Dan daripada As-Sariyy bin Sufyaan Al-Ansooriyy rahimahullah, katanya (mafhuumnya kira-kira):
Telah diiqamatkan oleh Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah (kerana hendak melakukan) solat, kemudian beliau berkata kepada Muhammad bin Abii Taubah rahimahullah: "Datanglah dan bersolatlah bersama kami!"
Dan itu adalah kerana bahawasanya Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah tidak mengimami, adapun sesungguhnya beliau berazan dan beriqamat sahaja serta memajukan orang lain untuk menjadi imam. Berkatalah Muhammad bin Abii Taubah rahimahullah: "Seandainya aku telah bersolat dengan kalian dalam solat ini, maka aku tidak akan bersolat dengan kalian dalam solat yang lain."
(Lalu) menjawab Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah: "Dan engkau berkata kepada dirimu sendiri bahawa kamu (akan) bersolat yang lain? Kami berlindung dengan Allah daripada panjangnya angan-angan. Sesungguhnya panjang angan-angan itu menghalang akan sebaik-baik amalan!"
Begitulah kira-kira terjemahan kasar daripada SIFAH AS-SOFWAH, susunan Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddiin Abil-Faroj Ibnu Al-Jauziyy rahimahullah, mujallad 2, halaman 319.
Dan begitulah ketinggian mutu solat yang ada pada Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah, sehinggakan jika seseorang itu ingin bersolat lalu memikirkan dan merancangkan untuk melaksanakan solat yang lain setelah mengerjakan solat yang tadi, maka itu pun dikira sebagai panjang angan-angan! Dan baginya, bila ada lintasan atau angan-angan yang sebegini, maka mutu solat yang dipersembahkan akan terjejas, iaitu tidak bisa menjadi solat yang terbaik! Itu baru cita-cita untuk melakukan solat yang berikutnya (walhal solat yang pertama belum dilakukan atau belum habis dikerjakan lagi). Bagaimana pula agaknya jika seseorang itu bercita-cita (berangan-angan) untuk melakukan aktiviti-aktiviti keduniaan yang lain selepas bersolat nanti seperti ingin berniaga, ingin bekerja, ingin ke sana dan ke sini... dsbnya... (walhal solat pertama belum selesai atau masih sedang dilakukan lagi)... Sudah tentulah akan merosakkan lagi mutu solat yang belum atau sedang dikerjakan itu!
Sebenarnya sifat yang ada pada Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah adalah bersumberkan keterangan daripada Rasulullah saw dan para Sahabat r.a.. Banyak sekali keterangan yang menganjurkan kita supaya bila bersolat sesuatu solat maka janganlah menyangka bahawa kita mendapat peluang lain untuk bersolat yang lain lagi. Malah jadikan solat yang sedang dikerjakan itu sebagai solat yang terakhir (solat perpisahan), iaitu anggaplah kita akan mati dan tak sempat bersolat lagi berikutnya. Inilah hidangan dan persembahan solat kita yang terakhir buat menghadap Allah swt! Jika perasaan dan hati kita ada ciri-ciri sebegini, insyaAllah mutu kekhusyukan dalam solat kita akan terus meningkat.
Sehubungan dengan keterangan di atas, di sini diperturunkan suatu riwayat yang berkaitan, iaitu daripada Sayyidina Mu'aadz bin Jabal r.a.
Sayyidina Mu'aadz bin Jabal r.a. telah menasihati anak lelakinya: "Wahai anakku, apabila engkau bersolat akan sesuatu solat maka bersolatlah solat muwaddi' (iaitu solat orang yang akan berpisah/meninggalkan/iaitu solat yang terakhir kerana akan mati selepas ini), janganlah kamu menyangka bahawa kamu akan kembali lagi kepadanya (iaitu kepada solat) buat selama-lamanya! Dan ketahuilah wahai anakku bahawa seorang mu'min itu akan mati di antara dua hasanah/ kebaikan; hasanah yang telah didahulukan dan hasanah yang telah dita’khirkannya/ditangguhkannya!" [Al-Hilyah 1:234].
Begitulah mau'izoh Mu'aadz bin Jabal rahimahullah buat anaknya. Sungguh tinggi mau'izoh itu. Kehendak daripada mau'izoh itu adalah, sebagai contoh: Jika kita bersolat Isyak, maka lakukanlah sebaik-baik mungkin zohir dan batin, berikan tumpuan sepenuhnya, anggapkan itulah solat yang terakhir, iaitu akan mati selepas bersolat Isyak itu dan tak lagi sempat nak bersolat sunnat ba'diyahnya/dsbnya. Begitu pun solat-solat yang lain. Dan sesungguhnya Ma'ruuf Al-Karkhiyy rahimahullah telah mendapat warisan yang tersangat bernilai ini.
Kembali kepada kita...
Pernahkah kita bersolat (walaupun sekali sahaja) dalam hidup ini akan solat muwaddi' itu? Saya rasa (khasnya buat diri saya) tidak pernah... Yang pasti, sama ada sebelum bersolat (dan semasa bersolat) bermacam-macam fikiran dan rancangankeduniaan datang pada hati dan fikiran kita (terutamanya saya sendirilah)... sehinggakan bila hampir-hampir nak beri salam barulah mula teringat bahawa kita ini sedang bersolat (walhal sepanjang solat tadi fikiran kita mengembara dan mengembara setaberkhayal-khayal... dsbnya). Kalau tiang agama ini telah rapuh buat kita, bagaimana nak mengharapkan perkara-perkara lain lagi akan tertegak? Kerana adalah (hampir) mustahil sebuah bangunan itu bisa tegak bertahan tanpa tiang yang kuat!
Apa kata para netizen yang budiman?
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar... Wassalamu'alaikum wrb. Al-faqiiru ilallah.
Mufrodaat:
- [1] Wadda'a: meninggalkan
- [2] Wadaa': farewell, leave-taking, adieu, valediction
- [3] Al-Wadaa', Wadaa'an: farewell! adieu! God be with you! Goodbye!
