Terkini  Popular    Mula Topik

Penghayatan Islam Dalam Institusi Kekeluargaan

2005-01-13 09:55:26
Kebahagiaan dan kedamaian rumah tangga pasti amat didambakan oleh setiap pasangan yang menempuh alam perkahwinan kerana impian ini merupakan satu percaturan kehidupan yang akan ditempuh sepanjang hidup mereka. Maka sudah pasti segala bentuk usaha akan diberikan bagi mencapai sebuah rumah tangga yang bahagia, aman dan harmoni.

Tetapi bagaimanakah sesebuah keluarga itu boleh dianggap bahagia atau sempurna? Bukan dengan harta yang banyak, kereta mewah atau wang ringgit menjadi pengukur kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga tetapi penghayatan ilmu kekeluargaan serta ajaran Islam adalah amat penting serta mampu menjadi faktor pemangkin kepada kebahagian dan kedamaian sesebuah keluarga.

Sembahyang berjemaah bersama ahli keluarga mungkin tidak dapat dilakukan setiap waktu kerana kesibukan kerja. Namun, ia boleh dilakukan pada waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.

Cara ini bukan sahaja dapat mengeratkan kemesraan dan kasih sayang di kalangan ahli keluarga, tetapi dapat mendidik anak-anak menghayati Islam yang sebenar kerana ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak dalam proses pembesaran mereka dan secara tidak langsung ini menjadikan mereka lebih menghargai erti kekeluargaan.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah: 43)

Hadis Rasulullah s.a.w.juga ada menyebut:

“Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat, iaitu ganjarannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluarga yang dapat membaca dan memahami al-Quran mampu mengukuhkan keimanan dan mendekatkan diri mereka kepada Allah serta memberi ketenangan dan ketenteraman hati. Mereka juga boleh membaca bahan bacaan berbentuk agama yang bukan sahaja memberikan pahala tetapi secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Amalan ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Quran ini menunjuki (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh, sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.”(Surah Al-Israak: 9)

Mewujudkan tradisi makan bersama keluarga terutama sekali pada waktu makan malam setelah semua ahli keluarga selesai dengan tugas masing-masing, merupakan perkara yang sangat digalakkan dalam Islam kerana cara ini dapat merapatkan hubungan kasih sayang. Di samping itu, ahli keluarga juga dapat berbual dan berbincang tentang masalah yang mereka hadapi. Ketika ini juga, ibu bapa dapat memberi nasihat dan mendidik anak-anak mereka. Sebagai contoh, sebelum makan hendaklah dimulai dengan `bismillah` serta doa makan dan makan setelah orang yang lebih tua memulakan dahulu.

Memberi salam sebelum masuk atau meninggalkan rumah mewujudkan suasana yang bahagia dan gembira kerana ahli keluarga akan menyambut kepulangan dan pemergian kita dengan salam keselamatan dan kesejahteraan. Maka amat wajar amalan harian ini dipraktikkan dan tidak dilupakan. Bagi melaksanakan kedamaian dan kerukunan dalam rumah tangga setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk memastikan keadaan ini mampu dilaksanakan dan dikekalkan terutama antara suami dan isteri.

Sikap tolong-menolong patut diterapkan dalam diri setiap anggota keluarga kerana dapat melahirkan perasaan kasih sayang dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Malah, cara ini juga dapat melatih anak-anak bersikap lebih bertanggungjawab. Mewujudkan aktiviti bersama seperti mengemas rumah dapat mewujudkan satu suasana keluarga yang bahagia serta menjalin perhubungan yang sihat.

Beramah mesra dengan jiran tetangga adalah dituntut dalam Islam. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kamu sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang karib dan tetangga yang bukan karib, teman sejawat, orang musafir dan kepada hamba sahaya kamu. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang sombong dan bermegah-megahan.”(Surah An-Nisa’:36)

Selain itu, aktiviti riadah dan melancong bersama keluarga juga dapat memantapkan lagi ikatan kekeluargaan dan mengeratkan kasih sayang kerana aktiviti yang mereka lakukan bersama ini akan dapat menambah dan menyemai perasaan sayang serta memperbaiki komunikasi antara suami isteri juga ibu bapa dan anak-anak.

Kesimpulannya, pembentukan keluarga bahagia dan harmoni mestilah diterapkan dengan ciri-ciri keislaman yang sebenar kerana dari sinilah akan wujudnya konsep ‘Keluarga Bahagia’ dan ‘Rumahku Syurgaku’.
"sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah SWT."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my