Generic placeholder image
Oleh Wan Kasmah Daud
15-Dec-2004 11:52
....
Buat panduan bersama ....
ISLAM menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi kesejahteraannya. Begitu juga Islam menentukan adab ketika minum.
Islam melarang umatnya minum secara sekali gus atau terus-menerus air dalam satu tempat air, sebaliknya sunat membaca Bismillah dan mengucapkan Alhamdulillah dan hendaklah diminum dengan dua atau tiga teguk.
Larangan itu berasaskan sabda Rasulullah bermaksud: "Jangan minum terus-menerus seperti cara binatang minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk dan tiga teguk, tiga teguk. Dan baca Bismillah apabila kamu minum dan baca Alhamdulillah apabila selesai meminumnya." (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi).
Islam juga menasihatkan umatnya daripada meminum air dalam tempat simpan seperti teko atau cerek dan sebagainya. Makruh meniup ke dalam air yang akan diminum sama ada air itu panas atau sebagainya.
Ini menunjukkan Islam mementingkan kesihatan bagi umatnya dan mengajar supaya mereka tidak tergopoh-gapah minum sehingga tiada kesabaran menunggu dan menanti air itu sejuk terlebih dulu.
Islam juga menegah umatnya minum atau makan sambil berdiri. Ini ditegaskan dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seseorang daripada kamu membiasakan minum berdiri. Siapa yang terlupa hendaklah dia memuntahkan kembali minuman itu."
Islam melarang umatnya daripada meminum atau memakan terlalu kenyang kerana banyak penyakit yang akan datang apabila perut terlalu kenyang atau terlalu penuh, sama ada dengan minuman atau makanan, sebaliknya hendaklah satu bahagian dikosongkan supaya dapat bernafas dan berfikir.
Ini dijelaskan kepada hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Al-Tirmizi yang bermaksud: "Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankannya, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas."
Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my