentulah kegiatan kerohanian harus ditambah pada bulan Ramadhan misalnya.

Yang menjadi masalah ialah apabila seseorang itu sibuk tidak tentu fasal dan kadang-kadang berbangga pula dengan kesibukannya yang agak keterlaluan. Menurut sebuah hadith Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud: “Barangsiapa mencintai dunia semata-mata dalam hidupnya, Allah akan mencampakkan ke dalam hatinya empat perkara:
1. kerunsingan yang tidak pernah selesai;
2. kesibukan yang tidak pernah habis;
3. kemiskinan yang tidak pernah kaya; dan
4. harapan yang tidak pernah tercapai”.

Hadith tersebut di atas begitu jelas menunjukkan betapa ruginya seseorang insan yang mencintai dunia semata-mata. Mereka akan rugi dalam segala aspek kehidupan termasuk kebendaan, kerohanian dan juga kemasyarakatan.

Misalnya, orang yang terlalu sibuk dengan tugas-tugas duniawi merasakan sangat bangga kerana kesibukannya. Ia sentiasa mendapati dirinya dicari oleh orang yang ingin mendapatkan sesuatu. Oleh itu ia merasakan dirinya sangat penting, sangat berpengaruh dan berkuasa. Ia boleh melakukan banyak perkara kerana pengaruh, kuasa atau kedudukannya. Apabila ia mula merasai demikian, ia akan lebih seronok bila lebih ramai mengunjunginya. Akhirnya ia tidak mempunyai kesempatan untuk makan atau minum, apatah lagi untuk berehat-rehat dengan keluarga.

Dengan kesibukan seperti itu manusia ini akan dibelenggui oleh kerunsingan yang tidak dapat diatasinya. Beliau akan merasakan bahawa masalah-masalah yang dihadapi begitu besar sehingga tidak mampu diselesaikan. Tetapi sekiranya ia tidak mempunyai masalah, ia akan merasa sepi dan sunyi yang juga menimbulkan kerunsingan padanya. Kata-kata seperti “apakah aku ini tidak penting lagi atau tidak popular lagi?” akan terlintas di kepala mereka.

Mereka yang mencintai dunia akan mengalami kemiskinan walaupun jelas bahawa sebenarnya mereka itu kaya. Kemiskinan yang dimaksudkan ini tidaklah terhad kepada kebendaan atau harta, tetapi mencakup juga kemiskinan dari segi ketenangan hidup, kebahagiaan rumah tangga, dan sebagainya yang sentiasa diperlukan oleh setiap insan.

Mereka juga mempunyai banyak harapan yang tidak akan dapat dicapai kerana harapan yang ada pada mereka tidak pernah putus bahkan sentiasa bertambah. Seolah-olah ia tidak puas dengan apa yang telah dicapai dan terus mencari harapan-harapan baru untuk memuaskan hidupnya. Harapan yang dimaksudkan ini ialah untuk menjadi lebih kaya, lebih makmur, lebih popular, lebih berkuasa lebih berpengaruh, lebih dikenali dan dihormati manusia, dan sebagainya. Sudah tentulah harapan seperti itu tercapai buat sementara belaka.

Soalnya, “Apakah yang dimaksudkan dengan mencintai dunia?”

Sebenarnya mencintai dunia tidaklah terhad kepada mencintai harta dan kekayaan yang boleh mendapatkan berbagai perkara. Walau pun ini salah satu dari aspeknya, namun yang lebih penting ialah cinta kepada pangkat, kedudukan, pengaruh, kuasa, nama, dan sebagainya. Mereka yang berusaha bersungguh untuk mendapatkan pengaruh, pangkat, atau nama di dunia ini adalah tergolong dalam orang-orang yang mencintai dunia. Melalui pangkat, kedudukan, nama dan pengaruh, mereka boleh melipat gandakan lagi harta benda. Begitu juga sebaliknya, mereka yang mempunyai harta kekayaan itu biasanya akan beroleh pangkat, pengaruh dan nama yang masyhur juga.

Apabila seseorang itu mempunyai pangkat, misalnya, ramai pula yang mengekorinya kerana mereka merasakan bahawa orang yang berpangkat itu mempunyai pengaruh untuk menabur budi atau memberikan mereka sesuatu. Ramai pula yang sanggup untuk membantu ke mana-mana ia pergi. Ada yang sanggup mengangkat begnya, ada pula sanggup membuka pintu keretanya atau pintu biliknya.

Walau pun pada mulanya mereka merasa kekok apabila orang-orang lain menghampiri dan mendampinginya, tetapi lama kelamaan ia akan terasa yang ia begitu penting kepada masyarakat. Akhirnya ia berasa yakin yang dirinya begitu penting, masyhur, ternama, berpengaruh dan berkuasa. Ia akan merasa bahagia dengan perasaan itu sehingga ia cintakan perasaan itu. Ia akan mencari jalan untuk menjadi lebih masyhur, lebih ternama, lebih berpengaruh dan lebih berkuasa. Inilah dia orang yang cintakan dunia. Wallahu a’lam.
Org yg b'fikiran besar byk m'perkatakan ilmu,Org yg b'fikiran sederhana byk m'perkatakan peristiwa,Org yg b'fikiran rendah byk m'perkatakan diri sdri.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my