Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Jihad Dan Strateginya > Bab Orang Yang Membunuh Berhak Memiliki Harta Orang Yang Dibunuhnya
    Hadis Abu Qatadah r.a katanya: Aku pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Hunain. Dalam pertempuran itu, pasukan Islam terpaksa berundur pada awalnya dan pada masa itu aku sempat melihat ada seorang dari pasukan kafir berjaya menangkap seorang tentera Muslimin sehingga tentera Muslimin itu tidak berdaya lagi dan dia hendak dibunuh oleh tentera kafir tersebut. Ketika itulah aku segera datang dari arah belakangnya. Maka dengan tidak berlengah-lengah aku menikam bahu tentera kafir tersebut, kemudian aku dapati tentera kafir itu hampir mati, lalu kemudiannya beliau mati. Selepas itu aku segera mengikut Umar bin Al-Khattab. Setelah bertemu dengannya aku ditanya: Ada apa dengan orang tadi. Aku menjawab: Biarkan saja. Dia sudah menjadi urusan Allah. Kemudian kami semua pulang, kami mendapati Rasulullah s.a.w sedang duduk. Selanjutnya baginda bersabda: Sesiapa yang berjaya membunuh musuh dan dia mempunyai bukti, maka dia berhak ke atas harta orang yang dibunuhnya itu. Setelah mendengar keterangan tersebut, aku lantas berdiri dan bertanya: Siapa yang bersedia menjadi saksi kepadaku? Kemudian aku duduk. Selepas itu aku mengulangi lagi soalan yang sama, kemudian aku duduk. Kemudian aku bertanya lagi buat kali yang ketiganya, ketika aku hampir-hampir putus asa, tiba-tiba saja Rasulullah s.a.w mendekatiku dan bertanya: Apa kena denganmu ini wahai Abu Qatadah? Lalu aku menceritakan kepada baginda perkara yang telah berlaku, iaitu aku telah membunuh seorang tentera kafir. Tanpa diduga tiba-tiba ada seorang sahabat yang berdiri dan mengatakan: Apa yang diceritakan oleh Abu Qatadah itu adalah benar wahai Rasulullah. Sekarang harta milik tentera kafir yang dibunuh oleh Abu Qatadah itu berada padaku. Oleh itu berikanlah harta ini kepada yang berhak. Apabila mendengar ucapan sahabat tersebut, Abu Bakar As-Siddiq lalu berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak mungkin akan mensia-sia salah seorang tentera pasukannya yang telah berperang membela Allah dan utusan-Nya. Baginda pasti akan memberikannya kepada orang yang berhak. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Abu Bakar tersebut. Berikanlah harta itu kepada Abu Qatadah. Kemudian Abu Bakar pun menyerahkannya kepadaku. Dari harta itulah aku dapat membeli baju besi dan sebidang tanah yang terletak di daerah Bani Salimah. Itulah harta yang pertama aku dapati selama aku memeluk Islam.info
    Hadis Abdul Rahman bin Auf r.a katanya: Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan semasa peperangan Badar aku menoleh ke kanan dan ke kiriku, tiba-tiba aku terpandang dua orang pemuda Ansar yang masih remaja. Aku benar-benar berhasrat untuk bersama dengan mereka berdua. Salah seorang daripada mereka mengisyaratkan kepadaku dan bertanya kepadaku: Wahai Pak cik! Apakah pak cik kenal Abu Jahal? Aku menjawab: Ya! Aku mengenalinya, kenapakah kamu memerlukannya wahai anak saudaraku? Lalu dia berkata: Aku pernah diberitahu bahawa Abu Jahal pernah mencaci maki Rasulullah s.a.w. Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sekiranya aku melihat Abu Jahal maka aku akan berlawan dengannya satu lawan satu sehingga terbukti siapa yang akan mati terlebih dahulu. Aku begitu kagum dengan tekad dan semangat anak muda tersebut. Kemudian pemuda yang seorang lagi pun berkata demikian juga kepadaku. Tidak berapa lama kemudian aku melihat Abu Jahal muncul dari kejauhan dan mundar-mandir di antara orang ramai. Aku katakan kepada kedua orang pemuda itu: Bukankah sekarang kalian sudah melihat Abu Jahal. Itulah dia lawan yang kamu berdua tanyakan tadi. Lalu mereka mendekati Abu Jahal dan tanpa menunggu lebih lama lagi mereka menghunus pedang ke arah Abu Jahal sehingga dia meninggal dunia pada waktu itu juga. Kemudian mereka berdua menemui Rasulullah s.a.w dan memberitahu kepada baginda. Rasulullah s.a.w lalu bertanya kepada mereka: Sebenarnya siapakah di antara kamu berdua yang telah membunuhnya? Kemudian mereka berdua masing-masing mengaku sebagai pembunuhnya. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apakah pedang kamu sempat ditepisnya? Mereka menjawab: Tidak! Selanjutnya Rasulullah s.a.w memeriksa pedang mereka. Setelah puas lalu baginda bersabda: Kalian berdua telah membunuhnya. Akhirnya Rasulullah s.a.w memutuskan bahawa harta orang yang terbunuh tersebut adalah untuk Muaz bin Amru bin Al-Jamuh. Dua orang pemuda tersebut bernama Muaz bin Amru bin Al-Jamuh dan Muaz bin Afra'.info
    Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a: Aku pernah mengikuti Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan di daerah Hawazin. Ketika kami makan pagi bersama dengan Rasulullah s.a.w tiba-tiba muncul seorang lelaki yang menunggang seekor unta berwarna merah. Setelah mendudukkan dan mengikat untanya lalu lelaki tersebut ikut makan bersama-sama kami sambil matanya memandang ke sana ke mari. Setelah selesai makan sebahagian dari kami ada yang berehat kerana keletihan setelah beberapa lama berada di atas tunggangan dan ada yang berjalan kaki. Tiba-tiba saja lelaki tadi keluar menuju ke arah untanya. Maka dia membuka ikatannya lalu dia menunggangnya dan memecutnya dengan pantas. Lalu dia diikuti oleh seorang lelaki lain yang menunggang unta berwarna kelabu. Salamah berkata: Dengan rasa ragu-ragu aku terus mengikutinya dengan menaiki unta dari belakang. Aku mengejar lelaki asing tadi dan akhirnya aku berjaya mendapatkannya, setelah itu dia berlutut di hadapanku, aku terus menghunus pedangku kepadanya dan aku memenggal kepala lelaki tersebut, lalu dia meninggal dunia pada masa itu juga. Kemudian aku membawa untanya yang masih ada pelana dan senjatanya. Rasulullah s.a.w dan beberapa orang sahabat yang mengawal baginda menyambutku. Baginda kemudian bertanya: Siapa yang telah membunuh lelaki ini? Mereka menjawab: Ibnu Al-Akwa'. Baginda bersabda: Dia berhak mendapatkan segala harta orang yang dibunuhnya itu.info
webmaster@mymasjid.net.my