Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Haji > Bab Keterangan Cara Cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran
    Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Haji Wida', kami berniat Umrah. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membawa haiwan sembelihan, sebaiknya dia berihram Haji dan Umrah serta janganlah dia bertahallul terlebih dahulu supaya dia dapat bertahallul dari keduanya serentak. Sebaik saja tiba di Mekah aku datang haid sebelum Tawaf di Baitullah iaitu Kaabah dan sebelum Saie antara Safa dan Marwah. Kemudian aku mengadu kepada Rasulullah s.a.w mengenai keadaan tersebut. Baginda bersabda: Lepaskanlah jalinan rambutmu dan sikatlah, lakukanlah Ihram Haji dan tinggalkanlah Ihram Umrah. Lalu aku mengerjakannya. Selesai sahaja aku mengerjakan Haji, Rasulullah s.a.w menyuruh aku dan Abdul Rahman bin Abu Bakar pergi ke Tan'im, lalu aku berihram Umrah. Baginda bersabda: Inilah tempat Umrahmu. Kemudian bagi orang yang berihram Umrah harus Tawaf di Baitullah iaitu Kaabah, bersaie antara Safa dan Marwah lalu bertahallul. Kemudian mereka melakukan Tawaf lagi untuk ibadat Hajinya setelah kembali dari Mina. Bagi orang yang menghimpunkan Haji dan Umrah memadailah hanya dengan sekali Tawaf.info
    Hadis Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a: Rasulullah s.a.w memerintahkannya supaya mengiringi Saidatina Aisyah r.a pergi ke Tan'im untuk mengerjakan Umrah.info
    Hadis Jabir r.a katanya: Aku pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk berihram Haji Ifrad, sedangkan Saidatina Aisyah r.a berihram Umrah. Sebaik sahaja tiba di Daerah Sarif, Saidatina Aisyah datang haid. Setelah kami tiba di Mekah, kami melakukan Tawaf di Kaabah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh orang yang tidak membawa haiwan sembelihan supaya bertahallul. Jabir berkata: Kami bertanya: Apakah yang dihalalkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Semuanya sudah dihalalkan. Lalu kami tidur bersama-sama isteri kami, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit. Setelah sempat bermalam di Arafah selama empat hari, kami berihram kembali pada hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah. Selepas itu Rasulullah s.a.w menemui Saidatina Aisyah r.a yang kebetulan sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapakah dengan dirimu ini? Saidatina Aisyah menjawab: Aku haid sedangkan mereka semua sudah bertahalul. Aku belum lagi bertahallul dan Tawaf di Baitullah. Mereka sedang mengerjakan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah terhadap setiap anak perempuan Adam. Mandi dan kerjakanlah Haji. Lalu Saidatina Aisyah melakukannya dan berwuquf. Setelah suci dari haid, dia melakukan Tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: Bukankah kamu telah bertahallul dari Haji dan Umrahmu sekaligus? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w aku dapati diriku belum melakukan Tawaf di Baitullah sehinggalah aku selesai melakukan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdul Rahman: Wahai Abdul Rahman! Temankanlah dia untuk mengerjakan Umrah secara berihram di Tan'im. Lantas mereka pergi pada malam Hasbah iaitu malam jemaah Haji keluar dari Mekah selepas hari Tasyrik.info
    Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Ata' katanya: Aku pernah mendengar Jabir bin Abdullah r.a berkata ketika aku bersama beberapa orang: Kami para sahabat Muhammad s.a.w pernah hanya berihram Haji sahaja. Ata' berkata: Jabir berkata lagi: Pada pagi empat Zulhijah, Nabi s.a.w datang lalu memerintahkan kepada kami agar segera bertahallul. Ata' berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Bertahallul dan tidurilah isteri kamu. Ata' berkata lagi: Bukanlah bererti Rasulullah s.a.w menyuruh mereka supaya meniduri isteri-isteri mereka, cuma hukumnya diharuskan kepada mereka. Ketika kesempatan kami hanya tinggal lima hari sebelum berangkat menuju ke Arafah, Rasulullah s.a.w menggalakkan kepada kami supaya meniduri isteri-isteri kami terlebih dahulu. Setelah itu barulah kami berangkat ke Arafah sekalipun kami masih belum puas bersama dengan isteri-isteri kami. Ata' berkata: Jabir meriwayatkan Hadis ini penuh dengan gaya sehingga seolah-olah kami mendengar Hadis ini kerana terpukau oleh gaya tangannya. Lalu Nabi s.a.w berdiri di hadapan kami dan bersabda: Kamu tentu telah tahu bahawa akulah orang yang paling takut kepada Allah, orang yang paling benar dan sekaligus orang yang paling bertolak ansur daripada kamu semua. Kalaulah tidak kerana aku terlanjur membawa Dam untuk disembelih, tentu aku telah bertahallul seperti kamu. Sekiranya aku tidak terlanjur membawa Dam tentu tidak terjadi begini dan sekiranya aku tahu urusanku akan terjadi begini tentu aku tidak membawa Dam untuk di sembelih, oleh itu bertahallullah. Lantas kami pun bertahallul dengan rasa penuh ketaatan. Ata' berkata: Jabir telah berkata: Setelah Sayidina Ali k.w menyelesaikan ibadat Haji, dia datang dan bertanya Jabir: Kenapa kamu bertahallul? Jabir menjawab: Kerana Nabi s.a.w juga bertahallul. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada Sayidina Ali k.w: Sembelihlah Dam dan tetaplah dalam keadaan berihram. Ata' berkata: Sayidina Ali k.w terus menyerahkan Dam kepada Rasulullah s.a.w. Suraqah bin Malik bin Ju'syum berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ia hanya untuk tahun ini sahaja ataupun untuk selama-lamanya? Rasulullah s.a.w menjawab: Untuk selama-lamanya.info
webmaster@mymasjid.net.my