Terkini  Popular    Mula Topik

Piala Punca Bala....

2002-07-02 10:09:45
PIALA PUNCA BALA

Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir."
Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa amat sedih."

Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya. Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali berjumpa Allah.



MORAL & IKTIBAR
Kekayaan dan harta dunia adalah perhiasan yang tidak perlu disanjung tinggi. Kekaguman yang melampau terhadapnya mengakibatkan kesusahan dan kemiskinan jika berlaku kerosakan atau kehilangan harta tersebut.
Kesayangan pada harta dunia merampas kesayangan pada kenikmatan syurga mengikut nisbah yang sama.
Hukama memandang sesuatu benda dari segi hakikat, bukan dari segi zahirnya.
Tanpa harta benda pun kita boleh hidup dengan keperluan asasi. Situasi begini lebih menenteramkan hati dan jiwa untuk mengabdi diri kepada Allah.
Orang yang mempunyai sedikit kekayaan duniawi lebih mudah masuk syurga kerana tidak banyak soal-siasat dan hisab di mahsyar.
Orang yang mempunyai kekayaan duniawi terseksa di mahsyar kerana banyaknya kira-mengira tentang dari mana ia diperolehi dan ke mana pula ia dibelanjakan pada setiap satu harta yang dimilikinya. Ini melewatkan kemasukan ke syurga. Kalau dari sumber tak halal dan dibelanja bukan pada haknya, si-pemilik harta akan dimasukkan ke neraka terlebih dulu.



HaRi Ini EsOk dAn SeLaMaNyA.....
Sent to myMasjid eGroups: 7/2/2002 11:36:39 AM
Sent to MelayuCyber eGroups: 7/2/2002 11:36:39 AM

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my