Terkini  Popular    Mula Topik

Halal Atau Haram?

2005-03-26 17:33:51

Makanan yang kita ambil:
Halal atau haram?
Oleh: KHAIRIL ABDUL RAHIM

Baru-baru ini, umat Islam negara ini gempar apabila dikejutkan dengan pendedahan beberapa buah kilang memproses sosej yang dicampur dengan usus babi. Lebih memeranjatkan lagi, kilang-kilang berkenaan juga didapati menggunakan logo “halal” pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya sebelum diedarkan secara meluas.

Tindakan yang mencabar maruah umat Islam ini, bukanlah isu baru sebenarnya. Namun mengapa perkembangan yang amat memalukan ini terus menerus berulang? Sebelum ini, telah pun terbongkar cerita kilang mi yang tidak mengamalkan kebersihan dengan anjing berkeliaran, kuetiau bercampur minyak babi dan daging ayam diletakkan bersekali dengan daging babi. Begitu juga dengan barang-barang kegunaan harian lain, terutamanya yang diimport dari China.
Kita perlu ingat, itu cerita-cerita yang terdedah setakat ini. Bagaimana pula yang masih tersembunyi?

Di Pahang pula, kehebohan perihal mengenai ayam segar yang dijual di pasaraya tidak disembelih menurut cara Islam, dari dulu hingga kini tidak pernah selesai.

Sebenarnya, permasalahan halal dan haram dalam pemakanan amat mengusik sensitiviti umat Islam. Ini disebabkan doktrin Islam sendiri mengutamakan persoalan sedemikian. Firman Allah: “ Wahai orang-orang yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik (halal menurut syari’at Islam) yang Kami kurniakan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepadaNya saja kamu menyembah.” — (Al-Baqarah: 172).

Rasulullah S.A.W. pula bersabda yang maksudnya: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman".

Jelas, Islam sesungguhnya amat menitikberatkan halal dan haram (sehingga sinonim dengan iman) dalam pemakanan kerana apa yang diambil akan menjadi darah-daging. Dan apa yang masuk menjadi darah-daging seorang Muslim itu, akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Minda, rohani dan sakhsiah seseorang muslim terbentuk menurut acuan makanan dan minuman yang mengalir dalam tubuh. Sebab itu tidak ada kompromi bagi umat Islam dalam soal halal-haram. Bahkan kesannya melibatkan baka generasi akan datang.
Bayangkan betapa anehnya, di saat kita beribadat, bermunajat dan memanjatkan doa kepada Allah S.W.T., pada masa yang sama, dalam tubuh kita dipenuhi segala macam unsur yang tidak halal. Kita amat khuatir seandainya segala titah-perintah yang kita patuhi selama ini, rupa-rupanya sia-sia di sisi Ilahi.

Islam amat mementingkan kebersihan – yang mana dalam konteks pemakanan, mestilah halal. Apabila berada dalam keadaan bersih, iman dan takwa akan menjadi subur. Dengan demikian, hati lebih mudah dilentur dan terpandu ke jalan yang benar. Seorang ulama', Sheikh Ali Syazali menyatakan: "Sesiapa memakan benda yang halal, maka hatinya menjadi lunak, bersinar dan tidak terhalang daripada menerima cahaya Allah. Sebaliknya pula sesiapa mengambil yang diharamkan, maka tergeraklah hati dan anggota badannya untuk melakukan maksiat”.
Menurut kitab-kitab fiqh, syarat halal sesuatu makanan itu ialah: pertama ia tidak terdiri daripada bahagian atau benda haiwan yang di larang umat Islam memakannya (sementelah lagi anjing dan babi) atau tidak di sembelih. Kedua, ia tidak mengandungi apa-apa benda yang di anggap najis mengikut hukum syarak seperti minyak dan lemak babi, bangkai atau jenis arak. Ketiga, Semasa di sediakan atau diproses, alat yang di gunakan seperti kuali, periuk, pinggan mangkuk dan sudu, bebas dari najis. Dan keempat, ia tidak bercampur-aduk dengan benda-benda yang haram semasa menyedia, memproses atau menyimpannya.

Berbalik kepada persoalan sosej dicampur usus babi tadi, kenapakah perkara yang seaib ini berlaku ke atas umat Islam? Sepintas lalu ia sudah tentu disebabkan sikap pihak pengilang yang tidak prihatin langsung terhadap sensitiviti umat Islam. Sikap mereka yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan pengguna Muslim terpaksa menjadi penanggung risiko terakhir.

Secara jelasnya juga, ini menunjukkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang lemah dan longgar, hanya akan menyebabkan pengusaha makanan tadi berdegil dan mengambil kesempatan untuk terus menipu pengguna.

Apa yang boleh kita lakukan setakat ini, ialah mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertindak segera menarik semua produk yang diragui dari pasaran. Sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis-majlis agama negeri mesti melaksanakan pemantauan lebih ketat bagi memastikan kejadian yang sama tidak terus-menerus berulang. Tindakan segera ini amat perlu demi memelihara hak asasi umat Islam memperolehi makanan halal.

Pihak kerajaan juga dikehendaki bertindak tegas memantau secara konsisten dan berterusan kerana negara kita telah pun diisytihar sebagai negara Islam yang ingin dikenali sebagai pengeluar makanan halal di dunia.

Kita juga mengharapkan agar penyelesaian yang benar-benar menyeluruh, bukan sekadar `hangat-hangat tahi ayam'. Jika tidak, masalah halal-haram ini tidak mungkin akan selesai.

Namun begitu, sebagai pengguna apakah alternatif kita sekarang tatkala berhadapan dengan isu ini? Sedangkan kita mempunyai satu kuasa yang tersirat di sebalik isu ini, iaitu ‘kuasa beli’. Perlukah umat Islam melancarkan tindakan tertentu, memboikot umpamanya? Tindakan ini mungkin hanya akan berkesan buat sementara waktu. Itu pun jika semuanya bersatu. Selain daripada itu, kita mesti prihatin dan sedaya upaya berusaha mengelak daripada membeli dan menggunakan produk yang meragukan. Di samping itu, sedaya upaya cuba sebar dan terangkan kepada orang ramai mengenainya. Sebagai pengguna yang bertanggung-jawab terhadap warga muslim, kita mesti bersikap berani dan tegas.

Akhirnya jangan lupa, kita mempunyai kekuatan lain, iaitu berusaha mencari produk makanan halal yang diselenggara dan dikeluarkan oleh orang Islam sepenuhnya. Sikap dan pilihan, sebenarnya di tangan kita!



"SUMPAH PENDEKAR : BIAR PUTIH TULANG ASAL JANGAN PUTIH MATA ..."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my