Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Jenazah > Bab Mengapani Mayat
    Hadis Khabbab bin Al-Arat r.a katanya: Kami berhijrah bersama Rasulullah s.a.w di jalan Allah demi mengharapkan keredaan Allah, maka sudah sewajarnya kami diganjarkan dengan pahala oleh Allah. Di antara kami ada orang yang tidak sempat menikmati nikmat ganjaranNya di dunia, antaranya Mus'ab bin Umair. Dia terbunuh pada perang Uhud. Tidak ditemukan satu benda pun untuk mengapan mayatnya kecuali sehelai selimut. Apabila kami tutupkan selimut itu pada kepalanya, maka kedua kakinya keluar (tidak tertutup) dan ketika selimut itu kami tutupkan pada kedua kakinya, kepalanya pula kelihatan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tutupkanlah selimut itu di kepalanya, manakala kedua kakinya tutuplah dengan izkhir iaitu sejenis rumput yang berbau wangi. Namun di antara kami ada juga orang-orang yang sempat mengecapi hasilnya iaitu berkesempatan merasakan ganjaranNya di dunia.info
    Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w dikapan dengan tiga lapis kain tenun putih yang diperbuat dari kapas tanpa ada baju ataupun serban. Adapun mengenai Hullah iaitu selimut Yaman, maka orang ramai keliru mengenainya. Memang Hullah itu dibeli dan disediakan untuk mengapan baginda, tetapi selimut itu tidak digunakan dan ditinggalkan. Baginda dikapan dengan tiga lapis kain tenun putih dan selimut itu diambil oleh Abdullah bin Abu Bakar. Abdullah berkata: Aku akan menyimpannya untuk mengapan diriku nanti. Kemudiannya dia berkata: Seandainya Allah meredai ianya adalah untuk Nabi-Nya, tentu Allah akan mengapan baginda dengan selimut itu. Kemudiannya dia menjual selimut itu dan menyedekahkan hasil penjualannya.info
webmaster@mymasjid.net.my