Terkini  Popular    Mula Topik

Terlanjur Menyintaimu.. Siri 1

2005-02-20 21:55:36
bacalah citer ni sedihnyaaaaa.................. harap2 kita boleh ambil pengajaran.............


Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia pernah menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yang berlandaskan kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang suami. Aku tahu, Harriz tidak pernah mempersetujui dengan apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang dan cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti Harriz? Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara satu sama lain.

Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima cintanya. Kenapa?.....Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang suami dan pemimpin yang boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh untuk menolak cintanya yang tulus dan ikhlas menyayangi aku, atau keegoan aku yang menguasai diri.

"Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit dan bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta saya sampai ke mati.

"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak dalam hati saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai walau awak membenci saya seumur hidup awak......"

Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz. Bagi aku, Izham lelaki pertama yang mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Izham sewaktu kami menyambung pengajian di London. Izham bijak memainkan kata-katanya dengan rupa parasnya yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan Izham , seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana.

Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham. Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.

Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di London kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Harriz memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan aku sendiri.

Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama. Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan Harriz kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.

"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita."

Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Harriz memang tampan orangnya malah lebih kacak daripada Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai
cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Harriz merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang Harriz dan cuba berlagak serius.
"belakang parang kalau di asah tajam juga"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my