Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Minuman > Bab Memuliakan Tetamu Dan Kelebihan Mendahulukannya
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku sangat menderita kebuluran. Rasulullah s.a.w menghantarkannya kepada salah seorang isteri baginda, tetapi dia (isteri baginda) berkata: Demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku hanya mempunyai air. Rasulullah s.a.w menyuruh menanyakan kepada isteri baginda yang lain, tetapi mendapat jawapan yang sama. Kesemua isteri baginda memberikan jawapan yang sama: Tidak, demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku tidak mempunyai satu apapun kecuali air. Rasulullah s.a.w lalu berkata: Sesiapa yang memberi makan orang ini, Allah akan merahmatinya. Seorang lelaki dari golongan Ansar berdiri dan berkata: Aku, wahai Rasulullah. Lalu diajaknya orang itu ke rumah beliau. Lelaki itu menanyakan kepada isterinya: Adakah kamu mempunyai sesuatu (dimakan)? Jawab isterinya: Tidak ada! Kecuali makanan untuk anak-anak sahaja. Dia berkata lagi: Sibukkanlah mereka dengan sesuatu. Apabila tetamu kita masuk, padamkanlah lampu dan tunjukkanlah yang kita seolah-olah sedang menghadapi makanan. Apabila dia hendak makan, maka hampirilah lampu dan matikanlah. Merekapun duduk, sementara tetamu mereka makan. Pada keesokan harinya mereka bertemu dengan Nabi s.a.w dan baginda bersabda: Allah benar-benar bangga terhadap perbuatan kamu berdua terhadap tetamu kamu malam tadi.info
    Hadis Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a katanya: Kami dengan sejumlah seratus tiga puluh orang sedang bersama Nabi s.a.w. Nabi s.a.w bertanya: Adakah salah seorang di antara kamu mempunyai makanan? Didapati ada seorang yang mempunyai kira-kira satu gantang gandum atau seumpamanya, lalu diadunkannya. Kemudian datang seorang lelaki tinggi dan kusut rambutnya membawa kambing-kambing untuk dijual. Nabi s.a.w bertanya: Adakah ianya untuk dijual atau dihadiahkan? Lelaki itu menjawab: Tidak! Bahkan ianya untuk dijual! Maka dibeli daripadanya seekor kambing. Setelah disembelih, Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya diambil hatinya untuk dipanggang. Dia (Abdul Rahman bin Abu Bakar) berkata: Demi Allah! Setiap seratus tiga puluh orang itu, kesemuanya mendapat sepotong hati kambing daripada Rasulullah s.a.w. Jika orang itu ada bersama, maka Rasulullah s.a.w memberikannya. Jika sebaliknya, Rasulullah s.a.w menyimpan untuknya. Makanan itu dibahagikan kepada dua talam. Kami makan dari kedua talam itu sehingga kenyang. Lebihan yang terdapat pada kedua talam tersebut dibawa ke atas unta atau mungkin juga riwayatnya begitu.info
    Hadis Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a: Orang yang disebut sebagai Ashaab As-Suffah adalah orang-orang miskin. Rasulullah s.a.w pernah bersabda suatu ketika: Sesiapa mempunyai makanan untuk dua orang, dia hendaklah mengajak orang yang ketiga dan sesiapa mempunyai makanan untuk empat orang, dia hendaklah mengajak orang kelima, keenam atau seperti diriwayatkan dalam Hadis lain. Abu Bakar r.a datang dengan tiga orang. Nabi pula pergi dengan sepuluh orang dan Abu Bakar dengan tiga orang iaitu aku, ibu dan bapaku. Tetapi aku tidak pasti adakah dia berkata: Isteriku dan khadamku berada di antara rumah kami dan rumah Abu Bakar. Abdul Rahman berkata lagi: Abu Bakar makan malam bersama Nabi s.a.w dan terus berada di sana sehinggalah waktu Isyak. Selesai sembahyang, dia kembali ke tempat Nabi s.a.w lagi, sehinggalah Rasulullah s.a.w kelihatan mengantuk. Sesudah lewat malam, barulah dia pulang. Isterinya menyusulinya dengan pertanyaan: Apa yang menghalang dirimu untuk pulang menemui tetamumu? Abu Bakar berkata: Bukankah engkau telah menjamu mereka makan malam? Isterinya menjawab: Mereka tidak mahu makan sebelum engkau pulang, padahal anak-anak sudah mempersilakan tetapi mereka tetap enggan. Akupun berundur untuk bersembunyi. Lalu terdengar Abu Bakar memanggil: Hai dungu! diikuti dengan sumpah-serapah. Kemudian dia berkata kepada para tetamunya: Silakan makan! Barangkali makanan ini sudah tidak enak lagi. Kemudian dia bersumpah: Demi Allah, aku tidak akan makan makanan ini selamanya! Abdul Rahman meneruskan ceritanya: Demi Allah, kami tidak mengambil satupun kecuali sisanya bertambah lebih banyak lagi, sehinggalah apabila kami sudah merasa kenyang, makanan itu menjadi bertambah banyak daripada yang sedia ada. Abu Bakar memandangnya ternyata makanan itu tetap seperti sedia atau bahkan lebih banyak lagi. Dia berkata kepada isterinya: Wahai saudara perempuanku! Bani Firas apakah ini? Isterinya menjawab: Tidak! Demi cahaya mataku, sekarang ini makanan tersebut bertambah tiga kali ganda lebih banyak daripada sedia. Lalu Abu Bakar makan dan berkata: Sumpahku tadi adalah dari syaitan. Dia makan satu suap, kemudian membawa makanan tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan membiarkannya di sana hingga pagi hari. Pada waktu itu di antara kami (kaum Muslimin) dengan suatu kaum akan dilangsungkan satu perjanjian. Apabila tiba waktunya, kamipun menjadikan dua belas orang sebagai ketua saksi, masing-masing mengepalai beberapa orang. Hanya Allah yang tahu berapa orangkah sebenarnya yang diutuskan bersama mereka. Cuma yang pastinya Rasulullah s.a.w memerintah agar dipanggilkan mereka kesemuanya. Lalu kesemuanya makan dari makanan yang dibawa oleh Abu Bakar atau sebagaimana yang diriwayatkan dalam riwayat yang lain.info
webmaster@mymasjid.net.my