Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Sifat Zuhud Dan Lemah Lembut > Kitab Sifat Zuhud Dan Lemah Lembut
    Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang. Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah: Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya.info
    Hadis Umar bin Auf r.a: Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain. Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Al-Ala' bin Al-Hadhrami untuk mengutip Jizyah dari penduduk Bahrain. (Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta Jizyah. Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w. Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada Baginda. Rasulullah s.a.w senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian Baginda bersabda: Aku kira kamu semua (Orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu. Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kamu (dengan wang ini). Demi Allah. Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.info
    Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang lelaki di antara kamu telah melihat orang yang Allah berikan kepadanya harta yang banyak dan anak-anak, maka dia hendaklah melihat kepada mereka yang lebih rendah (tidak mendapat kurniaan harta yang banyak atau anak-anak) daripadanya.info
    Hadis Abu Hurairah r.a: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Ada tiga orang dari Bani Israel (seorangnya) ditimpa penyakit kusta, seorangnya berpenyakit gugur rambut dan seorang lagi buta. Maka Allah telah menguji ketiga-tiganya dengan mengutus kepada mereka seorang Malaikat. Malaikat tersebut telah mendatangi orang yang berpenyakit kusta dan bertanya kepadanya Apakah yang paling engkau sukai? Orang itu menjawab: Warna yang elok serta kulit yang baik dan sembuh dari kotoran yang menyebabkan manusia memandang jijik kepadaku (penyakit kusta). Maka Malaikat tersebut menyapunya (tempat sakitnya) lalu hilanglah penyakit itu (sembuh) dan diberi warna serta kulit yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Unta atau Lembu (syak rawi) Ishak syak samada orang berpenyakit kusta atau orang yang tiada rambut di mana seorang dari mereka menjawab unta dan seorang lagi menjawab lembu. Maka dia diberikan unta yang mengandung sepuluh bulan. Orang itu mendoakan semoga Allah memberkati perbuatannya itu. Kemudian Malaikat tersebut telah datang menemui orang yang berpenyakit gugur rambut lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Rambut yang elok dan sembuh dari penyakit yang menyebabkan manusia memandang jijik kepadaku. Malaikat menyapunya (tempat sakit) lalu hilanglah penyakitnya dan diberikan rambut yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Lembu. Maka dia diberikan seekor lembu yang sedang mengandung. Dia mendoakan keberkatan dari Allah atas perbuatannya. Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula seorang yang buta lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Aku ingin Allah mengembalikan penglihatanku semoga aku dapat melihat manusia. Malaikat menyapu matanya, maka Allah mengembalikan penglihatan kepada beliau. Malaikat itu bertanya lagi: Harta apakah yang amat engkau sukai? Dia menjawab: Kambing biri-biri maka dia diberikan seekor biri-biri yang telah melahirkan anak. Maka kedua-dua (lelaki berpenyakit kusta dan yang tiada rambut) menguruskan kelahiran unta dan lembu begitu juga halnya dengan lelaki buta. Selepas sekian lama, maka bagi lelaki yang berpenyakit kusta telah memiliki satu lembah dari unta, bagi lelaki yang berpenyakit gugur rambut telah memiliki satu lembah dari lembu dan bagi lelaki yang buta telah memiliki satu lembah dari kambing biri-biri. Nabi s.a.w menyambung lagi: Kemudian Malaikat tersebut datang berjumpa lelaki yang berpenyakit kusta dengan jelmaan sebagaimana keadaan lelaki itu sebelumnya dan dia mengadu kepada lelaki tersebut: Aku seorang lelaki miskin yang telah kehabisan bekalan semasa aku bermusafir. Aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu pada hari ini melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon dari mu demi Allah Yang telah memberikan kepadamu warna serta kulit yang baik dan juga harta seekor unta yang boleh membantu aku meneruskan perjalanan sepanjang musafirku. Maka lelaki itu menjawab: Aku mempunyai banyak tanggungan (menyebabkan aku tidak boleh memberikannya kepadamu). Malaikat itu berkata kepada lelaki itu: Aku rasa aku mengenalimu. Tidakkah engkau dahulunya berpenyakit kusta dan manusia memandang jijik kepadamu? (Tidakkah engkau) Seorang yang fakir lalu Allah mengurniakan kepadamu (harta)? Lelaki itu menjawab: Aku mewarisi harta ini dari warisan orang tuaku. Malaikat itu berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini. Kemudian Malaikat tersebut pula datang berjumpa orang yang berpenyakit gugur rambut seperti lelaki tadi dan bertanya seperti dia bertanya kepada lelaki berpenyakit kusta, keadaannya sama seperti yang berlaku ketika Malaikat tersebut meminta dari lelaki yang berpenyakit kusta. Malaikat berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini. Kemudian Malaikat itu datang pula berjumpa lelaki yang buta dengan jelmaan seperti seorang yang buta lalu mengadu: Aku seorang lelaki pengembara yang miskin. Aku telah kehilangan kenderaan semasa musafir, maka aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon darimu demi Allah Yang telah mengembalikan penglihatanmu seekor kambing biri-biri yang boleh membantu aku meneruskan perjalananku. Lelaki itu berkata: Aku sebelum ini adalah seorang yang buta, Allah telah mengembalikan penglihatanku, oleh itu ambillah apa yang engkau mahu dan tinggal apa yang engkau tidak mahu. Demi Allah, aku tidak akan menegah dan mengungkit kembali pemberianku kepada kamu untuk mengambil apa yang engkau kehendaki kerana Allah. Malaikat berkata: Jagailah hartamu. Sesungguhnya kamu semua telah diuji oleh Allah. Allah telah meredai kamu dan membenci dua orang sahabatmu.info
    Hadis Saad r.a katanya: Demi Allah Aku merupakan lelaki pertama dari orang Arab yang memanah di jalan Allah. Sesungguhnya kami telah berperang bersama Rasulullah s.a.w. Ketika itu kami tidak mempunyai makanan untuk dimakan melainkan daun-daun Hublah dan Samuru (dua jenis tumbuhan) sehingga najis kami seperti najis kambing. Kemudian keesokannya Bani Asad mengajar aku pengetahuan agama. Kalau demikian, sesungguhnya aku telah gagal dan usahaku sia-sia. Mengikut riwayat Ibnu Numair tidak menyebut perkataan Izan (bermaksud kalau demikian).info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Semenjak berpindah ke Madinah, keluarga Muhammad s.a.w tidak pernah kenyang makan gandum selama tiga malam berturut-turut sampai baginda wafat.info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya kami, keluarga Muhammad s.a.w pernah selama satu bulan tidak menyalakan api melainkan hanya memakan kurma dan air.info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Ketika kewafatan Rasulullah s.a.w tidak ada di tempat menyimpan barang makananku sesuatu yang boleh dimakan melainkan setengah Wusuq (timbangan) gandum dalam simpananku. Aku memakannya sehingga sekian lama, kemudian aku ingin menimbangnya ternyata ia sudah habis.info
    Hadis Aisyah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w wafat ketika manusia hanya kenyang dengan buah tamar dan air.info
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Demi nyawaku di tangan-Nya. (Diriwayatkan daripada Abu Abbad) Demi nyawa Abu Hurairah di tangan-Nya. Rasulullah s.a.w tidak pernah mengenyangkan keluarganya tiga hari berturut-turut dengan roti yang diperbuat dari gandum sehinggalah baginda wafat.info
webmaster@mymasjid.net.my