Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Li'an Iaitu Suami Menuduh Isteri Berzina Tanpa Saksi > Kitab Li'an Iaitu Suami Menuduh Isteri Berzina Tanpa Saksi
    Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: Uwaimir Al-Ajlani telah datang menemui Aasim bin Adiy Al-Ansariy dan berkata kepadanya: Wahai Aasim! Apa pendapatmu sekiranya ada seorang lelaki mendapati isterinya sedang bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuhnya kerana pihak berkuasa pasti akan membunuhnya juga nanti atau apakah yang patut dilakukan? Tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w, wahai Aasim! Lalu Aasim menanyakan perkara itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w rupa-rupanya tidak suka dengan pertanyaan seperti itu menyebabkan Aasim tidak mendapatkan apa-apa jawapan dari Rasulullah s.a.w. Ketika Aasim kembali kepada keluarganya, Uwaimir datang dan bertanya: Wahai Aasim! Apakah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepadamu? Aasim menjawab kepada Uwaimir: Aku tidak bernasib baik kerana Rasulullah s.a.w tidak senang dengan pertanyaan yang kamu kemukakan itu. Dengan nada kesal Uwaimir berkata: Demi Allah! Aku tidak akan berdiam diri setakat ini sahaja. Aku akan menanyakannya sendiri kepada baginda. Maka Uwaimir pergi menemui Rasulullah s.a.w yang pada waktu itu sedang berada di tengah-tengah orang ramai. Dia lantas mengajukan pertanyaan: Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika ada seorang lelaki mendapati isterinya bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuh lelaki tersebut atau apakah yang harus dia lakukan? Dengan tenang Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai masalah yang berkaitan dengan kamu dan isterimu itu, Allah telah menurunkan ayat. Pergi dan bawa isterimu ke mari. Kata Sahl: Maka terjadilah li'an di antara kedua suami isteri di hadapan Rasulullah s.a.w dan beberapa orang lain termasuk aku. Setelah reda keadaan itu, Uwaimir berkata: Aku telah mendustainya, wahai Rasulullah, walaupun aku terus mempertahankan hujahku. Akhirnya, Uwaimir menceraikan isterinya dengan talak tiga, sebelum Rasulullah s.a.w memerintahkannya.info
    Hadis dari Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan oleh Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah ditanya mengenai kes dua orang yang dili'an pada masa Mus'ab. Adakah keduanya harus dipisahkan? Oleh kerana tidak dapat menjawabnya, aku pergi ke kediaman Ibnu Umar di Mekah. Setelah sampai, aku meminta izin dari pelayan supaya membenarkan aku masuk menemui Ibnu Umar. Pelayan itu memberitahu kepadaku bahawa dia sedang tidur. Rupa-rupanya, Ibnu Umar mendengar suaraku lalu bertanya: Siapakah itu? Ibnu Jubairkah? Aku menjawab: Benar! Dia berkata: Masuklah! Demi Allah, pasti ada sesuatu hajat penting sehingga kamu datang menemui aku di waktu begini. Aku pun masuk dan mendapati dia berbaring di atas kain pelana dan bersandar pada sebuah bantal yang berisi sabut kurma. Aku memulakan kata-kata: Wahai Abu Abdul Rahman! Adakah harus dipisahkan suami isteri yang bersumpah li'an? Ibnu Umar menjawab: Maha Suci Allah. Memang begitulah dan sesungguhnya orang pertama yang pernah menanyakan hal itu adalah Si Polan bin Polan, dia bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu jika salah seorang daripada kami mendapati isterinya melakukan suatu perbuatan keji dan menjijikkan. Apa yang patut dilakukan? Jika suami itu membicarakannya, bermakna dia telah bertanggungjawab di atas suatu perkara yang sungguh besar. Begitu juga kiranya dia mendiamkan diri. Apabila ditanya begitu, Nabi s.a.w hanya diam saja dan tidak menjawabnya. Setelah beberapa ketika, Si Polan bin Polan itu datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: Sebenarnya perkara yang saya ajukan kepada anda ini, berlaku ke atas diri saya. Maka Allah s.w.t menurunkan FirmanNya yang terdapat dalam surah An-Nur: æóÇáøóÐöíäó íóÑúãõæäó ÃóÒúæóÇÌóåõãú Yang bermaksud: Orang-orang yang menuduh isterinya berzina tanpa bersaksi. Maka mereka dituntut supaya bersumpah empat kali berturut-turut bahawa dia benar-benar mengetahui mengenainya. Baginda membacakan Firman Allah tersebut dengan lengkap serta menasihati dan mengingatkan bahawa sesungguhnya seksa dunia itu tidaklah setanding dengan seksaan di akhirat. Namun Si Polan bin Polan itu tetap berkeras: Tidak! Demi Allah yang mengutuskanmu, aku tidak berdusta mengenai isteriku. Akhirnya Rasulullah s.a.w memanggil isteri Polan bin Polan tersebut. Baginda juga menasihatkan wanita itu dan mengingatkan bahawa seksaan di dunia ini tidak seberapa berbanding dengan seksa di akhirat. Namun sebagaimana suaminya juga, wanita itu tetap dengan pendiriannya dan berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu! Sesungguhnya dialah yang berdusta. Rasulullah s.a.w memulai dengan pihak suami. Lalu dia pun bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang benar, sedangkan pada sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Kemudian baginda meneruskan pula sebelah pihak isteri. Dia juga berani bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta dan sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar. Kemudian setelah itu Rasulullah s.a.w memisahkan antara keduanya.info
    Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Satu peristiwa li'an telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Aasim bin Adiy memberikan sedikit ulasan kemudian beredar dari situ. Suatu hari, seorang lelaki dari kaumnya datang mengadu kepadanya bahawa dia mendapati isterinya bersama dengan lelaki lain. Maka Aasim pun berkata: Kejadian seperti ini hendaklah kamu hadapkan kepada Rasulullah s.a.w dan Aasim memberitahu bahawa lelaki yang menuduh itu berkulit kuning, bertubuh kurus dan berambut lurus. Sedangkan lelaki yang dituduh bersama isterinya berbetis padat dan bertubuh gemuk. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu buktikan saja nanti. Ternyata wanita itu melahirkan anak yang mirip dengan ciri-ciri lelaki yang dituduh. Lalu Rasulullah s.a.w melaksanakan li'an di antara mereka berdua. Seseorang bertanya kepada Ibnu Abbas: Adakah dia wanita yang disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda: Seandainya aku boleh menghukum rejam kepada seseorang tanpa bukti, nescaya aku menghukum rejam ke atas wanita ini? Ibnu Abbas berkata: Bukan! Jika dia adalah wanita yang memang jelas berniat buruk terhadap Islam.info
    Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.info
    Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani Fazarah datang menemui Nabi s.a.w dan berkata: Bahawa isteriku telah melahirkan seorang anak yang kulitnya sangat hitam. Nabi s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai unta? Lelaki itu menjawab: Ada. Nabi s.a.w bertanya: Apa warnanya? Lelaki tadi menjawab: Merah. Nabi s.a.w bertanya: Apakah ada yang berwarna kelabu? Lelaki tadi menjawab: Ada. Memang ada sedikit warna kelabu. Nabi s.a.w bertanya: Dari mana datangnya asal warna kelabu itu? Lelaki tadi menjawab: Mungkin juga darinya. Nabi s.a.w pun bersabda: Begitu juga dengan anakmu.info
webmaster@mymasjid.net.my